Wednesday, June 9, 2010

Sederhana Itu Jalanku

Pada satu ketika itu, saya pernah bertukar-tukar pandangan dengan naqib usrah, Abang Farid senior di Kejuruteraan mengenai pendirian kami terhadap ajaran Syiah. Bagi saya, Syiah adalah sesat dan menyesatkan dengan berbagai hujah dan dalil yang kukuh tentang dakwaan itu. Dan saya kira Syiah ini berkaitan dengan akidah umat ISLAM jadi adalah tidak wajar jika kita berlembut dengan mereka kerana itu amat berbahaya.

Tapi naqibku lebih suka mengambil jalan yang lembut iaitu jalan pertengahan dalam hal ini. Saya amat-amat tidak bersetuju dengan hal ini lantas membangkang secara sihat kerana bagi saya ini berkaitan dengan akidah dan sama sekali tidak boleh dibawa berbincang dan bertoleransi.

Naqibku membawakan satu dalil dari al-Quran berkenaan suruhan dan galakan ALLAH SWT kepada hamba-Nya dalam memilih jalan pertengahan ini dan berlaku adil ketika membuat apa-apa kenyataan.

ALLAH berfirman dalam al-Quran,

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (umat pertengahan),supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.”
aL-Baqarah: 143

Setelah berkali-kali berfikir akan hal ini, saya mula bersetuju dengan pendirian naqibku ini. Bersetuju atas dasar selagi Syiah ini tidak melakukan kekacauan dalam kalangan masyarakat maka mereka akan dilayan.

Tetapi ajaran mereka tetap ditentang tanpa soal. Namun pendirian ini hanyalah terhadap Syiah kerana ini adalah masalah akidah kita. Saya boleh dan sentiasa cuba mengambil jalan pertengahan dalam hal furu’ atau cabang, atau perkara-perkara ijtihad.

Yakni, perkara-perkara yang membawa perdebatan tak berkesudahan dalam dunia umat ISLAM zaman sekarang, bercakaran dan benci membenci kerana masalah berbeza pendapat.

Namun tak dinafikan kadang kala ketelanjuran dalam berkata-kata menyebabkan saya sendiri berkeras dengan sesuatu yang boleh dibawa berbincang tanpa perlu berkeras. Dulu, jujur nya saya terpengaruh dengan gaya dan pembawaan ayah yang agak keras dalam menghukum sesuatu.

Mungkin hasil didikan dan perguruan ayah ku dengan guru sebegitu maka pendirian ayah saya terhadap sesuatu perkara agak keras. Namun kerasnya itu tidak salah kerana masih berlandaskan pada dalil-dalil dan hujah yang kukuh. Cuma bila berdepan dengan masyarakat yang “baru” dengan perkara tersebut, maka masalah berkemungkinan boleh timbul tambah-tambah ianya melibatkan amalan yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Saya bukan nak membandingkan antara ayah dan saya namun melihat ia menjadi satu elemen penting buat para pendakwah masa kini untuk belajar mengambil jalan pertengahan dalam menyampaikan sesuatu dan berhujah dan memikirkan pendekatan yang lebih lembut dengan masyarakat bagi mengelakkan rasa tidak senang dalam kalangan mereka.

Kesulitan akibat gagal mengetengahkan pendekatan yang sewajarnya dalam menyampaikan sesuatu perkara kepada masyarakat akan mengundang kepada berlakunya perselisihan pendapat yang kritikal dalam masyarakat. Mungkin satu kumpulan lebih bersetuju dengan pendapat A dan satu kumpulan lagi lebih selesa dengan pendapat B maka sebagai pendakwah kita haruslah meliberalkan pandangan kita ketika berhadapan dengan kedua-dua kumpulan ini.

Cuba mencairkan diri dengan situasi dan kondisi masyarakat agar kita dapat menyampaikan mesej dengan terang dan jelas. Jikalau kita mengambil jalan untuk memaksa masyarakat mengambil dan bersetuju dengan pendapat kita tanpa memikirkan relevansi pendapat orang lain maka kita sendiri mendapat susah.

Dulu, menghukum seseorang dengan begitu KERAS tidak menjadi masalah buat saya malah itulah sepatutnya yang perlu dilakukan. Tetapi setelah beberapa kali menuntut sedikit ilmu dengan beberapa orang guru, saya mula sedar betapa ISLAM itu luas dan tidak menyempitkan penganutnya.

Saya cuba mengambil jalan pertengahan dalam sesuatu perkara. Malah terus terang saya lebih suka menjauhkan diri daripada pendebatan sesuatu perkara yang menjadi percakaran umat ISLAM sekarang….

Saya bukannya orang berilmu, jauh sekali untuk mengaku dan berhujah dengan mantap tentang sesuatu hukum. Cukup bagi ku yakin sesuatu itu betul dan yakin dengannya serta beramal dengannya tanpa perlu menyalahkan orang lain yang tak bersetuju dengan cara dan perbuatan itu.

Teringat akan cerita Dr. Danial Zainal Abidin, seorang doktor perubatan yang juga pendakwah yang cukup terkenal di negara kita ketika beliau menyampaikan ucapannya dalam sebuah forum di Masjid As-Solihin Teras Jernang, Kajang.

Dia bercerita, “Di Penang, saya menjadi imam di 4 buah masjid yang berlainan. Salah sebuah masjid yang saya ditugaskan itu amat berlainan dengan masjid-masjid yang lain. Ketika tiba giliran saya untuk membaca khutbah di masjid tersebut, salah seorang AJK masjid tersebut datang menghampiri saya untuk ajak berbincang sedikit,” Dia mengangguk pada AJK masjid tersebut.

“Ustaz, masjid ini hanya azan sekali. Jadi bila masuk waktu, ustaz terus naik ke atas mimbar dan memberi salam kemudian muazin akan azan,” ujar AJK terbabit.

Oh, pelik juga dia mula-mula tadi. Ingatkan macam biasa, bisik Dr. Danial dalam hati. Dia bersetuju namun selepas AJK tersebut menyambung lagi, “Di sini kami tak pakai tongkat Ustaz!”.

“Kenapa?” soal Dr. Danial kepada AJK tersebut.

Oh, itu tak mengikut sunah!” ujar AJK tersebut kepada Dr, Danial, seolah-olah cuba memahamkan situasi itu kepada tetamu jemputan mereka dengan lebih baik.

“Jadi saya nak pakai apa?” Dr. Danial menyoal kalau-kalau ada cara lain untuk menggantikan tongkat.

“Pakai pedang la ustaz…” dia memberitahu. Mendengar jawapan AJK tersebut, Dr. Danial bertanya melawak, “Kamu ada pedang?”.

“Kami tak ada pedang ustaz!”. Dia tersenyum, “Habis nak buat macam mana?”

“Tak apa la ustaz, kita tak payah pakai apa-apa…” AJK tadi sudah kehabisan akal.

Dr. Danial bersetuju. Dia menyambung kisahnya pada jemaah masjid di Teras Jernang, “Kamu lihat, jika saya berkeras dengan pendapat dan cara saya, adakah perkara itu selesai? Pasti dan pasti akan menimbulkan masalah yang besar dengan masyarakat sana. Jadi saya mengambil jalan untuk berlembut dengan mereka kerana bagi saya hal itu tidak menjadi kesalahan dan jika kita memanjangkan perkara tersebut, maka masalah lain akan timbul dan dakwah ISLAM tak akan berkembang…”

Ya, jalan sederhana yang diambil oleh Dr. Danial untuk mencairkan dengan amalan masyarakat setempat selagi tidak bercanggah dengan syarak adalah satu perkara yang dituntut oleh agama sebagaimana difirmankan ALLAH dalam ayat di atas.

Ini jalan saya, ini impian saya.

Tak menafikan bahawa sesetengah perkara, berkeras adalah sepatutnya kita amalkan seperti perkara yang melibatkan akidah umat ISLAM contohnya ajaran sesat seperti Ayah Pin. Tetapi berkaitan dengan perkara-perkara furu’ atau cabang di mana ia mempunyai perbahasan yang cukup panjang dalam kalangan ulama dan masing-masing mempunyai hujah dan dalil yang kukuh, maka eloklah untuk kita belajar berlembut dalam perkara ini dan cuba menjauhi perdebatan yang tiada faedahnya pada umat seperti dalam hal qunut Subuh, sambutan maulid, bilangan rakaat tarawih, bilangan azan Jumaat, ziarah kubur dan sebagainya.

Selagi mana kita yakin dengan ilmu yang kita ada dan thiqah dengan guru kita, maka apa salahnya jika kita mengambil jalan pertengahan dalam berhadapan dengan masyarakat agar mereka dapat mengenal apakah inti pati ISLAM yang sebenar terlebih dahulu. Berbanding kita berkeras supaya mereka menerima pendapat kita.

Perkara terpenting ialah kita berjaya mengajak mereka mengenal siapakah tuhan yang menjadikan alam ini. Caranya bergantung kepada kita. Di sini kita bebas menggunakan apa sahaja pendekatan sama ada berlembut atau berkeras.

Khilaf itu satu rahmat buat umat ISLAM yang mana umat ISLAM dapat mengamalkan ISLAM di pelbagai tempat dalam pelbagai etnik dan kaum di serata dunia meskipun berlainan bentuk geografi dan kedudukan serta amalan seharian.

ISLAM itu sifatnya ALAMIAH bererti ISLAM itu UNIVERSAL. Perbezaan pendapat ini sepatutnya membawa kepada bersatunya umat ISLAM bukannya berpecah.

Syeikh Dr. Yusuf Qardhawi pernah berkata,
“Aku tersepit di antara dua golongan iaitu Salaf yang melampau dan Abbays yang melampau!”
Mengapa kita tidak memikirkan hak TOLERANSI dalam hal ini sedangkan dalam al-Quran sudah jelas akan hal ini. Apakah untungnya ISLAM jika kita terus bertelagah?

Adakah melampau dalam sesuatu perkara itu dianggap terpuji. Salaf adalah benar dan Khalaf adalah benar.

Semuanya Ahli Sunnah wal Jemaah. Ini jelas, mengapa perlunya kita mempertikaikan hujah antara satu sama lain dalam hal sebegini sedangkan kita semua sedar musuh kita hanyalah satu.Mungkin taasub dan fanatik menjadi sentimen yang kuat di sini.

Teringat firman ALLAH dalam al-Quran,

“Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu perkara maka kembalilah pada ALLAH (al-Quran) dan Rasul (Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada ALLAH dan Hari Akhirat. Itu adalah lebih utama bagi mu dan lebih baik akibatnya”
aN-Nisa’: 59
“…..(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran…..”
aL-Baqarah: 185
“Kami tidak menurunkan Al-Quran kepada mu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan”
Thoha: 2

Sabda Rasulullah SAW mengingatkan aku tentang impian saya ini,

“Agama itu mudah, tidaklah agama itu diperkeras kan oleh seseorang melainkan agama itu akan mengalahkannya – yakni orang yang memperkeras-keraskan itu sendiri yang nanti nya akan merasa tidak kuat meneruskannya. Maka dari itu, bersikap lurus lah engkau semua, lakukan lah yang sederhana sahaja- jikalau tidak kuasa melakukan yang sesempurna-purnanya, bergembiralah untuk memperoleh pahala, sekalipun sedikit, juga mohonlah pertolongan dalam melakukan sesuatu amalan itu, baik di waktu pergi pagi-pagi, sore-sore (petang-petang) atau pun sebahagian waktu malam”
(Riwayat Bukhari)

Oleh itu, haruslah kita kembali mengambil sarana ini agar matlamat dakwah untuk mengenalkan masyarakat kepada pencipta yang Esa tercapai dengan jayanya. Usah dipertikai dan diperdebatkan hal yang cabang.

Sesungguhnya Islam itu mudah dan meringankan.

KEMBALILAH KITA KEPADA AL-QURAN DAN SUNNAH DALAM SEMUA PERTIKAIAN.

Ambil lah jalan pertengahan. Jalan sederhana, Jalan wasatiyyah. Maka itu lebih terpuji…