Sunday, July 4, 2010

German dan Kuasa Anak Muda


Seorang sahabat, Muhammad Hafizan menulis di wall Facebook nya,
“Kekalahan Argentina membuktikan kuasa ANAK MUDA yang luar biasa mampu mengubah dunia….walaupun Argentina mempunyai beberapa figure yang “digeruni” seperti HEP di kampus, tetapi percayalah kombinasi gerakan anak muda yang tersusun mampu menewaskan figure yang kononnya berkuasa!!!”
Bernas perumpamaan ini. Jelas mesejnya dan ini bukan ilusi. Umur pemain Jerman secara puratanya ialah 25 tahun. Ternyata begitu muda berbanding pasukan yang lain yang dibarisi kuda-kuda tua.

Biarpun tidak mempunyai figure yang GAH namanya seperti Messi namun mereka mampu bergerak sebagai sebuah unit yang cukup berkesan dan meranapkan impian Argentina yang dibarisi oleh figure yang cukup terkenal dan hebat.

Piala dunia kali ini seakan memberi mesej yang cukup jelas kepada penduduk dunia bahawa mereka membina tamadun adalah melalui jerit perih ANAK MUDA. Komponen ini amat penting dalam usaha membina sebuah masyarakat yang benar-benar jitu dan utuh.

Kuasa anak muda terbukti dalam lipatan sejarah dunia apabila mereka menjadi watak penting dalam mencorakkan tamadun manusia masa kini.

Kita mengimbau kembali bagaimana kehebatan Sultan Muhammad Al-fateh yang memimpin kerajaannya membuka Kota Constantinople, kegagahan Salahuddin Al-Ayubi berjihad membuka Baitul Maqdis dan beberapa orang tokoh anak muda seperti Mou Zhi Thong, Jose Rizal membuktikan bahawa anak muda adalah golongan yang mampu mengubah peta sosio-politik dunia dengan penggemblengan tenaga dan upaya mereka dalam sebuah unit yang tersusun dan penuh berstrategi.

ALLAH berfirman dalam aL-Quran,

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
Surah as-Saff: 4

Bagai sebuah bangunan yang kukuh dan tersusun. Berjuang dalam sebuah barisan yang cukup sistematik dan berstrategi pasti mampu mengalahkan kesemua kuasa besar yang sebenarnya langsung tidak berkuasa seperti mereka yang zalim dalam HEP di kampus-kampus atau di peringkat nasional sekalipun.

German membuktikan pangkat atau gelaran itu adalah “useless” jikalau hanya mengharapkan keajaiban berlaku di atas riba masing-masing tanpa cuba mengerahkan empat kerat tulang kering milik mereka.

Berdepan dengan sebuah team yang cukup popular seperti Argentina bukanlah sesuatu yang mudah dalam keadaan mereka yang cukup daif dengan pengalaman dan pemain bintang. Namun perkara kecil itu tidak menjadi persoalan buat mereka.

Mereka membuktikan kuasa “muda” mereka mampu mengatasi kehebatan title yang dimiliki Argentina. Kelincahan dan kehebatan menghidu peluang seperti mana ditunjukkan oleh Jerman sepatutnya dicontohi oleh gerakan Mahasiswa dalam usaha mereka membawa kesedaran kepada rakan-rakan di kampus dan masyarakat di luar kampus.

Tenaga dan keupayaan yang tidak terbatas di miliki oleh pemain German telah menyebabkan permainan semalam menjadi begitu menarik. Walaupun pada mulanya saya menyokong Argentina kerana nak merebut hadiah RM250 dari Denaihati.com namun setelah melihat 2 gol awal Jerman terus meletakkan sasaran Jerman 5-0 Argentina.

Walau bagaimanapun, tahniah buat sekumpulan anak muda dari German yang berjaya menundukkan Argentina walaupun rata-rata mereka tidaklah begitu popular sebelum ini sepertimana Messi atau[un pemain Argentina yang lain.

Siapa yang kenal Ozil atau Muller sebelum ini?

Anda telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil buat anak muda untuk terus bergerak mencanang idealisme dan mengubah masyarakat. Anak-anak muda German ini telah memberi satu lonjakan motivasi buat kami di kampus-kampus untuk terus berjuang demi kebangkitan sebuah kesedaran.