Tuesday, July 20, 2010

Melayu Bersatu

Tun Mahathir menulis isi hatinya dalam blog berjudul Melayu Ke Mana dan disambut girang oleh PERKASA dan beberapa individu lain dalam UMNO, dan dikuatkan lagi dengan kenyataan-kenyataan melalui Utusan Malaysia.

Tun Mahathir menulis,
"Dengan ini besar kemungkinan Melayu secara sebenar sudah menjadi puak minoriti yang tidak berkuasa di negara sendiri. Kalau mereka berpendapat mereka akan diberi layanan yang baik apabila sudah tidak sebenar berkuasa, lihatlah sahaja nasib kaum mereka yang sudah menjadi kaum minoriti di negara jiran. Masa sudah tiba untuk orang Melayu memikir dengan mendalam akan nasib masa depan mereka. Bersatu teguh, bercerai roboh. Pilihlah yang mana satu. Saya akan dituduh “chauvinist” dan “racist” kerana menyuarakan pendapat saya ini. Saya sanggup di label dengan apa sahaja label. Niat saya ialah untuk memperingati kita semua sebelum nasi jadi bubur. Berpecah dan berebut lah. Akhirnya yang dikendong akan berciciran dan yang dikejar tidak tercapai. Wahai Melayu, ke mana kamu?"
Utusan Malaysia juga tidak kurang galak menyambut saranan ini. Pada 19 Julai tersiar satu artikel yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kenyataan Mahathir.
"Orang Melayu dapat merasai betapa tidak selesanya apabila pentadbiran dikongsi bersama dengan kaum yang tidak mahu memahami adat dan agama yang dianuti oleh Melayu. Usaha untuk memecah-belahkan orang Melayu dan Islam akan terus dilakukan oleh musuh dalam selimut. Melayu kena berwaspada kerana apabila kita hilang kuasa, perkara dalam undang-undang negeri boleh diketepikan sesuka hati. Bayangkan apa kemungkinan yang berlaku jika perubahan berlaku di peringkat Parlimen?"
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar menyeru orang Melayu agar duduk berbincang dan mengetepikan perbezaan ideologi politik demi kesejahteraan bersama.
“Tulisan Tun saya sifatkan sebagai satu bentuk peringatan supaya kita tidak menyesal di kemudian hari. Cuba renungkan, andai kita berpecah belah dan hilang kuasa, kita akan dipijak-pijak bangsa lain.”
Perlu kah?

Perlu kah bersatu?

Timbul persoalan dalam diri bila membaca ini semua. Mengapa baru sekarang?

Apa yang kamu telah buat selama 55 tahun memerintah?

Terbela kah Melayu selama 55 tahun itu?

Pernah kah Pulau Pinang itu menjadi milik Melayu selama 55 tahun itu?

Mengapakah penguasaan Melayu dalam sains dan matematik makin menurun dalam tempoh 55 tahun itu?

Mengapakah 55 tahun itu tidak mampu membela tanah sekangkang kera di Kampung Baru Kuala Lumpur?

Mengapakah tempoh 55 tahun itu menyaksikan harga barangan terus menyebabkan para petani mati kebuluran?

Terbelabkah ISLAM selama 55 tahun itu?

Selama 55 tahun, berapa ratus ribu kah mereka yang dibaptiskan?

Mengapakah 55 tahun ini menunjukkan indeks anak luar nikah terus meningkat berkali ganda besarnya?

55 tahun juga menyaksikan rasuah 5 bintang terus berleluasa, di mana kau berada?

Warga FELDA terus kempunan geran tanah juga dalam tempoh 55 tahun ini, maka apakah maknanya?

Kenapa selama 55 tahun kau tidak pernah membantah judi dan arak di Malaysia malah kau cuba menghalalkan nya lagi?

Mengapa baru sekarang kau sedar Melayu itu mundur dan terus mundur?

Tidakkah 55 tahun itu menyedarkan kau tentang hakikat penipuan DEB?

Atau kau menipu dengan mimpi ekuiti 18 peratus dalam DEB milik kroni Melayu?

Mengapa sekarang baru terhegeh-hegeh macam kera sumbang?

Buta kah kau selama ini?

Biar terus berpecah, jika itu menjanjikan kebaikan untuk rakyat. Bersatu atas maksud apa?

Bersatu untuk mengenyangkan kroni?

Bersatu untuk mengaut duit rakyat?

Bersatu untuk menabrak hak asasi marhaen?

Bersatu untuk mengentutkan para arjuna atasan?

Bersatu untuk menabur janji manis?

Bersatu untuk menutup mata revolusioner?

Bersatu untuk membeli kepercayaan?

Bersatu untuk terus kekal berkuasa?

Bersatu untuk terus bernafas menjelang PRU-13?

Jika kau mampu menjawab persoalan di atas maka aku sanggup memilih mu. Berpecah kah kita kerana memilih PAS atau mengundi PKR atau mengibarkan bendera DAP?

Atau pada kau bersatu itu hanya dengan memakai lambang keris sahaja?

Kami bukannya buta wahai sang arjuna atasan kerana kami sedar kami berada di negara demokrasi kononnya.

Aku mencoret kan ini sambil memikirkan bagaimanakah nasib harga minyak dalam tempoh 2 bulan akan datang kerana aku yakin kau pasti tidak akan menyusahkan rakyat di bawah jagaan mu ini.

Dan kau amat membela nasib kaum Melayu ini. Sungguh aku tak tipu sebab utamanya segalanya datang tanpa minyak, maka naikkan lah sesuka hatimu.

Sedih mengenang Melayu ku mula bersatu….