Wednesday, June 9, 2010

Mahasiswa Yang Punya Asa

Kata Bapak Natsir,
“Pemimpin tidak lahir dari bilik-bilik kuliah, tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul di tengah-tengah pergumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya lalu diterima dan didukung oleh umat”
Cantik susunan ayat keramat seorang tokoh perjuangan yang tidak asing lagi dari kaca mata mereka yang sedar dan tidak tidur. Menggambarkan sebuah roh sebenar sebagai anak muda dan bagaimana sepatutnya dia menjadi. Bukan sekadar hebat berhujah dan jaguh melenting, namun bila mereka berdepan dengan pergelutan hak dan keadilan, mereka tidak sesekali berundur dan meninggalkan terma ini.

Mengubah dan bergerak itu adalah kerja anak muda. Cubaan mengganggu mereka adalah cubaan yang kebudak-budakan. Kenapa perlu menyekat mereka untuk menyuarakan isi hati mereka sendiri demi melihat umat bangkit terbilang?

Mengapa perlu dicipta akta kejam semata-mata untuk menutup dan mematikan aktivisme anak muda. Goblok nya sebuah pemerintahan jika mereka sanggup memperjudikan masa depan negara dengan menghapuskan dan melenyapkan suara anak muda.

Hari ini di Parlimen mencatat satu sejarah buat gerakan anak muda di Malaysia. Hari ini Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan penuh berani dan kencang merempuh masuk ke dalam Parlimen untuk menghantar Deklarasi Belia dan Mahasiswa Malaysia kepada semua ahli Parlimen dengan harapan mampu menggamit kesedaran ahli-ahli Parlimen berkenaan isu yang melanda mereka.

Mereka datang untuk menuntut kebebasan bersuara dan akademik daripada kerajaan UMNO-BN setelah tidak dapat bersabar lagi lantaran pelbagai kerenah manipulasi yang dilakukan oleh pihak tertentu demi mematikan arus semangat mereka daripada bangkit menyuarakan kebenaran.

Keberanian mereka mendapat pujian oleh beberapa orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat seperti Dr.Hatta Ramli, Sifuddin Nasution, Nurul Izzah Anwar dan Liew Chin Tong.

Malaysia bertuah kerana golongan sebegini masih lagi wujud meskipun pelbagai tekanan dikenakan terhadap mahasiswa. Kita mengklasifikasikan diri kita dengan bangganya sebagai masyarakat yang demokratik namun kita sering gagal dalam mempraktikkan nilai demokrasi yang sepatutnya dalam kehidupan seharian kita.

Namun sejarah membuktikan bahawa tiada satu akta pun yang dicipta mampu menyekat kebangkitan anak muda kerana jiwa anak muda yang sedar adalah langsung tidak sama dengan jiwa mereka yang hanya tahu permasalahan namun bila disuruh bertindak, mereka takut dan lemah.

Bila berbincang soal anak muda dan politik rata-rata menyatakan mereka tidak berminat maka tidak perlu sibuk dengan politik. Pandangan sebegini amatlah malang jika keluar dari mulut mereka yang bergelar mahasiswa terutamanya. Mereka gagal memahami apakah kehendak masyarakat terhadap batang tubuh mereka.

Namun saya berharap “rempuhan” ini akan menjadi satu titik mula kepada kebangkitan anak muda di Malaysia dan berjuang memastikan segala akta kejam dan mereka yang “gagal” dalam mentadbir negara ini dihukum dengan sewajarnya.

Dimensi baru kepimpinan anak muda negara memerlukan mereka yang boleh bertindak selain berkata-kata.