Tuesday, July 27, 2010

Nisfu Syaaban Garis Mula Latihan Ramaḍān

Alhamdulillah, hari ini dan semalam merupakan nikmat ALLAH kepada hamba-Nya untuk terus beribadat dan mengerjakan kebaikan demi mengejar sebuah harapan syurga nun jauh di Akhirat nanti. Dia masih lagi membenarkan kita semua kali ini untuk sampai sekali lagi di garisan permulaan bagi menjalani sebuah latihan khusus untuk menghadapi bulan membina takwa kira-kira 2 minggu lagi.

Masya-Allah kita sentiasa berdoa agar ALLAH mencapaikan hasrat itu moga-moga kita dapat menjejakkan hati kita di Ramadhan ini.

Nisfu Syaaban sebagai “starting point” buat diri kita sebagai umat Islam dalam menyediakan diri untuk berdepan ujian keimanan di Ramadan nanti. Analogi nya begitu mudah, umpama seorang atlet yang sedang bersiap menghadapi kejohanan yang besar dan lumayan ganjarannya, sudah pasti persediaan dan latihan yang perlu dilakukan adalah bukan sedikit dan main-main. Sudah tentu INTENSIF maka tunggulah INSENTIF nya.

Makanya, Ramadan adalah sebuah kejohanan ketakwaan yang menawarkan ganjaran bertaraf platinum atau mungkin lebih dari itu. Kita adalah contestant dan kita berharap agar kita mampu layak ke kejohanan itu.

Latihan dan persediaan mestilah penuh rapi dan tersusun. Maka Nisfu Syaaban pada hari ini tidak salah jika kita menganggapnya sebagai titik mula untuk kita memulakan latihan intensif kita.

Saya menulis sebagai peringatan untuk diri sendiri khususnya dan semua teman-teman. Mungkin sebelum ini kita sukar membuka lembaran al-Quran sebagaimana kita menatal Facebook atau mungkin sebelum ini kita susah menghampar sejadah sebagaimana kita bersembang maya dengan kawan-kawan kita.

Dan mungkin juga sebelum ini kita teramat sukar untuk berjalan ke masjid berbanding kita blogwalking berjam-jam dan berkemungkinan besar kita juga sebelum ini sering gagal berdiri 2 rakaat di Subuh hari berbanding kita mampu melakukan movie marathon sehingga tidak tidur malam.

Atau mungkin segala-galanya yang memungkinkan ke arah itu?

Moga ALLAH memberikan hidayah dan kekuatan buat diri kita semua untuk mula menyesali dosa dan lara kita sebelum ini dan menginsafinya demi menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan, rahmat dan keampunan tidak lama lagi.

Kami reda menerima ALLAH sebagai Tuhan kami. Islam sebagai agama kami dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul kami.

Dengan nama ALLAH yang bersama nama-Nya, tiada suatu pun yang dapat mengenakan mudarat sama ada di Bumi atau langit, dan Dia adalah tuhan yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui.

Ya ALLAH, sesungguhnya kami memohon perlindungan-Mu. Jangan kami menyekutukan-Mu dengan sesuatu yang kami ketahui dan kami mohon keampunan-Mu terhadap penyekutuan yang tidak kami ketahui.

Ya ALLAH engkaulah Tuhan kami. Tiada tuhan melainkan Engkau. Engkaulah yang menjadikan kami. Kami adalah hamba-Mu dan kami berusaha sedaya upaya mendapatkan janji-Mu. Kami memohon perlindungan-Mu dari apa-apa kejahatan yang telah kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu terhadap kami dan kami mengakui DOSA kami. Maka ampuni-lah kami, kerana sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni dosa kami melainkan Engkau ya ALLAH.

Peringatan dan doa buat diriku dan sahabat-sahabat semua sempena malam Nisfu Syaaban ini. Kita berusaha ke arah itu dan akan terus berusaha ke arah itu. Marilah kita sama-sama memanfaatkan tempoh 2 minggu Syaaban sebelum menjelang Ramadan untuk mempersiapkan diri kita ke arah mendapat darjat dan impian setiap individu Muslim sepertimana firman ALLAH dalam al-Quran,

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhan-mu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhan mu) ! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba ku yang berbahagia dan masuklah ke dalam Syurga Ku!”
Surah aL-Fajr: 27-30

Insha’Allah!