Wednesday, June 2, 2010

Mencetus Rasa Hidup Bertuhan

Mungkin penulisan ini akan dianggap remeh dan picisan bagi mereka yang hebat sudah hebat rasa kehambaan mereka kepada ALLAH namun bagi saya inilah ruang untuk top-up kredit dalam buku amalan dengan cuba menyampaikan sesuatu yang sudah biasa kedengaran dalam masyarakat kita.

Satu muhasabah buat diriku sendiri terutamanya dan pembaca semua tentang istilah ISLAM ketika di depan namun ATIES bila di belakang orang.

'Alayka bi-taqwallahi fi's sirri wa'l 'alan bermaksud bertakwalah kamu ketika rahsia dan di depan orang.

Kita begitu senang untuk nampak alim di depan kaca mata masyarakat namun AMAT sukar untuk berlaku alim di depan ALLAH bilamana bersendirian. Hakikat ini susah untuk dinafikan oleh kita umat ISLAM akhir zaman bila mana jarum-jarum SYAITAN sudah sebati dalam diri kita lantaran kurangnya rasa ikhlas ketika beramal.

Mungkin faktor terbesar ialah kita membenarkan berhala berada di dalam jiwa kita. Berhala yang saya maksudkan di sini ialah segala kemahuan dan keinginan dunia yang menyebabkan kita suka sangat melengahkan atau meninggalkan perintah ALLAH tanpa rasa bersalah.

Kita gagal untuk mengikis keperluan kita terhadap berhala-berhala ini melebihi keperluan kita mendahului perintah ALLAH.

Contoh yang mudah boleh dibawakan di sini ialah beza ketika kita berada bersama-sama kawan-kawan yang soleh dengan kita berseorangan di dalam bilik. Maka di sini IMAN kita teruji. Jika ketika kita bersama-sama mereka tadi, kita mampu untuk melakukan yang terbaik dalam setiap simbol penghambaan kita kepada ALLAH namun bila kita berseorangan syaitan lebih mudah menghampiri dan menghidupkan berhala-berhala yang berada dalam hati kita.

Tendency atau keupayaan untuk melakukan ibadat itu jelas terpancar ketika di masjid atau surau atau mungkin hanya ketika bulan Ramadan bersama-sama kawan yang lain.

Namun bila kaki menjejak lantai rumah, hairan kerana keupayaan itu hilang dengan mendadak.

Kadang kala bila mengadap laptop, kita sanggup untuk berkata “Tak pe, solat nanti la” dalam hati walaupun azan berkumandang di masjid. Kenapa?

Sedangkan kita sedar dan sedar malah kita faham solat jemaah itu wajib dan melengah-lengahkan solat itu dengan sengaja HARAM hukumnya.

Kenapa kita masih rasa TAK MENGAPA dan mungkin terlajak terus kalau terlelap tapi kalau kita bersama kawan-kawan maka kita lah yang roger suruh mereka solat.

Ini contoh yang selalu terjadi pada diri sendiri. Kadang kala terfikir kenapa saya tak sekuat ketika bersama-sama dengan sahabat lain. Tak kan kita tak rasa takut pada api neraka?

Dan masih kita tak sedar yang ALLAH melihat kita. Bayangkan kalau saat itu, ALLAH hantar Izrail menjemput kita sedangkan kita belum sempat membayar hutang solat lagi, agak-agaknya apa ye jawapan kita bila disoal depan ALLAH kelak?

Itu baru satu contoh mudah. Saya cukup yakin bukan saya seorang yang merasai dan menjiwai perwatakan ini. Namun saya kira penulisan ini untuk diri sendiri khasnya dan peringatan buat pembaca semua, maka tidak salah untuk membawa contoh sedemikian supaya kita sedar betapa kita ini hidup dalam jagaan dan pemerhatian DIA.

Kita sering gagal ketika berseorangan maka sebab itulah Rasulullah bersabda hendaklah kamu hidup berjemaah kerana di situ ada mereka yang akan memperingati kamu ketika lalai. Sematkan lah dalam hati kita betapa ALLAH menyaksikan perbuatan kita meskipun sekecil-kecil zarah sekalipun.

Bukan itu sahaja, malah jika kita tak menyedari hakikat BERTAKWA KETIKA RAHSIA ini maka kita sering menganggap hal kehambaan kita ini sebagai kerja nombor 2 selepas selesai kerja-kerja yang lain. Malah mungkin kita lebih suka memilih untuk menghabiskan permainan game dulu sebelum kita pergi bersolat atau kita suka menambah masa tidur kepada “lima minit lagi” ketika Subuh lalu terlajak terus jadi Subuh Gajah.

Dan kita mungkin suka menyedapkan hati kita ketika melihat sesuatu yang tidak sepatutnya dengan menyatakan alasan kenapa berbuat sedemikian sedangkan kita tahu hukumnya TETAP HARAM.

Pelbagai lagi ragam kita ketika berseorangan. Kawan-kawan memuji-muji kita kerana rajin bersolat jemaah, baca Quran tak tinggal, al-Mathurat tiap hari tak pernah miss dan mendahului dalam apa jua perbahasan agama. Namun bila kita berada dalam bilik berseorangan, syaitan pun surrender dengan kita.

Kenapa?

Sebab kita sebenarnya tidak faham apakah yang dikatakan TAKWA itu sendiri. Tiap-tiap kali solat Jumaat, khatib wajib memperingati jemaah agar bertakwa dengan SEBENAR-BENAR TAQWA.

Apa yang kita faham dengan sebenar-benar takwa?

Adakah takwa itu hanya ketika di masjid atau ketika dalam majlis-majlis ilmu atau ketika bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang SOLEH sahaja?

Oleh itu, saya memperingati diriku sendiri, cetus lah dalam diriku akan rasa hidup BERTUHAN.

Rasailah diri mu diperhatikan oleh TUHAN. Selami lah jiwa mu agar tunduk patuh pada perintah TUHAN. Yakinlah bahawa butir-butir firasat hati mu itu TUHAN tahu. Gegarkan nafsu mu dengan nama ALLAH.

Hancurkan berhala yang hidup subur dalam hati mu itu dengan rasa takut pada azab seksa yang Maha Dahsyat daru TUHAN.

Sedarlah keutamaan dalam setiap amalan perbuatan kita adalah bergantung pada sejauh mana rasa penghambaan kita pada TUHAN itu sendiri. Adakah kita merasakan surfing internet ketika azan berkumandang akan mendatangkan rasa kehambaan kepada ALLAH dengan lebih syahdu lagi berbanding kita segera membersihkan diri dan bersiap ke masjid untuk solat berjemaah?

Kita semua ada jawapan tersendiri…

Moga-moga bebelan hatiku pada petang ini mampu membangkitkan rasa hidup BERTUHAN dalam diri sendiri dan pembaca semua. Menyedarkan hakikat TUHAN wujud bukan hanya ketika kita di masjid atau di majlis-majlis ilmu sahaja. Walau di mana sahaja Insha’Allah…