Friday, July 23, 2010

Masihkah Terbuka Pintu Taubat Untukku?

Terdapat sebuah hadith menceritakan satu kisah penuh tragis dinukilkan dalam Sahih Bukhari, Muslim dan Ahmad yang menceritakan bagaimana seorang lelaki yang telah membunuh sebanyak 99 orang yang terpelihara jiwanya. Kemudian datang sesalan di dalam dirinya akan dosanya yang mungkin tidak terampun.

Bayangkan jika kita membunuh 1 jiwa yang terpelihara, adakah pintu syurga masih lagi terbuka untuk kita?

Tentu saja dia akan dihumbankan ke dalam neraka yang tidak terperi azabnya pada anggapan kita.

Seluruh badannya dilumuri darah, tangan dan jari jemarinya bertukar warna menjadi kemerahan dek disimbah darah mereka yang dibunuhnya. Pedangnya terus terhunus dan matanya melilau mencari mangsa.

Saat tiba bila mana ALLAH meniupkan hidayah dan rasa kekesalan di dalam dirinya, dirinya yang begitu hebat dan gagah tika membunuh orang tetiba menjadi sejuk kedinginan dan menggeletar bila mengenangkan azab seksa Neraka yang bakal ditempuhinya jika di meninggal sebelum sempat bertaubat.

Dia memikirkan saat pertemuannya dengan ALLAH di Akhirat kelak dalam keadaan membawa dosa yang tidak terperi besarnya. Namun di sebalik itu dia cukup yakin bahawa ALLAH pasti akan mengampuni dosanya kerana tiada yang mengampuni dosa, yang menghukum, yang menghisab dan yang membenci hamba-Nya kerana dosa kecuali ALLAH SWT.

Lantas dia berbisik, “Sesungguhnya para raja pun bila para suruhan mereka telaah tua dan beruban dalam perkhidmatan mereka, mereka akan dimerdekakan dengan pemerdekaan dan pembebasan yang baik. Maka Engkau, wahai Pencipta ku jauh lebih pemurah dan penyayang daripada itu. Sekarang sungguh aku telah tua dalam perhambaan diri maka bebaskan lah diriku dari neraka.”

Kemudian dia pun keluarlah dengan pakaiannya yang masih berlumuran darah dan pedangnya masih lagi mengalirkan darah mangsanya sambil berjalan dalam keadaan mabuk seraya meracau dan bertanya kepada orang ramai, “Adakah aku masih boleh meminta pengampunan ALLAH?”

Orang ramai berkata kepadanya, “Pergilah kamu kepada seorang rahib yang tinggal di sebuah kuil di hujung kampung ini dan tanyalah sama ada kamu masih boleh meminta ampun atau tidak.”

Lantas dia pergi kepada rahib tersebut kerana dia menyedari hanya para alim mampu memberi fatwa akan dirinya yang begitu berdosa ini.

Namun sayang sekali bilamana rahib tersebut rupa-rupanya hanyalah seorang hamba yang tertipu dengan keasyikan beribadah sehinggakan dia gagal memenuhi dirinya dengan ilmu agama dan pengetahuan yang mencukupi malah telah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada dalam agama.

Selari dengan firman ALLAH dalam al-Quran,
“Kemudian Kami iringi sesudah – mereka: Rasul-rasul Kami silih berganti, dan Kami iringi lagi dengan Nabi Isa ibni Maryam, serta Kami berikan kepadanya: Kitab Injil; dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutnya perasaan belas kasihan (sesama sendiri). Dan (perbuatan mereka beribadat secara) “Rahbaniyyah” – merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkan nya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik – derhaka.”
Surah aL-Hadid: 27
Aduh, si pencari kata tuhan itu telah menemui orang yang salah.

Lalu dia mengetuk pintu kuil itu untuk bertemu dengan si rahib tadi. “Aku memohon perlindungan ALLAH dari kejahatan mu,” si rahib tadi berdoa setelah melihat penampilan lelaki tadi.

Lantas si lelaki tadi bertanya kepada rahib tadi, “Wahai rahib si ahli ibadah, aku telah membunuh 99 orang yang terpelihara jiwanya. Maka apakah masih ada pintu taubat untuk ku?”

Si rahib lantang menjawab, “Tiada taubat untuk mu!”

Maha Suci ALLAH, apakah kau ditugaskan untuk menghukum manusia atau memberi tunjuk ajar kepada mereka?

Apakah hak kamu untuk menutup pintu taubat yang dibuka oleh ALLAH kepada manusia dengan sewenang-wenangnya?

Apakah kau adalah ahli dalam memberi fatwa dalam bidang ini sedangkan hanya ulama’ sahaja yang berhak ke atasnya?

Lalu si lelaki tadi berputus asa dari rahmat ALLAH dan kemarahannya memuncak. Dia pun terus mengangkat pedang dan melibas kan ke atas badan si rahib tadi untuk menggenapkan mangsanya kepada 100 sebagai balasan setimpal kepada rahib tersebut.

Namun jiwanya masih merasakan bahawa dirinya berhak untuk mendapatkan keampunan ALLAH. Dia pun keluar untuk terus mencari siapakah yang mampu memberi pertolongan dan petunjuk kepadanya untuk meminta ampun dari ALLAH.

Kepada orang ramai dia bertanya, “Masih ada lagi kah jalan untuk ku bertaubat?”

“Pergilah kau mencari rumah Fulan bin si Fulan. Dia seorang ulama bukannya rahib. Moga-moga dia dapat membantu kau,” nasihat orang ramai yang mengelilinginya.

Si pembunuh tadi langsung pergi ke rumah ulama itu. Di saat itu si ulama sedang mengajarkan anak murid mereka dalam sebuah majlis ilmu lantas ulama terbabit mempersilakan lelaki itu untuk duduk di dalam majlisnya setelah menyambutnya dan memeluknya sambil bertanya, “Apakah hajat mu ke mari wahai anak muda?”

Dia pun berterus terang, “Aku telah membunuh 100 orang yang terpelihara jiwanya. Apakah pintu taubat masih terbuka untuk ku?”

“Lalu siapakah yang menghalang kamu daripada taubat dan siapakah yang mencegah mu daripada meminta taubat? Sesungguhnya pintu taubat itu terbuka luas dan lebar untuk mu. Maka bergembiralah dengan keampunan-Nya dan bergembiralah dengan perkenan-Nya dan bergembiralah dengan taubat kepada-Nya” ulama tersebut mengujarkan kata-kata yang begitu dekat dengan jiwa si pembunuh tersebut. Inilah yang dia tercari-cari selama ini.

“Aku mahu bertaubat dan memohon keampunan daripada-Nya,” si pembunuh itu menyuarakan hasratnya.

“Aku akan memohon kepada ALLAH agar Dia menerima taubat mu. Sesungguhnya kamu tinggal di kampung yang jahat, kerana kadangkala suasana kampung itu memberi pengaruh untuk melakukan kemaksiatan dan kederhakaan kepada tuhan kepada para penduduknya. Barang siapa yang lemah imannya dan berada di tempat sebegini, maka dia mudah untuk melakukan kemaksiatan dan terasa ringan lah baginya setiap dosa yang dilakukannya. Akan tetapi jika suasana masyarakatnya memperkasakan amar makruf dan nahi mungkar, nescaya akan tertutuplah segala lubang-lubang kemaksiatan itu. Oleh itu, keluarlah kamu dari kampung ini menuju ke kampung yang lebih baik. Gantikan lah tempat tinggal mu yang lalu dengan tempat tinggal yang baik dan bergaul lah dengan para pemuda yang soleh yang akan menolong dan membantu mu untuk bertaubat!” nasihat sang ulama dengan penuh kasih sayang.

Langsung si pembunuh tadi terus pergi meninggalkan tempat itu demi memenuhi suruhan dan perintah ulama tadi. Namun sayang 1000 kali sayang, ketika hatinya penuh dengan kegembiraan dan pengharapan, ALLAH telah menghantar Malaikat Izrail untuk menjemputnya lantas dia terus meninggal dunia di pertengahan jalan.

Dia tidak pernah solat dan tidak pernah mengenal puasa. Apatah lagi zakat juga syahadah. Dan juga langsung tidak pernah mengerjakan amal kebaikan. Namun saat kematian datang kepadanya, dia dalam keadaan penuh sesalan dan ingin bertaubat. Lalu, ketika mautnya menjelma mulutnya menguman kalimah syahadah. ALHAMDULILLAH.

Pelik, apabila takdir menentukan nyawa si pembunuh tadi menjadi pertikaian antara dua malaikat yang datang menyambut nyawanya dari Malaikat Izrail. Malaikat Rahmat ingin membawanya ke syurga namun dibantahi oleh Malaikat Azab yang mahu membawanya ke neraka.

Pertikaian itu berlanjutan sehinggakan menyebabkan mereka terpaksa mengadap ALLAH untuk bertanya apakah solusinya.

Malaikat Rahmat berhujah, “Sesungguhnya dia datang untuk bertaubat dan mengadap ALLAH menuju ke jalan yang taat serta kembali kepada ALLAH dan dilahirkan semula melalui taubatnya. Oleh itu dia adalah hak kami!”

Namun Malaikat Azab membantah, “Sesungguhnya dia belum pernah melakukan kebaikan. Tidak pernah sujud, solat, zakat dan bersedekah. Maka atas alasan apa untuk dia menerima balasan rahmat. Sungguh, dia adalah milik kami!”

Pertikaian itu akhirnya terlerai bila mana ALLAH mengirimkan malaikat lain sebagai pengadil dan orang tengah lantas juri tadi memberi arahan, “Berhentilah kalian daripada terus bertikai. Ikutlah arahan ku ini untuk mencari solusinya. Menurut ku, kalian haruslah mengukur jarak jenazah si pemuda tadi antara kampung yang baik dengan kampung asalnya.”

Lantas mereka terus mengukur dan ditakdirkan jenazah si pembunuh tadi adalah lebih dekat dengan kampung yang baik berbanding kampung asalnya. Maka Malaikat Rahmat telah mendapat hak ke atas nyawa si lelaki terbabit. Diriwayatkan ketika mereka sedang mengukur, ALLAH memerintahkan agar jenazah si lelaki itu mendekati kampung yang baik berbanding kampung yang jahat.

Kerana niatnya begitu ikhlas dan suci, maka ALLAH mengangkatnya ke martabat orang-orang yang tergolong dalam golongan mereka yang memiliki tanah di syurga ALLAH.

Kisah dari hadith sahih ini telah mengungkit kan beberapa titik utama dalam agama Islam itu sendiri. Marilah kita menghayati beberapa potong ayat al-Quran ini,
“(Engkau kah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
Surah aZ-Zumar: 9
Ayat di atas menjadi dalil kepada para pendusta dalam membawa ajaran agama ALLAH kerana merekalah yang menyebabkan berlakunya perpecahan dan kekeliruan dalam masyarakat kini.

Mengeluarkan fatwa yang pelik-pelik dan bercanggah dari syariat ALLAH, menunjukkan penampilan diri yang tidak selari dengan tuntutan sebenar, suka menimbulkan kontroversi dengan melaga-lagakan perbezaan dalam masyarakat sama ada melalui faktor ras atau agama dan sebagainya gelagat jijik mereka si pendusta agama.

Namun ALLAH telah memberi peringatan yang jelas bahawa antara mereka dan orang-orang yang membawa peringatan yang sebenar amat berbeza sekali. Oleh itu kita WAJIB berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan si pendusta agama yang makin bercambah dalam masyarakat kita.

Lagi ALLAH berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkan lah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
Surah aL-Mujaadalah: 11
Memang ada beza yang amat ketara antara mereka yang beriman dan berilmu dengan yang lain. Ayat di atas ALLAH telah memberi jaminan bahawa si soleh yang berilmu mempunyai darjat yang lebih tinggi dari kita semua dan mereka bukan soleh untuk diri mereka sahaja, kerana seperti kisah pembunuh di atas, ulama itu telah berjaya memandu si pembunuh tadi dengan penuh kesedaran dan keinsafan malah memberi petunjuk jelas betapa berbezanya dia dengan si rahib pendusta tadi.

Oleh itu beringatlah kita bahawa mereka para ulama adalah golongan yang lebih tinggi darjat dan makam mereka berbanding diri kita. Jagalah adab kata dan tingkah laku kita ketika berbicara soal mereka. Moga-moga dengan usaha kita sekecil itu akan mendapat rahmat daripada ALLAH SWT.

Dan pastinya cerita ini telah membuahkan harapan buat mereka yang sedang tercari-cari kata tuhan yang Maha Esa. Mungkin mampu menjadi inspirasi buat si pelaku maksiat kepada ALALH untuk terus mengejar taubat. Menyalakan impian untuk memiliki tanah di syurga-Nya kelak insya-Allah.

Oleh itu ingatlah, betapa pintu taubat itu dibuka ALLAH seluas langit dan bumi. Rebutlah peluang ini untuk menjamin rumah kita di Akhirat kelak nyaman dan sejahtera.

Jom kita sama-sama mencari, mengejar dan memiliki keampunan-Nya yang Maha Pengampun.

Hadith ini dari Sahih Bukhari no. 3395, dalam Sahih Muslim no. 6957 dan dalam Sahih Ahmad no. 10924.