Saturday, June 12, 2010

Mengapa Manusia Bongkak Dengan Tuhan?

Saya berkongsi kan video mengenai kisah galaksi dan bintang dan bumi. Sebenarnya ia berkenaan realiti kita sebagai manusia, makhluk yang diciptakan ALLAH selepas ditentang oleh para malaikat akibat kekhuatiran mereka terhadap sifat manusia yang bakal memusnahkan alam ini.

Kita juga makhluk yang begitu dibenci oleh syaitan, hanya kerana ALLAH memerintahkan dia untuk sujud kepada Adam. Video dokumentari ini jika dihayati dan difikirkan dalam-dalam ternyata menyebabkan kita tertanya-tanya di manakah kita sebenarnya letak duduk kita.

Kata orang-orang tua, mengenal hakikat langit itu tinggi atau rendah.

Ini kisah tentang Milky Way, nama kepada lingkaran galaksi yang bumi dan matahari menumpang. Tuhan yang Maha Kaya lagi Agung, sesungguhnya tidak terbayang kebesarannya.

Ini kisah galaksi yang kita diami. Kisah tentang Milky Way (Kemaskini video).



Di sebalik rasa penuh ketakjuban, rupa-rupanya galaksi Milky Way hanya salah satu daripada jutaan galaksi dicipta tuhan. Tidak terbayang sama sekali, di manakah akan berhenti perkiraan nombor jika mahu dihitung jumlah bintang-bintang, planet dan sebagainya dalam lingkaran-lingkaran galaksi ini.

Dalam Milky Way, bumi dan matahari menumpang. Jika kita terlopong dengan besarnya matahari berbanding bumi, kita sudah pasti tidak dapat mengagak betapa-betapa halus nya bumi jika di banding dengan Arcturus, Aldebaran dan adik beradiknya yang lain. Sebagaimana kisah perbandingan matahari dan bumi boleh ditonton di sini (Kemaskini video).



Begitulah seterusnya. Ini kisah dalam Milky Way, belum lagi ke lingkaran-lingkaran galaksi yang lain.

Tontonlah, bagaimana Hubble menerangkan gambar yang ditangkap mereka tentang lingkaran-lingkaran galaksi yang wujud. Maha Agung tuhan semester alam (Kemaskini video)!



Sebenarnya ini panggilan tuhan buat semua hati-hati manusia yang bongkak dengan janji-janji-Nya.

Sebenarnya ini perkhabaran tuhan tentang diri kita, yang langsung tidak berharga di sisinya kalau kita gagal untuk menuntun perintah-Nya.

Sebenarnya ini kisah yang menunjukkan segala-galanya tentang The Ultimate Power. Kisah ini supaya kita kembali merenung kebongkakan dan keangkuhan dan kesombongan kita kepada-Nya. Manusia bongkak, kadang kala kerana jahil.

Ciptaan ALLAH Maha Agung dan segalanya diciptakan adalah untuk manusia berfikir akan kebesarannya. Sepotong ayat dari al-Quran,

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”
Surah ali-Imran: 190-191

Moga kita terpelihara dari azab api neraka lantaran kebongkakan kita selama ini.