Wednesday, September 22, 2010

Kes Bunuh Datuk Sosilawati

Sebelum saya melangkau dengan lebih jauh lagi, eloklah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah dan doa keampunan buat semua arwah yang telah meninggalkan kita semua dalam satu tragedi kes bunuh Datuk Sosilawati dan 3 orang peneman nya yang bersama-samanya ketika itu.

Meskipun tika saya menulis ini, coretan kes ini telah pun terpahat dalam skrol perundangan negara yang sedang menunggu masa untuk dibicarakan. Dan kita biarkanlah hal itu mengikut prosedurnya jika itu kehendak perundangan negara kita buat masa sekarang.

Namun, saya terpanggil untuk menulis sedikit catatan kecil setelah banyak kali mendengar dan menerima pelbagai sudut pandang manusia terhadap kes pembunuhan ini. Catatan ini lebih sekadar untuk kita muhasabah kembali hikmah atau siratan maksud yang Sang Pencipta mahu sampaikan kepada kita semua selaku hamba-Nya yang mengaku bahawa tiada Ilah selain ALLAH dan pesuruh-Nya ialah Muhammad SAW.

Aslim taslam, kamu terima Islam kamu SELAMAT.

Mudah kata-kata di atas semudah untuk kita memahaminya….

Saya kira tidak silap untuk saya mengatakan bahawa kegagalan kita untuk kembali kepada pusingan orbit Islam itu telah menyebabkan segala perkara di atas berlaku. Salahnya kita di sini pabila kita gagal meletakkan keyakinan dan keimanan kita terhadap sistem yang telah siap sedia diatur dan disusun oleh ALAH, pencipta batang tubuh dan nyawa kita di posisi yang sewajibnya.

Sejak peristiwa tragis ini berlaku, berkali kali khatib di mimbar Jumaat mengingatkan kita bahawa semua “holocaust” yang sedang dan telah berlaku di negara kita ini adalah disebabkan kita tidak menjadikan syariat dan panduan hidup yang diturunkan ALLAH kepada Muhammad itu sebagai pakaian utama dalam segenap segi.

ALLAH berfirman,

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.” 
Surah aL-Maidah: 3

Maka, apakah masih ada kesangsian dalam diri kita untuk tidak melaksanakan segala hukum hakam yang terkandung dalam kitab suci dan kalam Rasulullah itu?

ALLAH murka pada kita dengan menarik rasa belas dan kasihan itu daripada jiwa kita lantas Dia menanam sifat ganas ke dalam sanubari kita. Malang. Sungguh malang kerana kita berusaha keras untuk memisahkan diri kita daripada orbit yang telah ditetapkan ALLAH kepada kita, maka ALLAH memberi peluang kepada kita untuk mentadbir diri kita.

Kesudahannya, mampukah kita?

Sudah tentu TIDAK. Lupa kah kita di kala Iblis begitu bongkak cuba menongkah perintah ALLAH supaya bersujud kepada Adam AS, maka kita sedia maklum kesudahan dan kehancuran yang telah menimpa pada Iblis laknatullah selepas itu gara-gara dia cuba keluar daripada batasan yang telah dibina untuk dirinya.

Inilah bahasa ALLAH kepada kita supaya kita memahami bahawa ALLAH tidak akan melakukan sesuatu itu dengan sia-sia tanpa ada kebaikannya kepada seluruh penghuni alam. Benarlah firman ALLAH dalam ayat ini buat kita yang berfikir,

“Patut kah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Surah aL-Mulk: 19

Tidakkah kita cuba memahami pesanan ALLAH dalam kejadian tragis ini?

Sudahkah kita sedar daripada lamunan kebobrokan taghut yang sedang mengganas mengoyak segala nilai-nilai Syariat yang telah ditetapkan oleh ALLAH?

Cukuplah kita menyedari daripada peristiwa kejam ini dengan menghayati mesej yang disampaikan oleh Sang Pencipta ini,

“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang diturunkan kepada mu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripada mu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.” 
Surah aL-Baqarah: 2-5

Kembalilah!

Kembalilah kepada al-kitab untuk kita merasai indahnya dan selamatnya Islam itu.

Marilah kita memperjuangkan agar hukum-hakam dan segala peraturan yang terkandung dalam kitab suci ini akan menjadi perlembagaan utama dalam kehidupan manusia. Lantas, ia akan melahirkan satu entiti yang cukup aman dan selamat dengan lindungan kasih-sayang-Nya.

Sedar atau tidak, kita sebenarnya sedang di hipnotis dengan mimpi indah tentang keamanan dan kesejahteraan di negara kita.

Di mana keamanan?

Di mana kesejahteraan?

Di mana sentosanya?

Kalau setiap hari bunuh, rompak, tikam, bakar, buang, ragut, rempit, dadah, rogol dan sebagainya. Maka, di manakah juzuk zarah aman dan damai tinggal di Malaysia?

Adakah kita masih lagi mahu terbuai dengan hipnotis seperti itu daripada kalam-kalam para pendusta setelah menyedari segala suasana sebenar di negara kita adalah seperti itu.

Persoalan terbesar yang sewajibnya kita semua jawab ialah,

  1. Tidak malu kah kita mendabik dada sebagai sebuah negara yang aman damai tetapi tidak melaksanakan segala tuntutan syariat sedangkan kita sepatutnya sedar apakah kita mampu menjamin kata-kata kita itu ataupun hanya gimik semata?
  2. Sedar kah kita bahawa tiada jaminan yang lebih jauh lebih terjamin selain daripada jaminan yang telah dijanjikan oleh ALLAH kepada kita?

Justeru, saya mengajak jiwa ku dan jiwa sahabat-sahabat semua untuk kita kembali menyelidik adakah kita masih berada dalam orbit yang sepatutnya ataupun sudah terkeluar jauh daripada landasan yang ditetapkan oleh Sang Pencipta kita.

Lantas, sesudah itu pasti kita akan memahami akan bahasa yang sedang ALLAH gunakan untuk bercakap dengan kita melalui peristiwa kejam ini insya-Allah.