Sunday, June 20, 2010

Relevensi Pemansuhan UPSR dan PMR

Hari ini dalam The Star online, Tan Sri Muhyidin Yassin mengeluarkan kenyataan untuk memansuhkan UPSR dan PMR supaya pelajar dan guru dapat memfokuskan terhadap perkembangan kreativiti dan pembangunan interaktif secara meluas.

Jika ranccangan ini berjaya maka guru dan pelajar hanya perlu fokus pada satu peperiksaan awam sahaja. Rancangan ini termasuklah dalam perancangan penstrukturan semula sistem pendidikan di Malaysia. Namun berbalik kepada perlunya suara rakyat,cadangan ini disuarakan terlebih dahulu untuk mendapat respon daripada semua kalangan rakyat Malaysia terhadap cadangan ini.

Cadangan ini akan menyebabkan UPSR dan PMR sekadar menjadi peperiksaan di sekolah masing-masing untuk menentukan sekolah apa mereka akan melanjutkan pelajaran kemudiannya.

Bila membaca berita ini,aku bersetuju hampir 100% berdasarkan pemerhatian awal saya terhadap kepentingan UPSR dan PMR selama ini terhadap perkembangan pelajar. Namun tekaan ini bukanlah menjadi hujah kepada saya untuk mengiyakan cadangan ini. Bagi saya kerajaan perlulah mewujudkan satu kajian yang menyeluruh berkenaan cadangan ini terhadap kesemua lapisan masyarakat termasuklah mereka dari Malaysia Timur.

Apa yang penting pasti ada pro dan kontra dalam pelaksanaan cadangan ini. Oleh itu, satu kajian terperinci dalam menganalisa pro dan kontra cadangan ini perlulah dilaksanakan agar kesan yang mungkin tidak menyenangkan di kemudian hari dapat diatasi dengan efektif.

Saya sekadar mewujudkan persoalan di sini untuk semua pembaca memikirkan akan cadangan ini dan seelok-eloknya memberi respon kepada isu ini dalam usaha kita membantu kerajaan meningkatkan lagi mutu sistem pendidikan di negara kita yang tercinta ini.

Khasnya kepada golongan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bakal atau sedang bersiap untuk menghadapi UPSR atau PMR, mereka mungkin mempunyai perspektif masing-masing akan cadangan ini kerana mereka adalah pemerhati terdekat buat anak-anak mereka yang sedang berpeluh dengan buku-buku latihan itu.

Maka saya kira cadangan dari golongan ini amat-amat perlu dinilai oleh kerajaan bagi menetukan relevensi cadangan ini.

Bina Remaja Dengan Ilmu Kenegaraan


Bagi saya, cadangan ini amatlah baik untuk diterjemahkan sebagai dasar baru di negara kita kerana saya memandang sistem pendidikan negara kita yang berteraskan peperiksaan awam ini lebih menggalakkan para generasi mendatang untuk menjadi insan yang cuma mengenal alam buku sahaja berbanding mempersiapkan diri mereka dengan skil sosial dan kemasyarakatan yang lengkap dan ilmu-ilmu yang berkisar kehidupan seharian dengan lebih baik.

Di sekolah rendah, ibu bapa dan guru-guru mendoktrinkan mereka dengan pencapaian 5A dan pemikiran mereka terbentuk bahawa aku datang ke sekolah adalah untuk mendapat 5A. Hal ini amat berbahaya kerana sepatutnya sejak kecil lagi mereka perlu dibentuk pemikiran yang menjana kepada kepentingan pembangunan masyarakat sekitar dengan melengkapkan diri mereka dalam aspek kompetensi dan sahsiah.

Barulah dari sini kita akan dapat melihat satu budaya mencabar dalam pembelajaran dapat diwujudkan seterusnya menjana generasi pelapis yang aktif dan berfikir.

Penjanaan ini haruslah bermula dari bawah yakni bermula sejak mereka mula mengenal alam persekolahan sehingga mereka keluar daripada universiti sebagai pemegang ijazah yang berjaya. Mungkin daripada cadangan ini,beberapa subjek seperti Pendidikan Demokrasi, Pengajian Am, Antrapologi dan yang berkaitan dengannya perlu dimasukan ke dalam senarai subjek yang diajar.

Mungkin cadangan ini dianggap melampau namun bagi aku,untuk permulaan mereka perlulah melalui tahap biasa kemudiannya perlulah dinaikkan tahap pengajaran itu sedikit demi sedikit.

Kerana saya berpendapat, untuk melahirkan sebuah generasi yang benar-benar matang dari sudut kemasyarakatan dan sosialnya, mereka perlulah disemai dengan nilai-nilai kenegaraan dan patriotik yang matang sejak kecil lagi.

Dari sini, nilai-nilai demokrasi perlulah diajar dan disemai dengan teliti agar mereka yang lahir dari sistem pendidikan ini bukan sekadar menjadi produk lambakan kepada masyarakat, namun mereka mampu bertindak sebagai pemikir kepada masyarakat.

Pengukuhan Moral Melalui Ilmu dan Agama


Dari kecil lagi, para pelajar wajiblah diajar dengan ilmu fardhu ain secara betul dan tersusun. Hal ini termat penting kerana hanya dengan pemantapan ilmu ini barulah impian untuk melihat generasi mendatang lahir sebagai sebuah generasi harapan akan tercapai. Maksud saya di sini ialah sistem pembelajaran agama di sekolah juga haruslah diubah daripada sistem ajar dan lari kepada sistem talaqqi.

Kerana ilmu fardhu ain bukanlah sebarang ilmu yang yang boleh diajar dan dipraktikkan begitu sahaja namun ia memerlukan kepada satu penekanan yang khusus kerana apa sahaja perbuatan kita berkenaan ilmu tersebut menjadi nilaian diri kita samada akan berada di syurga atau sebaliknya. Memang keras bunyinya namun itulah hakikat yang wajib kita telan.

Kita perlu berusaha mengubah persepsi bahawa ilmu agama hanya untuk mereka yang kuat beragama sahaja. Tidak.

Kerana ilmu fardhu ain itu WAJIB atas setiap mukallaf maka tidak ada alasan lain untuk kita mengelak daripadanya. Penekanan yang khusus dalam hal ini perlu diambil kira oleh kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan sistem pendidikan negara kita.

Syeikh Sa’id Hawwa Rahimahullah meletakkan bahawa setiap muslim itu wajib menguasai ilmu-ilmu asas barulah kita layak bergelar seorang muslim yang sebenar iaitu,
  1. Ilmu Usul Thalathah
  2. Al-Quran dan ilmu-ilmunya
  3. Sunnah dan ilmu-ilmunya
  4. Usul Fiqh
  5. Aqaa’id
  6. Feqah
  7. Akhlak
  8. Sirah dan Sejarah Islam
  9. Ilmu-ilmu Bahasa Arab
  10. Rencana-rencana jahat ke atas Islam dan umat Islam dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh umat Islam
  11. Kajian-kajian Islam semasa
  12. Fiqh Dakwah.
Banyak bukan?

Malah diri yang menulis ini pun gagal menguasai ilmu-ilmu yang disebutkan di atas. Ini adalah ketetapan yang dibuat oleh para ulama dalam menentukan kesempurnaan diri seorang muslim itu. Maka diri kita sendiri wajiblah ada kesedaran untuk mencari ilmu-ilmu di atas bagi mencapai apa yang dimaksudkan kesempurnaan sebagai Muslim itu walaupun kita sudah melepasi tahap umur 15 tahun.

Ilmu-ilmu ini boleh dikuasai dengan sempurna jika sejak kecil lagi sistem pendidikan negara kita membenarkan ilmu-ilmu ini masuk dalam senarai dan diajar dengan cara yang sebenar. Maka eloklah jika kerajaan mengambil peluang ini dengan memasukkan agenda pembangunan agama ini ke dalam sistem pendidikan negara yang akan dipertingkatkan ini.

Bersikap Tegas Dengan Hedonisme


Namun jika kita sekadar memperbaiki sistem pendidikan dan kita gagal mengubah eko-sosial masyarakat sekarang maka cadangan ini mungkin kurang efektifnya atau mungkin akan memakan masa yang lama untuk membuahkan hasil yang diharapkan. Hal ini kerana dalam pada kerajaan berusaha meningkatkan sistem pendidikan,kerajaan haruslah turut memikirkan faktor luaran yang menjadi penyebab utama kenapa generasi sekarang gagal menempakakn kualiti diri mereka.

Lambakan program realiti dan hiburan yang meruntuhkan moral masyarakat terbit tanpa henti di kaca televisyen. Dan pengaruh luar melalui internet serta media masuk ke dalam negara ini tanpa sekatan. Meskipun kita mendidik para pelajar dengan sebaik-baiknya di sekolah namun peratusan terbesar masa mereka adalah di rumah dan di luar daripada waktu sekolah.

Situasi ini akan menyebabkan cadangan dan penambahbaikan itu menjadi seakan tekanan yang lemah kepada pembentukan minda pelajar yang lebih mudah terpengaruh dengan faktor luaran yang lebih “hebat” lagi itu.

Oleh itu, dalam pada usaha kerajaan membaiki sistem pendidikan negara,eloklah kerajaan mengambil peluang ini untuk mengurangkan atau menghapuskan segala faktor-faktor luaran yang menyekat kepada pembangunan dan kematangan rakyat Malaysia. Tindakan drastik dan pantas mungkin perlu dilaksanakan dengan memperkasakan semula sistem pengurusan pentadbiran negara dan menstrukturkan semula media di Malaysia.

Kerana cadangan ini kelihatan seakan memfokuskan pada mereka yang berumur bawah daripada 15 tahun, maka dari sini kita perlu memahami bahawa di peringkat umur sebegini pelajar atau masyarakat lebih senang menerima daripada membantah. Kegagalan membentuk peribadi dan kekuatan sahsiah akan menyebabkan mereka lebih mudah terpengaruh dengan anasir liar yang saya sebutkan tadi.

Oleh itu saya sekali lagi menegaskan bahawa cadangan ini amatlah baik untuk dilaksanakan namun ia masih perlu kepada kajian dan pemerhatian terperinci dan halus bagi mengelakkan kesan yang tidak menyenangkan di kemudian hari. Kerajaan juga tidak seharusnya sekadar memfokuskan kepada penstrukturan sistem pendidikan sahaja malah kerajaan sepatutnya menilai pembangunan masyarakat dari semua sudut dan dasar yang sedang dijalankan di negara kita sekarang ini.

Saya menyokong 100% hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang kreatif dan interaktif kerana saranan ini bertepatan dengan firman ALLAH dalam aL-Quran berkenaan kisah anak gadis Nabi Harun yang mencadangkan kepada bapanya akan Nabi Musa untuk dijadikan pekerjanya,
“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”….”
Surah aL-Qasas: 26
Jelas di dalam ayat di atas ciri-ciri pemuda yang berkualiti ialah mereka yang kuat lagi amanah. Maka di sini kuat bermaksud kemahiran kompetensi yang wajib ada pada setiap diri manusia dan amanah yang membawa maksud integriti dan sahsiah. Lengkapnya kedua-dua sifat ini dalam diri kita maka sempurnalah diri kita untuk menterjemahkan tindakan dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Mahu tidak mahu, kedua-dua sifat ini mesti ada dalam diri kita sebagai salah seorang anggota masyarakat yang bertanggungjawab terhadap bangsa,agama dan negara. Melalui sistem pendidikan yang efektif barulah sifat-sifat ini boleh disemai dalam diri pelajar.

Merespon kepada cadangan ini bukanlah bidang saya sebenarnya namun, merasa tanggungjawab untuk melihat generasi mendatang membangun sebagai sebuah generasi yang benar-benar berkualiti kepada negara dan masyarakat adalah wajib.

Oleh itu saya menyeru kepada semua pembaca untuk kita sama-sama memikirkan pro dan kontra cadangan ini agar keputusan yang akan dibuat nanti akan menjadi keputusan yang terbaik dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang matang dan hebat.