Thursday, June 10, 2010

Wasiat Imam Hassan Al-Banna

Membentangi diri kita di dunia yang penuh cabaran ini memerlukan kepada mujahadah dan komitmen kepada tuhan yang teramat tinggi. Terlajak atau tersilap perkiraan nafsu mampu menyebabkan kita tersungkur lemah di kaki syaitan lantaran makhluk keji ini tidak pernah serik dan lelah dalam usaha menyesatkan anak-anak Adam.

Oleh itu dalam kehidupan kita perlunya ada sarana dan nasihat agar diri kita selalu dalam peringatan insya-Allah moga-moga dengan keadaan sebegitu ALLAH akan melindungi kita daripada melakukan perkara-perkara yang membawa dosa kepada kita.

Di sini saya ingin membawakan 10 wasiat Imam Hassan Al-Banna kepada semua umat ISLAM agar sentiasa beringat dan berwaspada dalam setiap amal perbuatan kita.

  1. Wahai kawan ku, segeralah tunaikan solat di awal waktu di kala mendengar azan. Usahakan lah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda. Di situ ada sumber kejayaan. Di situ ada sumber pertolongan. Di situ ada sumber taufik. Perhatikan lah banyak perintah ayat al-Quran, dimulakan dengan menyebut solat di awalnya. Perhatikan lah Tuhan mensyariatkan solat. Juga di medan perang, walaupun di saat genting dan cemas.
  2. Wahai kawan ku, bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya. Selalulah berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kurangi lah dengan masa yang tidak bertujuan. Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan c uba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir. Di sini ada ketenteraman. Di sini ada kedamaian. Di sini ada keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.
  3. Wahai kawan ku, dorong kan lah diri untuk menguasai bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda telah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari. Sebut dulu walaupun tak faham. Antara mala petaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Juga mengutamakan bahasa pasar. Ayuh, apa tunggu lagi. Bukalah ruang walaupun seminit!
  4. Wahai kawan ku, usahlah bertarung idea tanpa adabnya. Berdebat lah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasi lah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan. SYAITAN namanya!
  5. Wahai kawan ku, senyumlah selalu tapi bersederhana lah dalam ketawa. Rasulullah s. a. w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya tapi berpada-pada sahaja. Wahai kawan ku, Plato juga berharap agar pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa bodoh hanyalah disaksikan oleh golongan abdi dan orang upahan asing. Begitu juga Aristotle berpendapat supaya golongan belia ditegah daripada menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan supaya tidak menular keburukan dalam diri!
  6. Wahai kawan ku, seriuslah selalu dan bergurau lah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair, “Berikan kerehatan pada jiwa mu yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau”. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.
  7. Wahai kawan ku, kawal lah nada suara mu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depan mu. Janganlah menjadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakit hati orang lain pula. Luqman aL-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah katanya suara keldai. Surah aL-Isra’ memberi tip kepada kita, jangan keraskan suara mu dalam solat tapi jangan pula merendahkan nya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.
  8. Wahai kawan ku, usahlah umpat mengumpat. Usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh, hindari lah mengumpat. Tidak sekali mencabuli jemaah-jemaah lain. Perkatakan lah kebaikan demi kebajikan bersama. Suka kah anda memakan daging, pasti anda suka. Tapi suka kah anda memakan daging kawan anda yang telah mati? Sekali-kali tidak! Begitulah dosa orang yang mengumpat. Bertaubatlah jika anda mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatan mu bersama. Boleh mengumpat namun apabila ada tujuan syarie sahaja iaitu: 
    • Untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, 
    • Untuk menghapuskan kemungkaran, 
    • Kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan, 
    • Kerana mengisytiharkan kefasiqan dan kejahatan.
  9. Wahai kawan ku, luaskan lah interaksi mu dengan umat manusia. Sekalipun mereka tidak diminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah untuk semua. Salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkan lah, hulurkan lah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa datang berkunjung. Pelbagai lapisan datang berkunjung. Pelbagai darjat datang berkunjung. Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.
  10. Wahai kawan ku, maksimumkan lah faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkan lah masa penunaian nya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksana lah menggunakan waktu anda. Bersegeralah, kerana sabda Rasulullah SAW bermaksud,” Bertindak segeralah melakukan amal…(*diulang 7 kali)”. Sayangilah masa saudara mu. Hormatilah waktu mereka. Usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.

Itulah coretan ringkas cebisan nasihat dari seorang mujaddid zaman mu’taakhirin ini. Lahirnya As-Syahid Imam Hassan Al-Banna di tengah-tengah masyarakat Mesir yang penuh dengan wabak sekularisme, di tengah gelora Yahudi dan sekutu merancang merampas Palestine dan menfaraidkan kesemua tanah Arab.

Lahirnya As-Syahid adalah ketetapan dari ALLAH yang mahukan sinar dan cahaya ISLAM terus tersebar. Kekuatan kepemudaan yang ada dalam diri As-Syahid menyebabkan beliau mampu membina dan mengasaskan Ikhwan Muslimin ketika usianya baru mencecah 24 tahun lantaran menyedari peri pentingnya wujud sebuah jemaah ISLAM selepas kejatuhan khilafah Uthmaniyah pada 3 Mac 1924.

Moga-moga peringatan kecil ini menjadi satu pedoman buat kita generasi mendatang dalam mendepani cabaran dan mujahadah zaman serba global ini.