Thursday, June 3, 2010

Keperluan Pendidikan Demokrasi Bermula Dari Kecil

Kita sering berbangga dengan status negara kita yang berpaksikan kepada Demokrasi Berparlimen yang mana dengan kata lainnya rakyat adalah penentu kuasa negara secara pilihanraya.

Malah doktrin sebegitu terus bergema di segenap penjuru masyarakat, di dalam buku-buku rujukan, belakang buku-buku tulis dicatatkan Rukun Negara dan pelbagai lagi namun dalam kita sedar atau tidak, berapa ramai rakyat Malaysia yang faham apakah itu Demokrasi Berparlimen atau hidup berdemokrasi dalam erti kata yang sebenar?

Tidakkah jelik kita mengaku sebagai seorang warganegara yang didoktrinkan dengan dogma-dogma demokrasi namun gagal mengetahui apakah yang dikatakan demokrasi itu sendiri?

Saya simpulkan situasi ini adalah akibat kita gagal mempelajari dan menyemai nilai-nilai demokrasi yang betul pada tahap yang sepatutnya sejak kecil lagi. Sistem pendidikan kita bukan berteraskan pada nilai-nilai demokrasi tapi lebih menyemai semangat kediktatoran.

Sebelum itu biar kita menghuraikan maksud sebenar DEMOKRASI yang sering dilaung-laungkan oleh politikus di negara yang tercinta ini.

Definisi Demokrasi


Demokrasi adalah berasal daripada Yunani hasil gabungan dua perkataan iaitu demon yang bermaksud kuasa dan cratos yang bermaksud rakyat. Bererti kuasa rakyat. Namun dalam sistem demokrasi yang moden sekarang ini, pelbagai unsur lain telah lahir bagi mengimbangi keperluan semasa termasuklah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen yang meletakkan Raja Berpelembagaan sebagai salah satu struktur utama dalam pemerintahan negara selain Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Matlamat demokrasi adalah melahirkan warganegara yang matang dan bebas berfikir serta mampu menggunakan peluang yang ada untuk kelangsungan hidup tanpa menjejaskan hak asasi serta tanggungjawab sosial mereka.

Ini point terpenting untuk kita ambil berat iaitu warganegara demokratik adalah warganegara yang tidak mengabaikan aspek hak asasi dan tanggungjawab sosial mereka dalam apa jua aktiviti mereka termasuklah dalam berpartisipasi, bersuara dan berkumpul.

Ok, itu hal definisi secara ringkas.

Sekarang kita menilai dari definisi tadi dengan realiti yang kita hadapi sekarang terutamanya dalam sistem pendidikan negara kita yang memang sangat memerlukan kepada rejuvenisasi segera. Nyata adalah malang bila kita sibuk mendambakan diri kita sebagai warganegara yang demokratik namun pada masa yang sama kita tidak menyedari hak sebagai warganegara yang berdemokrasi telah dirampas secara tak sedar.

Realiti Demokrasi di Malaysia


Contoh mudah bila kita menyoroti sistem pendidikan negara kita yang begitu subur dengan virus anti-demokrasi dalam bentuk indoktrinasi dan pelbagai tekanan yang diberikan terhadap para pengamal akademik dalam semua bidang.

Bila melihat adanya percanggahan pendapat, mereka melihat hanya ancaman yang timbul tanpa cuba memanfaatkan percanggahan itu menjadi satu daya inisiatif dalam membangunkan sesuatu yang baru. Sikap dan mentaliti “kritikal” seakan cuba dihapuskan dan lebih senang untuk terus mendongak kepala ke atas dan mengikut telunjuk mereka yang berkuasa tanpa banyak persoalan.

Mereka di IPTA atau di peringkat pengajian tinggi dilayan umpama “anak mami” yang manis tutur katanya, angguk bila diperintah dan langsung dilarang untuk membantah. Ruang belajar peringkat yang tinggi itu menjadi tembok kepada kebebasan berfikir, berbicara, bertindak, berimaginasi dan bergerak kerja secara matang dan praktikal seperti mana remuk rendam yang dirasai masyarakat luar.

Menjadikan pelbagai akta “pelik” untuk menyekat mereka yang berada di tingkat pengajian ini untuk menzahirkan sifat sebenar mereka kepada masyarakat. Merasa cukup dengan pensyarah-pensyarah mereka menjadi tempat rujukan untuk segala realiti kehidupan.

Mereka dibutakan daripada persoalan-persoalan politik secara praktikal dengan alasan mesti mengejar cita-cita akademik dan kebahagiaan ibu bapa di samping mereka yang berkuasa terus memperkuda kan situasi ini untuk melanjutkan hayat pemerintahan mereka yang kian nazak dan membolot segala genap keuntungan negara ke dalam poket mereka.

Akibatnya, bila mereka keluar untuk menjadi harapan dan peneraju kepada masyarakat, mereka kelam membisu kerana gagal memahami “bahasa rakyat” yang realiti. Menjadi asing ketika berbicara.

Maka dengan keadaan sebegini, mana mungkin kita masih lagi mampu berbangga dengan status demokrasi yang ada tercatat dalam helaian Perlembagaan Malaysia. Mereka tidak pernah mengenal erti kritikal dan strategik dalam berfikir dan mereka mustahil mampu menghargai perbezaan dan percanggahan pendapat yang berlaku yang sepatutnya hal ini menjadi nilai tambah kepada dogma demokrasi dalam diri setiap warganegara jika sebegini rupa sistem pendidikan negara kita.

Maka betulkah apa yang saya cakap tadi bahawa kita tidak menyemai nilai demokrasi dalam pendidikan namun mengajar kepada mereka untuk menjadi generasi yang bersaksi pada semangat kediktatoran. Hal ini berlaku secara tidak langsung dan impaknya kita boleh lihat pada hari ini dengan lahirnya golongan “yes man” yang sanggup menggadaikan harga diri dan nilai demokrasi dalam diri masing-masing demi memastikan kepentingan mereka tercapai.

Wajah Demokrasi di IPTA


Saya tergerak hati untuk menulis ini bersempena bersidang nya Mahkamah Universiti Kebangsaan Malaysia untuk membicarakan 4 orang mahasiswa UKM yang di tangkap ketika berada di Hulu Selangor semasa PRK yang lepas untuk dibicarakan di bawah AUKU.

Melihat kepada virus anti-demokrasi ini makin menjalar dalam segenap penjuru di dalam sistem pendidikan negara kita dalam pada masa yang sama kita tak malu untuk mendabik diri kita sebagai warganegara yang demokratik, alangkah cantiknya jika nilai-nilai demokrasi ini ditanam dalam diri setiap warganegara sejak kecil lagi.

Bukan ini sahaja kes yang melibatkan pencabulan hak-hak demokrasi terhadap sistem pendidikan. Kita menyaksikan bagaimana Prof Dr. Aziz Bari diberi amaran keras supaya tidak menghadiri Forum Bantah E-Voting pada awal Januari tahun ini.

Dan kita menyaksikan bagaimana “mereka” memanfaatkan sistem e-voting dalam Pilihanraya Kampus untuk terus mengekalkan pengaruh mereka terhadap mahasiswa. Malah lebih parah bilamana negara gempar apabila 8 orang ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa UPM yang baru dilantik satu hari dipecat daripaa jawatan mereka semata-mata dengan tuduhan berkempen melalui Facebook.

Permainan apakah ini?

Adakah negara kita ini sebuah komuniti manusia yang berakal atau sekadar didiami oleh sekumpulan monyet-monyet yang patuh menurut arahan?

Apakah mereka ingat negara ini berasaskan kepada undang-undang rimba?

Maka wajiblah kita menyatakan ketidakpuasan hati kita terhadap situasi ini dari terus membelenggu masyarakat dengan kita menyemai dan mendoktrinkan nilai kehidupan anak-anak kita dengan dogma-dogma demokrasi yang sebenar tanpa mengganggu gugat keutuhan syariat yang ditetapkan oleh ALLAH.

Boleh jadi jika kita terus membiarkan kebejatan ini hidup subur, maka sejarah pasti akan mencaci kita dengan penuh nista lantaran “tertidurnya” kita dengan apa yang merebak dalam masyarakat kini.

Kerana itu mereka yang memerintah dan bertanggungjawab dalam menggubal sesuatu akta demi kesejahteraan masyarakat untuk kembali memikirkan realiti ini. Sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan demokrasi kita direjuvenisasi dan dirombak secara tersurat dan tersirat.

Merawat Demokrasi Melalui Pendidikan


Dengan menutup segala lubang-lubang kepentingan diri, maka sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan di beri ruang yang cukup untuk membangunkan budaya demokrasi bagi setiap warganegara, sehingga mereka mampu lahir dan keluar sebagai warganegara demokratik sejati yang mempunyai rasa malu, rendah diri, besar jiwanya, penuh toleransi, beretika, tinggi moralnya dan hebat spiritual nya serta kukuh tegap untuk bertarung dengan segala macam permainan politik dalam masyarakat.

Apatah lagi dengan zaman penuh mencabar ini atau zaman globalisasi ini yang begitu mengancam dengan kepelbagaian dogma budaya baru tercipta dan meresapi generasi ini langsung memusnahkan segalanya. Maka di sini nilai demokrasi menjadi penentu kepada citra, kredibiliti dan kebolehupayaan kita sebagai salah sebuah bangsa yang berjiwa demokratik.

Maka dari sini, mahu tidak mahu perlunya ada rombakan dalam sistem pendidikan kita ini demi mempersiapkan sumber tenaga yang bermutu dan professional dan demokratik sehingga mempunyai sifat keupayaan untuk menghalang sesuatu yang tidak baik dan berdiri kukuh di tengah-tengah “konflik ketamadunan” manusia sekarang.

Akademik atau pendidikan mesti diberi ruang secukupnya kepada para pengamal nya serta pelajar sendiri untuk belajar mendalami dan menghargai dogma-dogma demokrasi dalam setiap suasana pembelajaran mereka. Harus diberi kebebasan untuk menterjemahkan segala yang terbuku di minda dan perasaan melalui debat, diskusi dan pidato dengan bertujuan memacu kebenaran dan nilai-nilai keluhuran akhlak.

Dan para menteri dan mereka yang bertanggungjawab dalam menggubal sistem pendidikan ini WAJIB menunjukkan keinginan yang baik dalam memberikan panduan untuk mempraktikkan segala macam nilai-nilai demokrasi itu sendiri.

Apa yang terpenting seperti kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil @Saiful Islam, dalam sebuah rancangan televisyen sesungguhnya pendidikan yang terbaik adalah datangnya dari rumah kerana sekolah itu hanyalah supplement. Jadi dogma-dogma demokrasi ini perlulah wujud bermula dari dalam rumah lagi seterusnya ia merebak kemudian membentuk sebuah kelompok masyarakat yang demokratik.

Sebenarnya dalam berbicara soal demokrasi, sudah tentu terbit persoalan adakah ianya penting untuk diperkatakan. Pendapat peribadi saya ianya amat PENTING untuk dipersoalkan oleh setiap rakyat Malaysia pada hari ini agar mereka tidak mudah ditipu atas nama demokrasi dalam apa jua perbuatan sekalipun.

Berlakunya pelbagai penindasan dalam masyarakat pada hari ini adalah kerana kesedaran masyarakat tentang erti sebenar hidup sebagai warganegara demokratik adalah terlampau kurang.

Mereka hanya tahu merujuk pada satu sumber dan terus berpegang teguh dengan sumber terbabit tanpa usul periksa. Apabila hal keadaannya terjadi maka begitu senang mereka yang berkepentingan untuk memanipulasikan keadaan demi melanjutkan tempoh pemerintahan mereka biarpun dalam keadaan penuh nazak.

Jika kita menilai dari sudut dunia ini sendiri, memang tidak ada sebuah negara pun yang berjaya mengamalkan demokrasi secara telus dan jujur hatta Amerika yang mendabik dada sebagai sebuah negara demokrasi contoh tetap gagal membuktikan mereka adalah yang juara demokrasi kerana masih terdapat sekatan-sekatan yang bersifat diskriminasi terhadap minoriti di negara terbabit secara langsung dan tidak langsung.

Sebagai contoh tindakan mereka dalam menangani kebangkitan ISLAM di Amerika sendiri dan pelbagai aksi lain seperti pencabulan amanah ketika Pilihanraya Illinois semasa pemilihan calon Demokrat pada tahun 2008.

Kerana apa?

Tidak lain tidak bukan seperti saya ungkapkan pada awal tadi iaitu kepentingan peribadi mengatasi segala nilai kemanusiaan.

Agenda Demokrasi Terpimpin


Sebab itulah dalam mengamalkan nilai-nilai demokrasi, kita perlu sedar apakah yang dimaksudkan dengan demokrasi TERPIMPIN. Demokrasi terpimpin adalah demokrasi yang meletakkan nilai sebagai salah satu alat timbang tara dalam membuat sesuatu keputusan dan tidak bergantung terhadap suara majoriti semata-mata.

Untuk lebih jelas mengenai sejarah perkembangan demokrasi terpimpin ini sila baca artikel terdahulu, Demokrasi Terpimpin: Pengimbang Antara Kuasa Majoriti dan Nilai. Kita mengimpikan suasana hidup yang benar-benar demokratik aturannya di mana benar-benar meletakan nilai demokrasi pada tempat yang sepatutnya.

Perlu difahami dalam konteks ini, demokrasi bukanlah tertakluk kepada politik kepartian sahaja. Malah kita dalam kehidupan seharian perlulah sentiasa mempraktikkan nilai-nilai demokrasi supaya kita benar-benar mempunyai jiwa yang demokratik.

Demokrasi kita demokrasi TERPIMPIN yang berasaskan nilai sejagat bukan demokrasi TERPIMPIN ala 3 Abdul. Oleh itu proses doktrinisasi ini harus bermula sejak KECIL lagi agar mereka membangun sebagai warganegara yang benar-benar demokratik.