Friday, June 11, 2010

Peringatan Akhir Zaman

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW ada menyebutkan secara mafhum nya,
“Sesungguhnya tidak akan berlaku bala kepada umat manusia kecuali apabila berleluasa nya 2 kemaksiatan iaitu perzinaan yang berlaku di merata-rata tempat dan ramainya anak derhaka kepada kedua ibu bapa”
Dalam hadith ini Rasulullah dengan terang dan nyata memberi amaran kepada semua umatnya tentang apakah bentuk maksiat yang boleh menyebabkan turunnya bala dari tuhan.

Saya mendengar hadith ini hasil perkongsian ilmu semalam di Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi semalam selepas maghrib oleh Ustaz Hasnan Kassan.

Kata ustaz, maksiat yang pertama iaitu zina di merata tempat sudah menjadi seakan budaya dalam masyarakat kita. Setiap hari jika kita membelek akhbar, boleh dikatakan setiap muka surat akhbar itu menceritakan pasal anak ditanam hidup-hidup, anak kecil ditinggalkan di tepi longkang, bayi yang masih kemerahan dibuang dalam tong sampah dan beribu-ribu lagi.

Ini adalah hasil ZINA bukannya hasil mereka yang berstatus sah dan halal. Maka tiada sebab untuk ALLAH tidak menurunkan bala kepada kita jika hal macam ini terus menerus berlaku. Statistik anak luar nikah orang ISLAM yang didaftarkan dengan JPN adalah seramai 17929 orang.

Ya ALLAH, ramai!

Itu yang berdaftar dan hidup. Kalau dicampur dengan yang berdaftar dengan tong sampah, longkang, masjid, tepi rumah orang dan dalam tanah agak-agak berapa ramai?

Cukup membimbangkan kerana statistik ini terus menunjukkan peningkatan saban tahun. Satu persoalan yang timbul ialah adakah kerajaan sudah tidak mempunyai mekanisme yang terbaik dalam mengatasi masalah serius ini?

Kita melihat pada zaman Tamadun Rom di mana negara kotanya yang begitu hebat iaitu Pompeii yang lenyap ditelan bumi sehingga kini. Semuanya gara-gara maksiat zina yang menjadi budaya wajib buat mereka. Sehinggakan ahli sejarah mencatatkan bahawa kemaluan lelaki dan perempuan yang sebenar bergantungan di pintu masuk kota dan rumah mereka.

Malah mereka juga mengamalkan seks sejenis yang melampau secara berleluasa sehinggakan ALLAH menurunkan bala kepada mereka tanpa belas kasihan lagi. Walaupun mereka mampu membangunkan sebuah tamadun yang hebat namun mereka gagal dari sudut sahsiah dan moral.

Adakah kita mahu melihat Malaysia menjadi sedemikian rupa dan diturunkan bala seperti itu?

Satu peringatan akhir zaman buat kita semua.

Maksiat kedua yang menjadi sebab kepada turunnya bala ALLAH kepada umat manusia ialah DERHAKA KEPADA KEDUA IBU BAPA. Dalam akhbar, minggu lepas kita digemparkan dengan berita seorang gadis sanggup mencuri barang kemas ibunya yang bernilai RM13000 untuk diberikan kepada kekasih lelakinya.

Banyak lagi tanpa perlu menyebutkan di sini pembaca sudah boleh membayangkan berita berkenaan isu ini di dalam surat khabar setiap hari. Kalau dulu ketika Rasulullah SAW menyebut tentang isu penderhakaan kepada ibu bapa, para sahabat kehairanan kerana mereka tidak dapat membayangkan seorang anak sanggup menderhakai ibu bapanya sebegitu mudah lalu mereka bertanyakan Rasulullah apakah golongan sebegitu wujud.

Ya, Rasulullah menyatakan bahawa di akhir zaman ramai anak-anak yang menderhakai ibu bapa mereka.

Dalam al-Quran, ALLAH berfirman,
“Dan Tuhan mu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan mu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ahh”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Surah aL-Isra’: 23
Ahli tafsir menyatakan bahawa perkiraan “tua” di sini bukanlah bermaksud mereka berumur lebih dari 60 tahun tapi ia bermaksud ibu bapa kita yang mencapai keadaan mereka seolah-olah berbalik menjadi bayi semula. Keadaan mereka yang perlu kepada tahap kesabaran yang teramat tinggi untuk kita menjaga mereka.

Sehingga saat mereka terpaksa memakai pampers dan tidak mampu mengurus diri sendiri. Itu had yang ALLAH tetapkan bukan sekadar menjaga mereka ketika mereka masih boleh menguruskan diri sendiri dan bila menjadi sedemikian rupa kita menghantar mereka ke rumah orang-orang tua. Kalau kita sanggup melakukan ini maka kita telah derhaka. Kita telah mengingkari perintah ALLAH kepada kita.

Kita tak dapat bayangkan jikalau si ibu atau bapa yang menitiskan air mata ketika di tanya oleh wartawan semasa hari raya tentang anak-anak mereka, apakah di akhirat kelak kita masih mampu tersenyum lagi dan berharap syafaat tuhan kepada kita?

Setitis air mata ibu atau bapa kerana kegagalan kita menjaga mereka seperti mana diperintah oleh ALLAH, berapa kali kah kita akan direndam di bawah dasar api neraka kelak.

Moga-moga ALLAH menjauhkan diri kita daripada tergolong dalam golongan sebegitu…

Sebenarnya derhaka kepada kedua ibu bapa ini bukan sekadar berlaku ketika mereka hidup sahaja namun masih berlaku derhaka semasa mereka mati. Hasilnya adalah akibat daripada kita gagal menyambungkan semula silaturrahim yang di bina oleh kedua ibu bapa kita dengan saudara mara dan rakan taulan mereka. Kita haruslah meneruskan segala perhubungan baik mereka semasa hidup dengan kita merapatkan lagi tali silaturrahim itu.

Kepada si anak lelaki yang sudah mendirikan rumah tangga, mereka sesekali tidak boleh melebihkan isteri mereka sendiri berbanding kedua ibu bapa mereka. Si isteri perlu faham bahawa akad nikah si suami itu tidak memutuskan hak pemilikan ibu bapa terhadap si suami mereka.

Arahan ibu bapa si lelaki wajib patuh kepada ibu bapa sendiri berbanding arahan isteri. Jika kita gagal maka itulah derhaka yang sering dilakukan manusia zaman sekarang. Namun berbalik keadaannya dengan si isteri, bila mana si suami menyatakan aku terima nikah nya maka si isteri itu 100% milik si suami dan wala’ isteri 100% berpindah daripada ibu bapa mereka kepada suami mereka.

Itu hukum yang ditetapkan oleh ALLAH. Kita melihat situasi inilah yang menyebabkan ramai si suami menjadi anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa mereka kerana mereka tidak faham apakah keutamaan di situ.

Satu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW di mana seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah,

“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai masalah” adu si lelaki itu sambil merungut.

“Apakah masalah mu itu?” Rasulullah bertanyakan akan hal gerangan si lelaki tersebut.

“Sebenarnya aku mempunyai masalah bila mana bapa aku sering kali mengambil duit aku walaupun duit itu aku sembunyikan dan simpan di tempat lain. Bapa aku tetap mengambilnya tanpa kebenaran aku sedikit pun,” dia mengadu hal sebenar yang melanda dirinya.

“Sesungguhnya kamu dan harta kamu adalah milik bapa kamu!” Rasulullah memberikan jawapan.

Tengok, jawapan tegas Rasulullah terhadap lelaki itu. Jelas menunjukkan bahawa ibu bapa berhak ke atas anak lelaki selagi mereka bergelar anak lelaki mereka sampai bila-bila masa sekalipun. Maka tiada alasan untuk si suami bergaduh dengan si isteri soal balik kampung semasa hari raya jikalau semua umat ISLAM memahami konsep yang sebenar.

Lagi satu tanggungjawab kita sebagai anak ialah hendaklah kita sentiasa menghadiahkan kedua ibu bapa kita dengan pahala bacaan al-Quran tidak kira sama ada mereka masih hidup ataupun sudah meninggal dunia kerana doa dan pahala kita sebagai anak akan terus mengalir kepada mereka tanpa apa-apa sekatan.

Alangkah berbahagianya ibu bapa yang mempunyai anak yang mampu menghadiahkan mereka pahala kebaikan sentiasa dan tidak putus-putus. Alangkah bertuahnya si ibu bapa yang mempunyai anak yang mampu membantu menjadikan kubur ibu bapa mereka sebagai taman-taman syurga bukannya lubang-lubang neraka.

Begitulah sedikit sebanyak peringatan yang mampu saya kongsi kan bersama pembaca di pagi Jumaat yang penuh keberkatan ini. Saya tidak membuat apa-apa catatan semalam semasa ustaz mengajar maka tidak dapat menulis secara detail apakah yang diceritakan ustaz dalam kuliahnya semalam.

Namun berharap coretan kecil ini menjadi peringatan kepada kita semua akan maksiat yang telah berleluasa di negara kita ini mempunyai potensi yang cukup besar untuk ALLAH menurunkan bala.

Kata ustaz, kita tidak bimbang jika ALLAH menurunkan bala seperti banjir besar, tsunami dan gempa bumi kepada kita lantaran keingkaran ini namun kita teramat bimbang jika ALLAH menurunkan bala kepada kita dengan ALLAH membuka seluas-luasnya pintu untuk membuat maksiat tanpa sekatan kepada kita kerana jika sekadar bala seperti banjir dan tsunami, runtuh bangunan boleh dibina kembali dan mati manusia boleh jumpa pengganti.

Namun jika ALLAH membuka peluang maksiat seluas-luasnya dalam masyarakat kita, bukan kita sahaja terkena kesannya, malah budak kecil baru lahir pun akan terkena kesan buruknya. Judi, zina, riba’, samun, rompak, dadah, arak dan sebagainya merupakan hantu yang menakutkan buat si ibu bapa yang bercita-cita mahu melihat anak mereka membesar dan mampu menjadi imam solat jenazah kepada mereka kelak.

Bila ALLAH sengaja membuka peluang kemaksiatan secara luas, maka tunggulah saat kehancuran umat manusia yang maha dahsyat. Maka itulah bala yang kita amat bimbangkan sekarang ini. Bila melihat situasi sekarang dalam negara kita, apakah ini adalah bala daripada ALLAH?

Semua daripada kita mempunyai tanggapan tersendiri…

Moga kita sentiasa diampuni oleh ALLAH SWT.