Thursday, July 8, 2010

Spain dan Teori Six Thinking Hats


Semalam Spain memenangi Piala Dunia apabila mengalahkan German 1-0 di perlawanan akhir. Sekadar keluar dari topik kebiasaan yang bercakap soal strategi dan taktikal dan sebagainya, saya memilih untuk menghuraikan pengaplikasian teori Six Thinking Hats oleh Edward de Bono dalam perlawanan semalam.

Mereka bermain dalam pengaruh dan kekuatan pemikiran lateral. Mencapah dalam mengatur strategi, penuh kreatif, sekali-sekala menimbulkan provokasi membina, perlahan-lahan membina pengaruh psikologi, jelas tujuan dan matlamat akhir dan pastinya kebijaksanaan mereka dalam menyusun keperluan teori 6 topi milik Edward de Bono pada setiap saat permainan.

Taktikal nya, mereka bergerak dalam sebutan tiki-taka, permainan hantaran pendek yang membentuk rangkaian serangan yang menakjubkan serta penguasaan bola yang begitu mengagumkan.

Spain bermula dengan menggunakan topi Hijau apabila sejak bermulanya permainan, kelihatan beberapa pergerakan kreatif dapat dilakukan yang memaksa pemain German bekerja keras untuk mencantas peluang itu. Babak pertama meskipun agak membosankan namun tidak terburu-buru dalam menjana serangan adalah kekuatan Spain untuk membina pengaruh psikologi ke atas German.

Walaupun sebelum perlawanan, mungkin statistik gol yang di miliki German dalam 5 perlawanan agak menggerunkan namun gaya permainan Spain bermulanya permainan menyebabkan German mula hilang arah tujuan. Serba tidak kena.

Bukan sekadar kreatif tapi Spain turut konstruktif dalam strategi permainan mereka. Ternyata makin lama mutu permainan Spain terus meningkat naik berbanding German yang makin tidak keruan. Mungkin di sini boleh saya analogi kan kepada pengaplikasian teori topi Kuning Edward de Bono yang melambangkan kepada pemikiran konstruktif.

Penjanaan serangan secara bertali arus sejak awal permainan memperlihatkan kelemahan German di bahagian kawalan Boeteng. Akhirnya, Spain mengambil peluang ini dengan memanfaatkan kelemahan yang terpampang ini dengan menyusun gerak serangan yang lebih berbahaya terhadap German menerusi gandingan Xavi dan Iniesta.

Dari serangan ini, Spain mengkaji kelemahan serangan mereka yang masih mampu menyebabkan kubu German terus utuh.

Sesekali menyemai matlamat mereka dengan jelas apabila Alonso menyorongkan beberapa kali rembatan kencang ke arah goalie German walaupun tersasar. Tapi, sekurang-kurangnya semua tahu bahawa Spain bermain untuk mencari gol bukan sekadar menendang bola.

Edward de Bono menjadikan topi Putih sebagai lambang kepada pemikiran yang objektif serta tidak prejudis. Malah, dengan adanya beberapa siri rembatan ini ternyata mampu menanam perasaan yakin kepada Spain untuk terus merobek melalui Iniesta dan Xavi serta percaturan Ramos dan Pique, Spain menunjukkan bahawa mereka benar-benar menguasai teori topi Hitam Edward de Bono.

Gerakan mereka di atas penuh kritikal, walaupun kadang kala tidak menepati sasaran namun cukup baik untuk menyebabkan German terus terbungkam dan panik. Penuh cemas dan gulana namun dibantu dengan kelembapan pengadil menyebabkan German terselamat daripada dikenakan hukuman penalti dan sebarang kad.

Namun begitu, kadang kala Spain emosional lantaran keletah nakal German dan pengadil dan turut terpengaruh dengan beberapa siri serangan yang dilakukan German. Penggunaan topi Merah ketika situasi sebegini menyelamatkan Spain daripada beberapa situasi mencemaskan terutamanya selepas mereka menjaringkan gol menerusi Puyol. Kadang kala mereka kelihatan terpaksa berhempas pulas dan mengatur strategi asal agar rentak permainan terus menjadi milik mereka.

Tapi, Spain lahir untuk menguasai dunia bola sepak. Mereka begitu pakar dalam penggunaan topi Biru. Semua lawan mereka pasti akan tunduk mengalah dan terikut-ikut gaya permainan mereka yang penuh ketengan itu.

Sifat dan gaya mereka yang hebat menguasai orang lain menyebabkan German tiada peluang untuk menguasai bola secara lama. Spain bijak mengawal suasana agar sentiasa berpihak kepada mereka. Walaupun kadang kala nampak leakage dan loose dalam corak permainan mereka, namun kemampuan mereka menguasai pemikiran topi Biru ini patut di puji dan di contohi. Walaupun berdepan dengan pasukan yang laju rentak permainan mereka, Spain masih lagi cool dengan corak mereka tanpa terpengaruh sedikit pun.

Sebenarnya menulis entri ini sekadar suka-suka dengan menganalogikan match semalam dengan kaedah pemikiran yang diperkenalkan oleh Dr Edward de Bono. Cuba membawakan satu kelainan dalam memahami Teori Pemikiran Lateral dengan memanfaatkan situasi yang berlaku dalam dunia bola sepak sekarang.