Wednesday, June 30, 2010

Gesaan Bersegera Melakukan Amal Soleh

ALLAH berfirman dalam aL-Quran,

“Dan bersegaralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Surah ali-Imran: 133

Lagi ALLAH berfirman,

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya.”
Surah aL-Hadid: 21

ALLAH menawarkan kepada kita satu promosi yang cukup lumayan. Bukan 1 balas 2, tapi 1 balas dengan sesuatu yang tak terbayang di akal fikiran.

Let’s imagine…

Kita mendirikan solat kepada-Nya, ALLAH membalas dengan keampunan dan syurga. Cuba sebut apakah perniagaan di dunia ini yang memberi kepada pelanggan sebegitu rupa hadiah atau ganjarannya?

Sebenarnya ayat Quran di atas adalah dalil kenapa perlunya kita bersegera dalam melakukan amal soleh dan kebaikan. Tak lain tak bukan adalah untuk kita mengejar ganjaran yang ALLAH janjikan itu.

Menurut ulama’, sebenarnya bersegera dalam melakukan ibadat dan kebajikan adalah salah satu cara untuk memperkuatkan iman. Semasa kuliah maghrib semalam, ustaz ada menyebutkan antara beberapa amal soleh yang perlu dilakukan oleh setiap muslim ialah:

  1. Melakukan ibadat dengan segera jangan bertangguh
  2. Beribadat atau berbuat kebaikan secara berterusan dan konsisten
  3. Melakukan ibadat secara bersungguh-sungguh dan bersemangat
  4. Merebut semula segala amalan yang sudah luput
  5. Beramal dengan mengelakkan kebosanan
  6. Sentiasa berharap agar ibadat diterima oleh ALLAH SWT

Kesemua petua ini adalah untuk memastikan tahap keimanan kita sentiasa di tahap yang mampu menyebabkan rahmat ALLAH turun kepada kita. Dalam hal bersegera dalam mengerjakan amal soleh, indikator terpenting ketika hendak solat ialah bagaimana reaksi kita ketika mendengar azan.

Kata ustaz, jika kita merasa seperti amat perlu untuk menyahut seruan itu maka itulah tanda iman kita masih lagi OK.

Namun apabila kita terdengar azan berkumandang namun hati kita masih lagi terasa itu hanyalah seruan yang ringan sahaja maka bermakna ada something wrong dengan iman kita. Maka kata ustaz semalam, jika terdengar azan latihlah diri kita untuk menghahati setiap bait alunan itu dan cuba menanam rasa yang amat berdosa jika mengendahkan seruan itu.

Kita hanya diberi peluang ketika itu untuk beribadat pada masa itu. Jika terlepas maka terlepaslah peluang untuk kita beribadat pada masa tersebut.

Moga-moga ALLAH memberi kepada kita peluang untuk terus menebus segala leakage dalam beribadat yang pernah kita buat sejak dulu lagi.

Sungguh cantik ketika Nabi Musa Alaihissalam bersegera menemui ALLAH dalam firman-Nya,

“Dan aku bersegera menuju Engkau wahai tuhanku agar Engkau redha (terhadapku).”
Surah Thaha: 84

ALLAH turut memuji Nabi Zakaria Alaihissalam dan ahli keluarga baginda dalam firman-Nya,

“(Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-Rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta dengan perasaan cemas dan takut, dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.”
Surah aL-Anbiya’: 90

Kita perhatika dan hayati pula kisah bagaimana sahabat Rasulullah SAW, Umair bin aL-Human aL-Anshari dalam hadith Baginda mengenai ketidak sabarannya dalam mengerjakan amalan soleh termasuklah berjihad.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim RA di dalam kitab Sahih beliau daripada Anas bin Malik mengenai Peperangan Badar tatkala para pasukan musyrikin telah menghampiri pasukan ummat Islam, Rasulullah SAW bersabda bagi memberi motivasi pasukan umat Islam, “Bangkitlah kamu menuju syurga lebarnya seperti langit dan bumi!”. Berkata perawi hadith ini, Umair bin aL-Human aL-Anshari berkata, “Wahai Rasulullah, syurga luasnya seperti langit dan bumi?”. “Ya!” jawab Rasulullah. Sahut beliau, “Bakhkhin,Bakhkhin!” (Perkataan yang digunakan untuk membesarkan dan memuliakan sesuatu perkara). Rasulullah bertanya, “Apakah faktor yang mendorong anda untuk mengatakan Bakhkhin, Bakhkhin?”. Jelas beliau, “Tidak ada, demi ALLAH kecuali hanya kerana mengharapkan agar aku termasuk ahli syurga tersebut!”. Baginda menjelaskan, “Engkau memang termasuk di antara ahli syurga.” Beliau lantas mengeluarkan beberapa biji tamar dari tempat penyimpanan makanannya, dia pun memakan tamar tersebut. Setelah itu Umair berkata,”Demi sesungguhnya jika saya masih hidup untuk memakan tamar ini, sungguh terlalu lama saya hidup” Yakni Umair ingin bersegera menyahut panggilan jihad agar beliau masuk ke syurga dengan segera. Perawi kisah berkata, “Lantas Umair melupakan atau membuang buah tamar yang ada padanya kemudian beliau memerangi kaum musyrikin sehingga beliau tewas syahid”
(Hadith riwayat Muslim)

Sungguh, inilah mereka yang benar-benar sedar apakah jualan yang sedang mereka berurusan sekarang. Mereka sedar betapa pelbagai ganjaran yang ALLAH berikan kepada mereka ketika mereka berlumba-lumba mengerjakan ibadat.

Jom, tunggu apa lagi?

Promosi ini hanya dalam tempoh hidup kita sahaja.

Insya ALLAH moga kita termasuk dalam golongan yang sentiasa berkejar untuk berebut kebaikan…