Saturday, July 10, 2010

5 Pengajaran Israk Mikraj Dari Risale-i Nur

Alhamdulillah semalam saya berpeluang mengikuti usrah bersama Abang Idris dengan sahabat dari Turki, Ustaz Sadiq. Mode usrah kali ini berkisar kan peristiwa Israk Mikraj yang disambut oleh umat Islam pada 27 Rejab yakni pada hari ini. Maka berpandukan dengan Risale-i Nur tulisan Bediuzzaman Said Nursi, berusrah lah kami di rumah Ustaz Sadiq yang turut dihadiri oleh Ustaz Firdaus dari Shoutul Amal.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit input yang sempat saya sematkan dalam ruang otak berkenaan peristiwa besar yang berlaku pada batang tubuh Rasulullah yang kita cintai ini.

Seperti yang kita tahu, Israk Mikraj berlaku pada tahun 10 Hijrah dan mempunyai banyak versi dalam catatan tarikh sebenarnya secara tepat dan berlaku selepas kewafatan 2 insan tersayang Baginda Rasulullah iaitu Saidatina Khatijah dan Abu Thalib, bapa saudara nabi.

Sesetengah ulama’ mengatakan bahawa Israk Mikraj adalah peristiwa yang ALLAH tetapkan untuk “memujuk” hati baginda yang begitu sedih dengan peristiwa kewafatan kedua-dua insan tersayang itu.

Menurut Risale-i Nur, terdapat 5 pengajaran utama peristiwa agung ini iaitu,

Pertama, peristiwa ini memberi cahaya kepada akal manusia yang diseliputi dengan kejahilan. Manakan tidak jika peristiwa ini adalah ujian terbesar buat orang Islam untuk mempercayai sesuatu yang begitu jauh dari logik akal jika hanya berfikir menggunakan satu layer pemikiran sahaja. ALLAH turunkan peristiwa ini kepada Rasulullah SAW adalah untuk menguji keimanan para sahabat terhadap-Nya. Maka dari sini, kita melihat peristiwa ini adalah khas buat umat Islam dan bukan-Muslim tidak berhak untuk mempersoalkan peristiwa ini.

Hal ini adalah kerana turunnya peristiwa ini adalah untuk menguji kesempurnaan 6 rukun IMAN yang kita imani. Logiknya bagaimana mungkin seseorang yang tidak percaya akan kewujudan syurga dan neraka mahu percayakan cerita yang dibawa oleh Rasulullah. Oleh itu, Israk Mikraj adalah ujian kepada kaum Muslimin bagi memantapkan keyakinan mereka dengan kewujudan ALLAH, malaikat, kebenaran al-Quran, adanya Hari Akhirat, balasan syurga dan neraka dan sebagainya perkara ghaib lain yang wajib kita imani.

Kedua, Israk dan Mikraj adalah satu wasilah kepada penganugerahan terbesar ALLAH kepada kita umat Islam iaitu solat. Rasulullah turun dari Mikraj dengan membawakan satu tugasan yang ALLAH amat meredai dengan tugasan itu. Pastinya solat 5 waktu sehari semalam adalah tugasan yang akan sentiasa mendapat keredaan ALLAH pada tempat yang pertama. ALLAH telah mengurniakan nikmat ini kepada kita melalui peristiwa agung ini dan menjadi titik tolak kepada penerimaan amalan hidup kita.

Ketiga, berlakunya peristiwa Israk Mikraj ini kepada diri Rasulullah telah membawa berita gembira buat kesemua umat Islam iaitu dengan berita bahawa benar akan wujudnya syurga sebagai balasan untuk orang-orang beriman. Maka pastinya berita ini memberi motivasi yang memuncak kepada semua umat Islam untuk terus melakukan kebajikan dan kebaikan dan secara terus membuktikan betapa benarnya sabda Rasulullah SAW.

Keempat, dan pastinya hikmah terbesar peristiwa agung ini ialah perkhabaran Rasulullah tentang peluang untuk umat Islam menatap wajah kekasih yang paling dirindu iaitu ALLAH SWT yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Ketika peristiwa ini, Rasulullah telah diberi peluang untuk mengadap ALLAH secara face to face dan Baginda telah diberi peluang untuk bercakap langsung dengan ALLAH tanpa hijab. Subhanallah, sesungguhnya nikmat seribu tahun di syurga masih tidak dapat menandingi satu jam melihat ALLAH di syurga kelak. Let’s imagine.

Kelima, ibrah terakhir ialah peristiwa Israk Mikraj membuktikan bahawa manusia adalah makhluk yang istimewa berbanding makhluk ALLAH yang lain dan Nabi Muhammad SAW adalah paling istimewa berbanding nabi-nabi yang lain apabila Baginda dipanggil secara khusus dan dijemput semata-mata untuk menghadapnya. Analogi nya seperti seorang Sultan yang menjemput seseorang secara khusus ke istananya, pasti orang tersebut adalah begitu istimewa di kaca mata sultan tersebut. Maka begitulah akan halnya Baginda Rasulullah yang mendapat jemputan khas untuk mengadap ALLAH di Arasy. Pastinya Rasulullah amat istimewa cukup hebat kemuliaannya di depan ALLAH SWT.

Itulah 5 pengajaran utama Israk dan Mikraj yang dipetik dari Risale-i Nur karangan Bediuzzaman Said Nursi. Walaupun saya secara jujur nya tidak dapat memahami secara jelas setiap butir perbahasan semalam oleh Ustaz Sadiq kerana masalah bahasa Melayu nya yang agak pelat kerana Ustaz Sadiq adalah orang Turki, namun itu tidak menjadi masalah buat kami semua untuk memahami inti pati usrah semalam dan mengambil pengajaran bagi setiap perbahasan itu.

Sebenarnya banyak lagi perkara lain yang dibahaskan termasuklah hadith samada Rasulullah di”Isra’ Mikraj”kan bersama roh dan badan atau dengan roh sahaja.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian yang dapat saya coret kan di sini untuk dikongsi kan bersama sahabat-sahabat dengan harapan Israk Mikraj kali ini membawa satu semangat baru kepada kita semua untuk terus bermotivasi dalam mengerjakan ibadat dan kebajikan selari dengan konsep dunia adalah ladang untuk akhirat.

Moga kita sama-sama mendapat manfaatnya. Selamat beramal =)