Tuesday, August 31, 2010

53 Tahun Merdeka!

Selamat menyambut Kemerdekaan kali ke-53!

Tahniah dan selak lah helaian akhbar anda. Saya bercadang mahu memuatnaik kepingan gambar-gambar yang menjadi pembuktian kepada kemerdekaan bangsa Malaysia namun, jauh di sudut hati saya tidak dapat menanggung rasa sedih dan bersalah untuk berkongsi gambar-gambar tersebut.

Lantaran saya memikirkan mereka dalam gambar itu bukanlah makhluk yang bersalah, jauh sekali ada dosa atas diri mereka. Mereka cumalah bayi-bayi yang cukup sifatnya, telah dibuang ditepian longkang dan tong sampah setelah ibu dan bapa mereka yang telah berseronok cuma 2-3 minit itu merasa puas.

Saya cadangkan untuk sesiapa yang merasa sanggup untuk menatap photo-photo menyayat begitu, silalah Googling sendiri.

Tapi ingat, kawan-kawan semua, kita sudah Merdeka!

Jangan lupa itu kerana Tunku Abdul Rahman sudah laungkan kalimah keramat Merdeka sebanyak 7 kali pada 53 tahun yang lepas. Antisipasi saya, mesti Tunku bangga menyaksikan bangsa Malaysia begitu maju dan Merdeka sekarang.

Hakikatnya, gambar-gambar bayi dibuang merata-rata - bak kata pepatah bijak pandai, bersepah-sepah bayi dibuang umpama syiling emas bertaburan dari langit - masih tidak menggambarkan sepenuhnya bahawa bangsa kita sudah Merdeka.

Banyak lagi bukti Merdeka kita. Cuma saya kira di sin bukanlah album untuk menayangkan kesemua gambar-gambar itu. Tujuan saya bukanlah mahu mengaibkan sesiapa, tetapi untuk menyatakan rasa penghargaan dan tahniah atas kemerdekaan mereka.

Cuma satu persoalan yang timbul di benak, 50 tahun mendatang bagaimanakah nasib tanah airku dan bangsanya?

Saya tiada jawapan, dan memang tidak berani pun untuk cuba mengagak. Moga tuhan masih berkehendak untuk memberi kasih dan sayang-Nya kepada kita semua.