Tuesday, August 24, 2010

Kewajaran Mahasiswa Berpolitik

Saya menonton sehingga habis video dialog antara mantan Naib Canselor UiTM dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Saifuddin Abdullah dalam isu kewajaran mahasiswa berpolitik.


Saya menonton sehingga habis video dialog antara mantan Naib Canselor UiTM dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Saifuddin Abdullah dalam isu kewajaran mahasiswa berpolitik. Video ini menunjukkan kepada kita betapa jurang di antara INTELEK dan JUMUD itu begitu luas. Walaupun berpangkat sebagai Naib Canselor di sebuah IPTA, namun itu tidak menjanjikan bahawa tahap keintelektualan seseorang itu terjamin dan diakui.

Tontonlah video itu, rasanya melata orang memuat naik di laman-laman sosial.

Bahasa lembutnya, mungkin inilah beza antara INTELEK dan JUMUD. Tapi bahasa kasarnya pandai-pandai lah teman-teman pembaca sendiri nyatakan. Boleh tulis di bahagian komen.

Tahniah buat Dato’ Saifuddin Abdullah kerana telah memberi satu cadangan bernas dan meletakkan satu tanda aras yang cukup baik dalam gerakan mahasiswa untuk menuntut agar HAK mereka diperjelaskan.

Saya suka mengambil kata-kata Dato’ Saifuddin bahawa ini adalah usaha jangka panjang untuk mewujudkan sebuah negara dan masyarakat yang matang demokrasinya.

Usah kita mempersoalkan tentang pro dan kontra isu ini kerana persoalan utamanya ialah BOLEH atau TIDAK mahasiswa berpolitik?

Ya, itu HAK mereka. Maka mengapa mahu disekat dan dinafikan?

Bayangkan, bukan setakat tidak boleh menyertai politik kepartian di luar, malah jika pelajar didapati bercakap mengenai politik di dalam kampus pun akan didakwa. Habis, di mana HAK mereka?

Kawan saya mengomel, “Seorang mat rempit yang seusia dengan kita bebas bercakap soal politik tanpa ada gangguan tetapi kita sebagai MAHASISWA yang berada di sebuah institusi keintelektualan DIHARAMKAN daripada bercakap soal politik…. Pelik betul kerajaan sekarang ini…”

Saya tersenyum sambil mengangguk kepala setuju dengan luahan itu.

Berbicara bagaimanakah jika berlaku itu dan ini, maka kita sudah ada begitu banyak akta dan peraturan untuk menanganinya. Mengapa takut?

Sejarah membuktikan mahasiswa merupakan pemain utama dalam mencetak sejarah ketamadunan dunia. Kekuatan yang ada pada mahasiswa sepatutnya menjadi aset paling berharga buat kerajaan untuk memastikan kemajuan dan wawasan negara pada masa depan tercapai.

Isunya, kenapa kerajaan begitu takut untuk membuat perubahan?

Atau ada agenda peribadi yang tersembunyi?

Namun, video tersebut jelas menunjukkan betapa hipotesis ini betul.

Kami amat berharap agar Dato’ Saifuddin Abdullah akan terus berusaha memperjuangkan isu ini demi kelangsungan budaya demokrasi matang di negara kita yang tercinta ini.