Sunday, September 5, 2010

Iklan Raya TV3 Proses Kristianisasi Malaysia

Mungkin agak keras kenyataan ini namun inilah hakikat yang sedang berlaku dalam negara kita. Kita melihat mutakhir ini kegiatan untuk menyamaratakan kesemua bidang dalam aspek beragama mula membiak sedikit demi sedikit.

Terbaru, penghasilan dan penyiaran Iklan Raya TV3 telah mendapat kecaman yang begitu hebat daripada masyarakat Islam Malaysia yang tidak berpuas hati apabila mendapati isi kandungan iklan tersebut seakan cuba menyamakan antara sambutan ibadat Raya Aidilfitri dengan sambutan Krismas apabila memasukkan unsur-unsur perayaan Krismas di dalamnya.

Namun, saya tidak pasti setakat ini pihak TV3 sudah mengambil langkah membendung atau tidak tentang isu ini kerana saya kira rata-rata dalam laman sosial seperti Facebook ramai kenalan saya yang mengecam akan perkara ini dan mereka menuntut agar pihak TV3 menarik kembali siaran iklan ini atas alasan ianya mampu menyongsangkan pemikiran dan akidah kita terutamanya kanak-kanak yang mudah terpengaruh.

Bahaya besar akan menanti kita apabila kegiatan menyamaratakan agama ini terus berleluasa tanpa sekatan daripada pihak berwajib dan semestinya ancaman akidah menjadi persoalan utama di sini. Kemasukan berbagai unsur Kristian dalam usaha untuk menggambarkan suasana ibadat dalam Islam sepatutnya tidak berlaku dan wajib untuk kita membanteras perkara ini.

Ancaman penyongsangan pemikiran dan seterusnya akidah berlaku apabila kita merasakan gambaran dalam iklan itulah gambaran suasana hari raya yang penuh magis dan impian riang ria Santa Claus.

Padahal hakikatnya TIDAK sama sekali. Unsur-unsur Krismas inilah yang saya katakan sebagai proses Kristianisasi yang sedang berjalan dalam masyarakat Islam di Malaysia. Secara tidak sedar, pemikiran kita sedang cuba dipengaruhi oleh proses Kristianisasi agar kita merasakan bahawa sambutan Aidilfitri itu hanyalah sambutan riang ria semata-mata dan merupakan hari penuh kebahagiaan sahaja tanpa kita menghiraukan faktor holistik dan ketuhanan dalam perayaan umat Islam tersebut.

Kesan terbesar adalah kesan terhadap pemikiran kanak-kanak yang sedang dalam proses belajar dan menerima. Kekeliruan boleh berlaku dengan begitu mudah lantaran tidak ada usaha penerangan yang sesuai terhadap mereka.

Perkara yang perlu kita pertimbangkan di sini dan sepatutnya pihak TV3 sebagai salah sebuah stesen televisyen yang terbesar di Malaysia sedia maklum akan hakikat ini bahawa medium televisyen menjadi faktor terbesar dalam mempengaruhi pembentukan minda kanak-kanak terutamanya.

Sebab itulah, atas dasar rasa tanggungjawab maka saya mencadangkan agar iklan tersebut ditarik balik dan dihentikan penyiarannya. Lakukan siasatan segera terhadap produksi yang bertanggungjawab menghasilkan iklan tersebut agar kita dapat membendung segala langkah dan strategi Kristianisasi di Malaysia.

Perkara yang dibimbangkan di sini ialah berleluasanya pemikiran pluralisme agama dalam kehidupan seharian kita. Maksudnya lahirnya pemikiran yang suka menyamaratakan semua agama tidak kira Islam, Kristian, Hindu atau Buddha dan lain-lain dalam semua aspek.

Cuma bagi kita agama ini dipisahkan oleh acuan secara fizikal semata-mata tetapi matlamatnya semua sama iaitu menuju tuhan. Konsep dan pemikiran ini di dokong dan dipelopori oleh beberapa orang tokoh pluralisme agama antaranya John Harwood Hick. Kita merasakan kesemua amalan dan unsur agama lain itu adalah benar dan baik serta boleh diikuti dengan sewenang-wenangnya. Ini perkara paling bahaya terhadap akidah kita.

Merujuk kepada iklan tersebut, kemasukan unsur sambutan Krismas seperti lelaki tua yang berlagak seperti Santa Klaus benar-benar akan menerbitkan kekeliruan terhadap konsep perayaan Aidilfitri yang sebenar sebagaimana dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Kebanyakan mereka yang mempelopori dan menganjurkan kepada konsep pluralisme beragama ini adalah bertujuan untuk menyesatkan akidah umat Islam dan ini adalah senjata terbesar missiniori Kristian dalam memurtadkan umat Islam di Nusantara.

Bukan sekadar unsur-unsur Kristian, malah penggunaan bunga teratai adalah memberi maksud kepada Tuhan Brahma dalam agama Buddha. Perbetulkan saya jika fakta ini salah.

Mesej apa yang hendak disampaikan oleh TV3 melalui iklan ini sebenarnya? Hal ini perlu diperjelaskan.

Maka, berhati-hatilah. Jangan biarkan diri kita begitu mudah dipengaruhi dengan unsur Kristianisasi sehingga kita keliru dengan tujuan asal sesuatu ibadat itu disyariatkan. Dari sini, kita dapat membicarakan satu lagi persoalan iaitu konsep beribadat dalam Islam.

Aidilfitri bukan semata-mata sambutan keriangan dan kegembiraan dengan kuih raya, baju raya, duit raya dan segala rayanya. Ini konsep yang salah. Apatah lagi kita cuba menyamakan cara sambutan Aidilfitri dengan sambutan perayaan Krismas.

Sudah tentu amat tidak wajar. Aidilfitri adalah ibadah yang disyariatkan oleh ALLAH. Di dalamnya terkandung seribu keberkatan dan hikmah. Hal ini perlu kita sedar dan insafi. Keterlaluan dan ketaksuban kita dalam menyambut Aidilfitri akan menyebabkan kita mudah terpengaruh dengan cara-sambutan perayaan orang-orang Kafir.

Inilah perkara yang perlu kita ambil iktibar. Sebagai cadangan, tidak ada salahnya pihak TV3 atau mana-mana produksi penyiaran cuba melakukan sesuatu yang kreatif dan berlainan untuk menarik minat penonton selagi ianya tidak mengancam pemikiran dan akidah umat Islam.

Untuk bersangka baik, mungkin iklan ini bertujuan untuk lari daripada kebiasaan namun sayangnya kekeliruan dalam meletakkan konsep sebenar menyebabkan tujuan iklan ini tidak sampai kepada penonton. Semua keliru.

Kenapa tidak dalam iklan tersebut TV3 menggambarkan suasana takbir raya sebagai contoh dan lain-lain yang sinonim dengan masyarakat Malaysia sahaja.

Cukup sekadar itu celoteh saya mengenai isu iklan raya ini. Tuntasnya, marilah kita sama-sama berusaha membanteras segala bentuk dan proses kristianisasi yang cuba dimasukkan ke dalam kehidupan seharian kita termasuklah dalam hal-hal ibadat yang khusus.

Moga segala usaha kita akan mendapat tempat di sisi-Nya insya-Allah…