Tuesday, June 8, 2010

Judi Mengajak Rakyat Berfikir

Ini petikan kata-kata dan kenyataan mereka yang berkepentingan dalam isu pemberian lesen judi kepada Berjaya Group semasa Piala Dunia 2010. Sama-sama kita nilai dan fikirkan. Kerana inilah tugas kita sebagai rakyat biasa-biasa, pengundi saban 5 tahun untuk berfikir dan bertindak.

Pemuda DAP dalam kenyataan mereka tegas menyatakan pendirian mereka,

“Kita akan menyokong mana-mana pertubuhan yang mempunyai objektif sama iaitu membantah kelulusan lesen judi sukan. Pendirian kita tetap sama iaitu membantah kelulusan lesen judi sukan dan kita tidak sama sekali bersetuju dengan keputusan kerajaan itu.Ini kerana kelulusan lesen judi sukan akan menggalakkan lagi aktiviti judi sedangkan sudah terlalu banyak lesen judi yang dikeluarkan.”

Gerakan Membantah Judi (GMJ) tetap dengan pendirian mereka,

“…..akan tetap meneruskan usaha untuk mengadakan protes bagi membantah pemberian lesen judi sukan, walau kerajaan berkata lesen tersebut masih belum dikeluarkan kepada syarikat Ascot Sports Sdn Bhd.”

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula dalam kenyataan mereka,

“Keberadaan mereka dalam kabinet adalah satu amanah yang penting untuk menjaga keluhuran dan kedaulatan amalan agama Islam dan semua agama yang menolak amalan judi,”
“ABIM juga sangat menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh beberapa kerajaan negeri yang bertindak mengharamkan amalan pertaruhan Piala Dunia 2010 di negeri masing-masing,”
“Memandangkan isu ini menyentuh secara langsung sensitiviti umat Islam selaku masyarakat majoriti di negara ini, ABIM juga ingin merakamkan penghargaan di atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh mufti Perak dan mufti Selangor berhubung isu tersebut,”

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hisyamuddin berkata,

“Daripada membuat bising di luar, kerajaan negeri (yang berkenaan) boleh bekerjasama dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dengan memberi cadangan supaya kerajaan boleh buat keputusan dalam membanteras ekonomi hitam…..”
“Isu ini berkait rapat dengan ekonomi hitam yang melibatkan RM10 bilion yang berhubungan dengan kegiatan jenayah serius seperti perdagangan manusia dan pinjaman wang haram atau ah long.”

Kenyataan terkini Kementerian Kewangan berkenaan isu ini,

“Kerajaan juga belum memuktamadkan perbincangan mengenai syarat-syarat dan terma-terma pelesenan dengan syarikat Ascot Sports bagi menjalankan operasi pertaruhan bookie di Malaysia. Kerajaan masih mendapatkan maklum balas/pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan pelesenan pertaruhan bookie di Malaysia dengan hasrat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan perjudian tanpa lesen di Malaysia.”

Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan,

“Pendirian kita adalah jelas. Ia (judi) adalah keterlaluan dan harus ada pengurangannya.”

Manakala kata si Raja Judi pula, Tan Sri Vincent Tan,

“…..berjanji akan mendermakan lebih setengah bilion untuk tujuan kebajikan. RM525 juta itu akan didermakan melalui yayasan nya Better Malaysia Foundation.”

Dan kita semua ada akal yang sihat untuk menilai kata-kata mereka semua ini. Semuanya bercakap kerana kepentingan tersendiri. Mungkin kerana kepentingan peribadi atau mungkin juga atas kepentingan politik.

Mungkin juga atas kepentingan HAK dan KEADILAN tapi kita mengharapkan mereka ini bercakap atas dasar kepentingan ISLAM.

Insya ALLAH yang BENAR tetap akan BENAR dan kebatilan akan hancur jua…