Monday, August 16, 2010

Menghadapi Cabaran Nafsu di Bulan Ramaḍān

Hakikatnya, memang sukar. Bahkan kita sering tewas terkulai di lembah hasutan anak didik syaitan ini. Itulah nafsu yang bersarang dalam jiwa kita yang telah siap dididik oleh ‘guru’nya sebelum diikat di dalam api neraka sepanjang Ramadan. Ya, inilah cabaran nafsu di bulan Ramadan.

Mungkin jika berbicara soal ini, saya kira umum sudah mengetahui betapa inilah perkara paling sukar untuk kita hadapi. Ya, saya turut merasai bahang amukkan si nafsu ini bila gurunya diikat oleh Tuan yang Maha Besar.

Terfikir apakah remedi yang paling mujarab bagi mengatasi cabaran ini sedangkan keupayaan iman dan takwa dalam diri begitu malap?

Ya ALLAH, hanya pada-Mu aku memohon perlindungan.

Pesan seorang sahabat, “Sesungguhnya ALLAH itu Maha Mengetahui. Maka pohon lah kekuatan daripada Dia. Sedar, Dia tidak pernah membiarkan kita berseorangan dalam mendepani ini semua.”

Argh, tersedar dari lamunan ilusi ku. Sedar bahawa ALLAH ada sedia membantu ku. Lalu kenapa aku tidak memohon kepada-Nya?

Maka…

Sentiasa Mengharapkan Perlindungan Tuhan


Ini wajib. Setiap Muslim kena sedar hakikat ini. Hakikat bahawa ALLAH tidak pernah walau sesaat pun tidak melihat dan memerhatikan segala bentuk perlakuan kita. Kita sungguh beruntung kerana kita ada penjaga yang sentiasa menjaga kita sepanjang hidup.

Jadi, marilah kita menginsafi keadaan dan hakikat ini untuk menjadikan kita bersemangat untuk menghadapi cabaran anak murid syaitan ini di bulan Ramadan. Peringatkanlah diri sendiri bahawa tidak akan terlepas sedikit pun diri dan perbuatan kita daripada pandangan ALLAH.

Berusaha Menghabiskan Bacaan Quran


Sedar atau tidak, Quran dan Ramadan umpama irama dan lagu. Tidak lengkap jika kita mengalunkan Ramadan jika kita tidak menyulaminya dengan al-Quran. Aktiviti tadarus adalah perkara biasa yang kita dengar maka bagaimana dengan kita?

Adakah kita mampu menghabiskan sejuzuk satu hari sehingga saat ini dan tika ini?

Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Sejauh manakah “willingness” kita untuk mencapai target itu sendiri. Tapi!

Ingatlah, kita membaca al-Quran buka sekadar mengejar target sebulan khatam namun kita membacanya kerana itu kewajipan kita. Kewajipan kita sebagai Muslim mesti membaca al-Quran kemudian barulah kita mengamalkannya.

Kita haruslah sedar betapa fungsi al-Quran sebagai pedoman dan perisai ampuh dalam usaha menentang anak didik syaitan ini sendiri. Sayamenasihati dan memperingati diriku sendiri terutamanya kerana cukup sedar dan insaf betapa saya sering tertewas dengan nafsu yang menggelojak dalam diri. Maka, saya terfikir kan bahawa remedi ampuh dalam menangani masalah ini ialah KOMITMEN terhadap al-Quran insya-Allah pasti akan ada jalan keluar untuk kita.

Istiqamah Dengan Janji ALLAH


Sabda Rasulullah SAW mafhum nya,
“Barang yang berdikit itu lebih baik daripada banyak yang membebankan.”
Maka, Istiqamah itu adalah “keyword” terlaris di sini. Perlahan-lahan berdikit secara konsisten adalah lebih baik daripada melakukan secara banyak yang meletihkan dan berisiko untuk tidak akan buat lagi.

Jom kita ingat ALLAH selalu dan baca Quran selalu. Moga-moga dengan itu nafsu kita akan terdidik dan tunduk malu pada-Nya insya ALLAH.