Thursday, June 3, 2010

Syarat Untuk Melakukan Maksiat

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia bertanyakan sesuatu kepada Ibrahim bin Adham, “Wahai Abu Ishak, selama ini aku gemar melakukan maksiat. Tolong berikan aku nasihat.”

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima 5 syarat ini dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat.”

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Abu Ishak?”

Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada ALLAH, jangan kamu memakan rezeki-Nya.”

Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki ALLAH?”

Tegas Ibrahim bin Adham, “Ya, kalau kamu sudah memahaminya, masih mampu kah kamu memakan rezeki-Nya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?”

Sambung Ibrahim lagi, “Kedua, kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!”

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya?”

Lelaki itu bersetuju lalu bertanyakan syarat ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!”

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat apa begini? Mana mungkin ALLAH tidak melihat kita?”

Terus Ibrahim mencelah, “Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?”

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut roh mu, katakanlah kepadanya untuk menangguhkan kematian mu kerana kamu mahu bertaubat dahulu.”

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaan ku?”

Terus Ibrahim berkata, “Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematian mu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan ALLAH?”

Namun Abdullah terus bertanya, “Baiklah, apa syarat yang kelima?”

Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiring mu ke api neraka di Hari Akhirat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”

Jawapan tersebut membuat lelaki itu terus insaf. Dia berkata, “Wahai Abu Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada ALLAH…..” katanya sambil teresak-esak.

Dan persoalan jatuh ke benak semua yang membaca, kita pula bagaimana?