Saturday, July 31, 2010

Pendidikan Seks di IPTA

Pertamanya saya ingin meminta maaf jikalau ada sesiapa terasa atau sakit hati dengan artikel ini. Namun, ini adalah pendirian dan pendapat berkenaan suatu masalah atau fenomena yang seakan merebak tanpa ada sekatan sehinggakan mengganggu kelancaran sistem dan perjalanan sesuatu matlamat.

Fenomena di sini ialah sebuah polemik yang berlaku dalam diri pelajar lelaki bilamana berada di dalam dewan kuliah untuk sesi perkuliahan. Polemik ini tercetus kerana kewujudan para pensyarah wanita yang seksi atau dengan kata lembutnya, tidak mematuhi etika pemakaian yang sepatutnya.

Sungguh, hal ini menjadi seakan barah yang bukan lagi menjadi bahan lawak sesama kami malah lebih daripada itu secara jujur nya.

Mungkin kerana hal inilah saya mengatakan bahawa betapa Pendidikan Seks secara percuma dan tidak langsung telah berlaku di dalam perkuliahan dengan sesetengah pensyarah wanita. Sekali lagi saya tekankan bahawa sudut pandang kali ini adalah berdasarkan penulis sebagai lelaki dan sebagai seorang pelajar yang sedang berusaha menuntut ilmu di IPTA.

Dalam hal pensyarah wanita memakai pakaian yang seksi atau begitu seksi, mungkin pada pandangan teman-teman perempuan lain hal ini tidak menjadi masalah namun bilamana berbicara dari pihak lelaki ternyata keadaan ini telah mengundang pelbagai masalah dan mencetuskan sebuah polemik yang tidak baik kesannya.

Saya tak mahu mempersoalkan hak peribadi atau hak asasi kerana jika menggunakan hujah sebegitu, maka tidak perlulah entri ini ditulis.

Cuba bayangkan seorang pensyarah wanita yang masih lagi belum memasuki usia senja dan kata orang, masih bergetah duduk mengajar dalam sebuah dewan kuliah yang sejuk dan nyaman di sebuah fakulti kejuruteraan yang terkenal dengan populasi lelaki sentiasa 3 kali ganda daripada bilangan perempuan dengan memakai pakaian yang cukup sendat sehingga menampakkan segala bonjolan dan lurah yang wujud pada badan mereka yang diciptakan ALLAH di hadapan kira-kira 50 orang pelajar lelaki yang dikira sudah mampu menjadi bapa jika beristeri?

Dan cuba kembali kepada realiti, apakah tanggapan kalian sebagai pembaca terhadap situasi ini?

Siapa mangsa dan siapa pemangsanya?

Mungkin pada satu pandangan, hal itu tidak menjadi masalah memandangkan umur kami secara puratanya adalah antara 19 – 21 tahun. Maka dari segi umur itu, kebiasaan kaum Adam pada saat ini akan lebih mudah menghasilkan imaginasi tahap bombastik dan mampu menilai sesuatu secara tepat rasa seumpama kata pepatah, sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya.

Oh, sekadar berimaginasi itu tidak mengapa. Namun tumpuan kami? Fokus kami ketika itu di mana? Slide atau body?

itu persepsi terhadap kami yang berusia begini.

Ok la, sebagai seorang yang bakal menjadi engineer, kamu perlu melatih imaginasi kamu sentiasa agar mampu melahirkan idea-idea baru.

Namun, bagaimana pula nasib mereka yang sudah berumah tangga dan terpaksa meninggalkan isteri mereka jauh nun di Malaysia Timur demi segulung ijazah dalam tempoh yang lama bila berdepan dengan situasi di atas?

Aduh, mahunya mereka menjadi sasau daripada belajar akibat tekanan jiwa dan batin mereka tambah-tambah bila berdepan dengan pensyarah wanita yang suka mengiklankan bukit bukau yang ada pada badan mereka.

Fokus pada kertas terus lari dan mula menangisi kerinduan terhadap isteri-isteri mereka di rumah.

Maka kami dari sini mula belajar betapa inilah Pendidikan Seks yang sebenarnya. Tak perlu susah-susah kerajaan menghabiskan duit mengkaji dan mewujudkan subjek baru dalam syllabus persekolahan mengenai seks jika hal ini berlaku kerana kami sudah mendapat lebih dari cukup untuk ini. Cuma nya ianya berlaku secara informal.

Inilah polemik yang berlaku dalam zaman sekarang di mana zaman umat Islam sendiri sudah hilang hormat pada ajaran agama Islam malah berbangga dengan budaya yang begitu berisiko tinggi itu.

Persoalan di sini ialah, pertamanya adakah para pensyarah wanita yang terlalu suka mengiklankan bukit bukau mereka secara percuma itu tidak memiliki sensitiviti terhadap kuasa “kebolehupayaan” milik setiap pelajar lelaki mereka selama mereka berada di depan untuk mengajar dalam keadaan sebegitu rupa?

Sedar kah bahawa siapakah yang menjadi mangsa dalam masalah ini dan siapakah pemangsanya?

Sungguh, saya kasihan terhadap nasib mereka para pensyarah wanita ini kerana mereka dijadikan ALLAH dalam keadaan yang cukup terpelihara kehormatan dan kemuliaan mereka. Mereka diciptakan dengan disertai pelbagai syarat-syarat khusus demi untuk menjaga “hak” mereka agar terus menjadi hak mereka dan beberapa orang yang berhak ke atas “hak” itu sahaja.

Tidak sedar kah mereka akan keistimewaan ini yang hanya dikurniakan kepada makhluk yang bernama WANITA?

Benar, kalian adalah makhluk mulia dan begitu terpuji kejadian mu. Wujud kalian adalah bukan untuk menjadi santapan nafsu dan mata syaitan milik kami senantiasa.

Beringatlah dan sedarlah akan hakikat ini. Kembalilah kepada asalan tujuan kita di dunia ini. ALLAH berfirman,
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Surah aN-Nur: 31
Pokoknya Rasulullah SAW sendiri pernah menegur Asma’ tentang etika seorang wanita terhadap pemakaian mereka dalam sebuah hadith,
“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan kedua tapak tangannya.”
(Riwayat Abu Daud)
Jika etika ini dipatuhi maka polemik ini tidak perlu lagi diungkit-ungkit. Islam itu amat mudah tetapi Islam tidak pernah mengajar penganutnya untuk mempermudah kan segala ajaran yang terkandung di dalamnya.

Mungkin skop perbincangan ini saya tumpukan tentang apa yang terjadi di dalam dewan kuliah kerana saya tahu jika kita berbicara soal ini di dalam ruang lingkup keseluruhan masyarakat maka kita akan menyaksikan perkara ini umpama tiada apa-apa.

Awas, jangan sesekali kita menganggap gejala dedah sana londeh sini adalah perkara biasa di zaman ini. Perlu dipertegaskan bahawa inilah tugas dan tanggungjawab kita sebagai khalifah di buka bumi milik ALLAH ini untuk menyampaikan segala apa yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada kita dalam segala bidang dan cakupan kehidupan.

Maka, saya amat berharap agar jika ada pembaca yang membaca artikel ini bekerja sebagai pensyarah atau guru boleh mengambil iktibar di atas perkara ini. Jujur nya saya kata, polemik ini telah menimbulkan pelbagai masalah sosial dalam kalangan remaja.

Harapan mereka berada di institusi pengajian ilmu tidak kira di sekolah atau universiti adalah untuk belajar tentang segala yang baik dan elok namun bilamana kejadian atau fenomena ini makin menular maka harapan ini akan tinggal harapan sahaja tapi saya tidak mengatakan bahawa perkara ini menjadi faktor terbesar dalam menyumbang ke arah meningkatnya gejala sosial tetapi ia adalah sebahagian yang menyumbang jasa ke arah itu.

Oleh itu, beringatlah dan ambil lah pengajaran.

Tuntas nya, TOLONGLAH!

Tolonglah jaga etika pemakaian itu wahai pensyarah-pensyarah wanita yang amat disayangi kerana kalian adalah wasilah kepada kami untuk mendapat ilmu di dewan kuliah. Janganlah kerana iklan percuma itu menyebabkan fokus kami dalam dewan kuliah hilang entah ke mana!