Monday, September 20, 2010

Ayuh, Teruskan Menulis!

Dengan Nama Allah Yang Menciptakan manusia dari segumpal darah.

Pesanan Manfaat Untuk Orang Beriman


Allah Ta’ala mengulang sebut dalam banyak tempat di dalam Al-Quran mengenai kepentingan pesanan. Bahawa pesanan itu memberikan manfaat kepada orang yang beriman dan pesanan itu juga menjadi tanggungjawab orang yang Beriman.

Mafhum daripada kenyataan ini ialah, sekiranya kita benar-benar beriman, kita akan gemarkan pesanan. Orang yang beriman gemar menerima dan juga memberi nasihat.

Berpesan-pesan tidak sedikit pun menjadikan mereka berasa bangga dengan kebaikan diri atau menjatuhkan maruah orang lain. Juga tidak menjadikan mereka berasa lemah dengan diri sendiri atau terlalu kagum dengan orang lain yang juga manusia biasa seperti mereka.

“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.” 
Al-Ghasyiyah, 88:21

Dalam hubungan mereka dengan manusia lain, mereka faham betapa perlunya konsep memberi dan menerima, begitu juga keperluan untuk memberi dan menerima nasihat dan pesanan.

Maka mereka melakukan aktiviti berpesan-pesan ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan juga kasih sayang mereka terhadap sesama manusia, semuanya dilakukan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Menjadikan mereka bangsa yang bertamadun dan hidup dalam lindungan kasih sayang serta rahmat Allah Ta’ala.

Berpesan Pada Diri Sendiri


Walau bagaimanapun, orang-orang yang beriman sentiasa sedar bahawa mereka sentiasa tidak pernah terlepas daripada mengamalkan pesanan yang mereka terima lebih-lebih lagi pesanan yang mereka berikan.

Tanggungjawab dalam soal berpesan-pesan ini, tidak terhenti sekadar menyampaikan pesanan, bahkan orang-orang yang benar-benar beriman, akan berlumba-lumba untuk melaksanakan pesanan tersebut.

“Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia dari kejahatannya. Bahagialah orang yang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebajikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan dari kata-katanya.” 
(Hadis riwayat Tabrani)

Sejujur nya, saya risau dengan diri saya sendiri, maka saya berpesan kepada diri saya untuk terlebih dahulu membuat koreksi, dalam kehidupan saya yang begini panjang, sejauh mana telah saya manfaatkan pesanan orang lain kepada saya, dan sejauh mana pula pesanan yang saya berikan telah saya amalkan.

Mungkin agak mementingkan diri, tetapi, saya rasa ada baiknya untuk saya mengambil tempoh bertenang dan menenangkan diri saya.

Kehidupan umat akhir zaman ini terlalu berkecamuk dan meruntun jiwa dan rohani saya. Sesak dada saya memikirkan nasib diri, orang-orang yang saya sayang, dan generasi akan datang. Adakah Tuhan akan menerima saya, sekiranya saya menghadap-Nya dalam keadaan begini?

Layak kah saya menerima gelaran beriman sedangkan pesanan dari-Nya tidak saya endah kan? Layak kah saya untuk bersama-sama dengan orang-orang yang soleh apalagi bersama kekasih Allah, Nabi Muhammad di syurga kelak.

Ya Allah, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Engkau, Maha Suci Engkau sesungguhnya aku sedang menzalimi diri aku sendiri. Aku ingin kembali, bertaubat dan memohon ampun dari-Mu Ya Allah. Sekiranya tidak engkau ampunkan, maka sesungguhnya aku tergolong di kalangan orang-orang yang rugi.

Ayuh!

Nota: Artikel ini adalah ulang siar daripada blog asalannya, Kaca Permata (Naqib usrah saya) sebagai peringatan dan motivasi buat semua sahabat-sahabat blogger untuk terus MENULIS demi menunaikan tanggungjawab berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran insya ALLAH.