Wednesday, August 11, 2010

Strategi Mencapai Takwa di Bulan Ramaḍān

Salam Ramadan buat semua rakan-rakan yang dikasihi ALLAH sekalian. Moga-moga rahmat-Nya akan sentiasa melingkari hidup kita terutama dalam usaha kita mengejar keredhaanNya dalam Ramadan yang penuh barakah ini insya-Allah.

Seperti firman ALLAH dalam al-Quran,

“Wahai orang-orang beriman, berpuasalah kamu sebagaimana mereka yang terdahulu berpuasa… moga-moga dengan itu kamu menjadi orang yang bertakwa.”
Surah aL-Baqarah: 183

Matlamat puasa ialah TAQWA. Apa itu takwa?

Saidina Umar aL-Khattab ketika ditanya oleh seseorang apakah itu TAQWA jawabnya, “Takwa itu umpama kamu berjalan di atas satu jalan yang penuh dengan onak dan duri. Pastinya kamu akan berhati-hati agar tidak tercedera dengan duri tersebut.”

Perhatikan di sana takwa itu ialah berhati-hati dari segala segi. Maka target Ramadan kali ini ialah kita mahu mencapai takwa. Kita mahu mencapai satu nilai hidup yang amat berbeza dimensinya berbanding dulu. Jika dulu kita mungkin mudah untuk merasa ringan apabila ingin melakukan maksiat.

Jadi, kita berharap kedatangan Ramadan akan menyebabkan kita berfikir dua kali sebelum melakukan apa-apa maksiat kepada-Nya kerana apa, nilai Ramadan itu sendiri telah memberi satu mesej kepada kita bahawa inilah masanya untuk kita berubah. Maka kita akan berhati-hati dalam setiap laku, kata dan gerak kita insya-Allah.

Seterusnya marilah kita menghayati sebuah hadith yang bermaksud,

Abu Hurairah RA telah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang Ramadan bermaksud:

“Sesiapa yang mendirikannya (Ramadan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Baihaqi, Abu Daud, Tarmizi, Nasa’ie, Malik, Ahmad)

Rasulullah SAW menyebut sesiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan mendapat keampunan seluruh dosanya yang telah lalu. Lalu apakah lagi yang mahu menghalang kita daripada berbuat segala amal kebaikan pada Ramadan sesi kali ini?

Inilah masanya untuk kita menukar gear amalan kita kepada-Nya kepada yang lebih tinggi kerana sedarlah bahawa masa itu tidak pernah menunggu kita untuk kita menangguhkan segala amal kebaikan kita. Marilah kita sama-sama berazam untuk melakukan perubahan secara besar-besaran terhadap gaya hidup kita dan menjadikan Ramadan kali ini sebagai titik mula yang benar-benar wujud.

Menjurus kepada itu, kita seharusnya sebagai seorang hamba perlu ada ‘check-list’ amalan supaya ianya mampu menjadi guide kepada kita untuk melakukan penilaian atau murtaba’ah kepada diri kita sendiri.

Mungkin sebelum ini kaki kita amat berat untuk ke masjid. Oleh itu jadikan Ramadan ini sebagai daya penolak kepada kita untuk menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita.

Atau mungkin kita begitu berat untuk menyelak helaian al-Quran sebelum ini, maka kuatkan semangat untuk Ramadan kali ini supaya keadaan itu berubah inshaALLAH.

Di sini saya ingin berkongsi tentang apakah perkara yang berada di tahap “MESTI DILAKSANAKAN” untuk Ramadan kali ini sebagai pedoman buat diri sendiri khususnya dan juga rakan-rakan yang dikasihi ALLAH semua.

Mandatori Untuk Solat Fardhu Berjemaah


Hah, inilah yang termesti. Adalah amat rugi jika kita amat bersungguh-sungguh menahan lapar dan dahaga namun kita gagal memenuhi saf di masjid atau surau untuk berjemaah setiap kali waktu solat tiba. Betul, tentu teramat rugi jika kita lepaskan peluang berjemaah di bulan Ramadan begitu sahaja.

Bayangkan jika kita mengimarahkan masjid di bulan kebiasaan pun sudah diberikan ganjaran yang banyak, cuba bayangkan jika kita melakukan perkara tersebut di bulan Ramadan. Seorang teman saya pernah berkata kepada, tiada maknanya jika kita berpuasa sedangkan kita gagal untuk turun ke masjid untuk berjemaah.

Memang seakan keras kata-katanya itu, namun itulah hakikatnya kerana Ramadan itu datangnya setahun sekali. Maka, jika kita diterima sebagai tetamunya pada kali ini, sematkan azam di hati untuk memenuhi saf solat di masjid untuk berjemaah selama sebulan ini secara konsisten. Insya-Allah segala niat baik kita pasti akan dipermudahkan olehNya.

Al-Quran Sebagai Zikir Harian


Semua rasa sudah maklum akan perkara ini. Ironinya, sebulan Ramadan pasti khatam sekurang-kurangnya satu kali. Jujur nya, diri ini berat untuk membuka al-Quran jika bukan di bulan Ramadan. Entah, di mana silapnya saya sendiri tercari-cari. Namun, saya tidak mahu membiarkan Ramadan yang sudah bertamu ini berlalu begitu sahaja.

Ini azamku dan berharap rakan-rakan juga begitu. Biarlah kali ini kita menjadikan Ramadan sebagai pencetus rasa “ingin” kepada helaian al-Quran. Sebaiknya kata seorang teman saya, sebulan Ramadan maka kita sudah khatam 3 kali namun padaku jika tidak mampu sebegitu, cukuplah kita berazam untuk cuba mengkhatamkan sekurang-kurangnya sekali.

Namun itu tidak wajib cuma kebiasaan masyarakat di Malaysia. Kita mengambil peluang Ramadan ini untuk mentarbiah diri kita dengan amalan sebegitu. Tiada paksaan untuk melakukan seberapa banyak sekalipun selagi termampu. Sebab itu saya meletakkan al-Quran sebagai zikir harian maka melazimi nya sudah jadi kemestian. Susah dan berat?

Kata orang, berdikit itu lebih baik berbanding kita tergesa-gesa lalu menyebabkan kita keletihan. Oleh itu, berazam lah dan kuatkan lah semangat. Fikirkan ganjaran di akhirnya sebagai satu motivasi insya-Allah akan ada kekuatan untuk kita melakukan semua itu kerana segala kekuatan dalam diri kita adalah milik ALLAH semata-mata.

Melazimi Istighfar Pencetus Taubat


Dalam satu hadith, Rasulullah bersabda bahawa pertengahan Ramadan itu adalah pengampunan. Maka melazimi Istighfar adalah langkah tepat untuk kita mencapai wawasan yang dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadith tersebut tanpa ragu. Melalui istighfar kita mampu mencetus rasa sesal dan kesal dalam diri kita seterusnya mahu kepada taubat.

Inilah fitrah manusia yang mahukan pengampunan bila melakukan kesalahan. Oleh itu, saya mengingatkan diriku dan rakan-rakan agar kita benar-benar berlumba pada Ramadan kali ini untuk kita melafazkan sebanyak mungkin Istighfar moga-moga Dia akan menerima taubat kita setelah hampir setahun kita mengumpul noda.

ALLAH menjanjikan pintu keampunan dibuka seluas-luasnya sepanjang bulan yang penuh barakah ini kepada seluruh umat Islam sahaja secara khusus. Inilah saat kita menyucikan diri kita dan “recharge” segala kekurangan yang ada pada diri kita kepada segala perkara yang baik. Taubat dari noda mampu menyebabkan neraka tidak mampu membakar kulit kita di Akhirat nanti.

Marilah kita sama-sama melafazkan Istighfar kepada-Nya dengan harapan yang menggunung tinggi agar diampunkan segala dosa dan noda yang lampau. Sungguh, kita tiada nilai di sana nanti jika kita menghadap Dia dalam keadaan diri kita penuh dengan dosa dan noda kepada-Nya.

Itulah sedikit perkongsian dari diriku kepada semua rakan-rakan dengan harapan agar setiap amal kebaikan yang kita laksanakan akan mendapat tempat di sisi ALLAH kelak. Mungkin ini antara strategi mencapai takwa di bulan Ramadan. Harapan saya Ramadan kali ini benar-benar mampu memandu jiwa untuk menjadi seorang hamba yang ikhlas dan sebenar-benar hamba kepada-Nya.

Tiada lain yang kita harapkan daripada Ramadan kali ini kecuali keampunan, rahmat dan reda ALLAH kepada kita senantiasa. Moga Ramadan kali ini memberi natijah yang berbeza kepada kita berbanding sebelumnya.

Insya-Allah…