Tuesday, August 3, 2010

Program Imam Muda Penawar Hedonisme

Syukur pada ALLAH kerana masih ada lagi insan seni yang berfikiran seperti Pengurus Saluran Astro Oasis, Encik Izelan di Malaysia yang sanggup menongkah arus dunia seni dengan mengusahakan dan menerbitkan sebuah rancangan realiti berbentuk islamik iaitu Program Pencarian Imam Muda.

Baru sahaja berakhir kira-kira 2 hari yang lepas dengan pingat pertama dimenangi oleh Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berusia 26 tahun yang berasal dari Sungai Gelugur, Pulau Pinang. Namun begitu, Ustaz Asyraf adalah tidak jauh bezanya dengan Ustaz Hizbur, pemenang tempat kedua aku rasa memandangkan tahap keilmuan mereka dalam bidang agama adalah hampir setaraf.

Apa pun, TAHNIAH buat kesemua peserta program Imam Muda khasnya dan seluruh koordinator program islamik ini umumnya kerana ANDA telah berjaya membuktikan bahawa rancangan ISLAMIK adalah merupakan penawar terhebat kepada arus hedonisme yang makin melarat dalam masyarakat kita pada hari ini.

Saya tak mahu membicarakan soal kemenangan yang berpihak pada siapa dan siapa kerana mereka itu semuanya layak memandangkan kesungguhan dan keupayaan mereka untuk membawa sesuatu yang berlainan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.

Mengambil kata-kata Ustaz Asyraf tatkala diumumkan sebagai pemenang beberapa hari lalu,
“Kegembiraan saya bukan disebabkan kejayaan bergelar juara tetapi saya bangga melihat kejayaan program ini yang berjaya sampai ke telinga masyarakat di seluruh dunia.”
Lantas, kita tengok program Imam Muda bukan sahaja mendapat liputan media dalam Malaysia, malah media dari Singapura, Jepun, Jerman, England dan Australia turut mengambil bahagian untuk membuat liputan di negara masing-masing berkenaan program ini.

Ternyata program sebegini yang mungkin kelihatan agak janggal dengan suasana dunia hari ini mudah mendapat liputan antarabangsa dan mereka sendiri tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.

Saya kira pasti ramai yang mula sedar akan kekuatan yang ada pada program ini sebagai salah satu penawar ampuh buat menangani gejala hedonisme yang semakin parah ini. Saya sendiri tidak menolak andaian yang ramai rakyat Malaysia yang mahukan agar program sebegini diteruskan di masa hadapan.

Kerana apa?

Tidak lain tidak bukan kesannya secara psikologi terhadap golongan muda terutamanya nyata begitu memberangsangkan. Kekuatan yang ada pada para peserta program Imam Muda ini nyata begitu memikat kami yang turut berada pada paras umur sebegitu.

Dengan kemampuan para peserta untuk berhujah dan berdebat secara ilmiah dan mengendalikan pelbagai “ujian” ketika dalam program yang melibatkan masyarakat luar tentunya menjadi aset utama yang mudah mengikat kami untuk terus memberi harapan terhadap program ini. Mereka mula yakin bahawa Islam itu tidak pernah memisahkan golongan pendakwah dengan masyarakat luar sepertimana yang sering kita rasa selama ini.

Malah melalui program ini, ternyata kesyumulan dan kesempurnaan Islam itu terserlah di mata seluruh rakyat Malaysia. Meskipun kita tidak menafikan akan kontra program ini yang diungkit kan ketika program bermula, namun hal ini bagi aku tidak perlulah diperbesarkan jika sekadar perkara tersebut melibatkan hal-hal khilafiah sahaja kerana adalah lebih elok dan lebih elok jika kita melihat program ini dari sudut metodologi dakwah masa kini.

Bagaimana kita mahu menyampaikan mesej Islam ke seluruh warga negara ini yang berbilang kefahaman dan tahap pengamalan ajaran Islam dalam diri mereka. Mungkin dengan adanya program ini, ia mampu menjadi titik tolak kepada lahirnya perbagai program bercorak keagamaan lain di kaca televisyen yang sebelum ini sering dipandang enteng oleh penerbit dan penyiar di Malaysia.

Insya ALLAH kita doakan ke arah itu kerana aku cukup yakin bahawa semua orang mahu melihat segala gejala hedonisme yang makin parah ini dapat dihapuskan.

Budaya Hedonisme atau budaya hiburan yang melampau-lampau adalah merupakan satu budaya yang makin mendapat tempat dalam kalangan remaja masa kini terutamanya. Dengan kelahiran dan bercambahnya konsert-konsert hiburan yang keterlaluan dan tidak mengikut terma dan budaya setempat menyebabkan barah ini makin parah.

Anak muda remaja lebih suka terkinja-kinja di konsert dan parti hiburan berbanding bertandang ke majlis-majlis ilmu. Ini realiti yang kita terpaksa hadapi pada masa kini. Malah, dengan kelahiran pelbagai program realiti seperti Akademi Fantasia, One In A Million, Malaysia Idol, So You Think You Can Dance dan lain-lain menyebabkan barah ini makin menjadi-jadi.

Saya tidak menafikan akan kebaikan (*mungkin) yang di bawa melalui program sebegini namun MASALAH yang telah terbukti realitinya akibat program ini jelas terpampang. Makanya, saya berani mengatakan bahawa kelahiran program realiti hiburan yang melampau ini adalah merupakan salah satu punca terbesar ke arah berkembangnya gejala sosial dalam kalangan masyarakat tidak kira peringkat umur mereka.

Oleh itu, saya sendiri secara peribadi sangat berharap agar program sebegini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi mutunya agar penyampaian mesej dakwah itu lebih berkesan selain melihat ia mampu menjadi pilihan yang TEPAT untuk mengurangi gejala hedonisme yang membarah masa kini.

Tidak cukup dengan itu saya menyeru agar penerbit-penerbit rancangan di media massa agar lebih sensitif terhadap isu ini kerana kita amat menyedari bahawa pengaruh media terhadap pembentukan akhlak dan sahsiah remaja adalah amat-amat diakui serta memberi kesan terbesar dalam segala aspek kehidupan mereka terutamanya.

Keprihatinan dan rasa tanggungjawab para pengusaha rancangan televisyen terhadap keperluan masyarakat masa kini adalah amat ditagih kan oleh kesemua pihak. Tindakan secara kreatif dan mencapah sepertimana dibuktikan oleh Encik Izelan, Pengurus Astro Oasis dalam mendekati masyarakat adalah di tahap MESTI untuk semua penerbit rancangan media.

Insya ALLAH aku amat yakin bahawa segala perancangan untuk memperbanyakkan program berbentuk Islamik akan terus mendapat sambutan oleh semua peringkat umur masyarakat di Malaysia.

Kita sebagai rakyat Malaysia pastinya sentiasa bermimpi agar satu hari nanti Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang benar-benar syumul dalam pengamalan syariat Islam di seluruh masyarakat. Sesungguhnya tiada yang mustahil dalam hal ini kerana kita sendiri sudah membaca dan menghayati bagaimana Rasulullah SAW yang berseorangan mampu mengeluarkan kaum Arab daripada belenggu syirik dan jahiliah kepada sebuah kaum yang digeruni kuasa besar dunia ketika itu iaitu Rom dan Parsi.

Maka kita, yang sekian ramai sudah mengaku bahawa ALLAH itu tuhan yang Esa dan Muhammad itu Pesuruh-Nya sudah tentu lebih mudah kerja ini.

Akhir kalam, jom kita semarakkan lagi sebaran dakwah kita ke seluruh umat manusia agar mata hati manusia makin celik melihat keindahan Islam sebagai cara hidup manusia paling sempurna di dunia ini. Jom kita sama-sama berusaha menghapuskan budaya HEDONISME yang semakin membarah dalam masyarakat kita khasnya remaja muda-mudi zaman sekarang kerana kita tahu bahawa merekalah penyambung rantai kepimpinan masyarakat pada masa hadapan.