Thursday, July 15, 2010

Kisah Ashabul Ukhdud (Siri Akhir)

Dalam keadaan yang begitu terdesak dan penuh tekanan raja itu terus pening memikirkan apakah cara yang sepatutnya dia gunakan untuk membunuh si Ghulam ini. Sungguh, keadaan sebegini jugalah membantu Ghulam untuk berfikir secara lateral sehinggakan terbitnya idea “gila-gila” Ghulam untuk menyampaikan dakwah nya ketika itu.

Idea gila yang difikirkan oleh Ghulam ketika kini telah menyebabkan satu kampung memeluk agama tauhid. Idea gila ini telah mengorbankan dirinya namun ALLAH membalas dengan memberi hidayah kepada seluruh penduduk kampung.


Masya-Allah, kita cuba melihat hadith ini dari konteks metodologi dakwah dan menyesuaikan dengan keadaaan sekeliling kita. Sebagai seorang pendakwah, perlunya kita mempunyai kekuatan untuk menerbitkan idea “gila-gila” dalam pendekatan dakwah kita agar para mad’u mudah menerima apa yang kita sampaikan.

Saya suka memetik kata-kata Presiden GAMIS, Abang Idris ketika menyampaikan ucapan berkenaan pemikiran lateral. Katanya sebagai contoh kita tengok bagaimana Salman aL-Farisi menerbitkan sebuah idea yang cukup gila ketika tentera umat Islam bermesyuarat untuk menghadapi tentera Ahzab.

Salman aL-Farisi telah mencadangkan agar dikorek kan parit di sekeliling kota Madinah bagi menyekat kemaraan tentera Ahzab dan kita bertambah terkejut apabila semua sahabat begitu “gila” bersetuju dengan idea “gila” yang dibawa oleh Salman aL-Farisi.

Gila di sini bukan bermaksud menghina sahabat tetapi sebagai perumpamaan kepada betapa mencapah nya pemikiran mereka dalam menghadapi masalah dan memperalatkan kekuatan pengalaman dan tenaga untuk menyelesaikan masalah.

Kita lihat bagaimana Sultan Muhammad aL-Fateh telah mengeluarkan cadangan yang begitu “gila” dalam operasi beliau dan tentera Turki Uthmaniyyah untuk menawan kota Constantinople. Dalam keadaan laluan laut yang tidak dapat ditembusi oleh tentera baginda, maka terkeluarlah idea yang cukup “gila” sehinggakan pada masa kini pun ramai sejarawan tidak dapat menerima idea ini secara total namun mereka tidak mampu menyanggah kebenaran idea ini.

Sultan Muhammad aL-Fateh telah mengarahkan agar kapal-kapal perang mereka ditolak dan ditarik melalui bukit merentasi selat Turki sehingga sampai ke dalam kota Constantinople. Mereka menarik kapal merentasi bukit melalui daratan yang kering kontang dalam keadaan tidak ada teknologi canggih ketika itu.

Cuba bayangkan kalau kita berada di tempat tentera baginda, adakah kita sanggup menolak sama kapal-kapal perang yang cukup besar itu merentasi bukit?

Dan itulah 3 contoh idea “gila-gila” yang dijana oleh tokoh-tokoh Islam dalam usaha mereka menyebarkan dakwah kepada orang ramai.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah penuh pengajaran Ashabul Ukhdud ini agar diri kita sentiasa diperingatkan bahawa tugas kita di dunia ini bukan sekadar makan, minum, pergi kerja, balik kerja, layan suami, layan isteri, tulis blog, gelak-gelak di FB, lepak di cafe, fikir pasal duit, fikir pasal beban kerja tanpa menghiraukan tanggungjawab kita yang sebenar sebagai manusia yang diutuskan ALLAH ke atas muka bumi ini.

Marilah kita semarakkan dalam diri kita bahawa tugas kita bukan sekadar memenuhi kehendak diri kita sahaja tapi nun jauh lebih besar yang perlunya kita bergerak secara kolektif dan tersusun.

Saya sangat berharap agar komik ini disebar luaskan agar lebih memudahkan kita memahami cerita dalam hadith yang dinukilkan dalam siri yang pertama. Tidak ada klausa hak cipta terpelihara di sini kerana bagiku ilmu yang bermanfaat WAJIB disebarkan agar saham kita di Akhirat mencurah berlori-lori insya-Allah.

Insya-Allah saya akan cuba terbitkan satu artikel berkenaan pemikiran lateral sedikit masa lagi untuk kita lebih memahami apakah yang dimaksudkan dengan pemikiran lateral ini. Moga segala yang diusahakan di sini yang begitu kecil nilainya akan mendapat perhatian daripada ALLAH SWT ameen.