Tuesday, June 15, 2010

Cara Negarawan Berfikir

Terkedu dan cukup terkilan tatkala membaca laporan berita Malaysiakini tentang persetujuan Tun Mahathir dalam isu pemberian lesen judi sempena Piala Dunia 2010. Dia menuduh bantahan DAP terhadap pemberian lesen judi itu bukannya berniat baik tetapi semata-mata motif politik.

Saya cuba mencari erti dan perspektif yang berbeza, namun akal tetap gagal menemui jawapan yang konkrit untuk menyokongnya. Apakah ini petanda dunia akhir zaman yang sudah dekat?

Atau begini cara negarawan berfikir?

Ini beberapa keratan kenyataan beliau berkenaan isu tersebut,

“Bantahan itu kerana politik, bukan kerana Islam. Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan) politik parti pembangkang hendak cari isu. Sedangkan dalam muktamar PAS ada cadangan supaya semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak,”
“Yang dia (PAS) kata tak boleh, (judi) sukan, bola sepak (sahaja). (Bantahan) ini politik, kita kena asingkan soal politik dengan soal agama. Bagi PAS, agama adalah alat politik mereka,”
“Saya berpendapat bahawa ada lesen ataupun tidak, judi memang ada di negara kita ini kerana orang Cina memang suka berjudi. Tetapi kalau dia berjudi tanpa lesen, tidak ada cara untuk kita menentukan perjudian itu tidak berleluasa,”
“Tidak, Vincent Tan selama ini dia meniaga di luar negeri, di negeri Cina, di Vietnam, di Korea. Dia tak payah cari duit di sini,”

Lagi berita mengenai isu ini boleh dibaca menerusi portal MalaysiaKini.

Di sini beberapa highlight yang saya buat pada berita di atas untuk huraikan berdasarkan perspektif saya berkenaan isu ini,

1) Takkanlah DAP pun hendak dokong ajaran Islam. (Bila) DAP pun dapat sertai (bantahan), ini (menggambarkan) politik parti pembangkang hendak cari isu

Ulasan: Apakah Dr Mahathir mengira semua orang akan berfikiran seperti Najib Razak yang senang-senang menghalalkan judi? Sesungguhnya mereka yang membantah judi ini adalah mereka yang berakal kerana mereka tahu apakah buruk dan baiknya.

Jikalau kita meletakkan semua benda atau tindakan itu atas dasar “politik” semata, maka sebutlah apa sahaja benda yang tidak ada motif di dunia ini?

Apakah Dr Mahathir mengira judi itu halal buat Buddha dan Hindu?

Atau apakah judi itu halal buat nilai dan norma masyarakat?

2) Ada cadangan supaya semua jenis judi diharamkan, tetapi PAS tak hendak

Ulasan: Hebatnya Tun Mahathir membuat kenyataan yang sungguh berfakta. Di mana “tak hendak” itu?

3) (Bantahan) ini politik, kita kena asingkan soal politik dengan soal agama

Ulasan: Sebelum saya mengulas kenyataan ini, eloklah kita menghayati fatwa Syeikh Dr Yusuf Al-Qardawi dalam kitabnya,

“Bahawa sesungguhnya kebanyakan takwilan-takwilan jahat yang kita hadapi pada zaman ini adalah pada nas-nas yang berkait dengan hukum syarak lebih banyak dari yang berkait dengan akidah (seperti di zaman lalu). Hal ini berlaku lebih-lebih lagi selepas berjayanya penjajah-penjajah Barat dalam menyekat pelaksanaan syariat selama lebih kurang satu kurun dan lebih, dan meletakkan undang-undang ciptaan mereka sebagai gantinya, dan mendirikan satu budaya baru yang menyanggah perintah-perintah syariat dan membentuk aqliah-aqliah yang beriman dengan falsafah nya tetapi jahil tentang warisannya, yang terasing dari umatnya, yang lemah kepercayaannya kepada Tahannya dan syariatnya.”

Benar, kita sudah jelas diresapi dengan Sekularisme dalam kehidupan kita sehinggakan kita seringkali menganggap agama itu tiada dalam kaitan kehidupan dan politik. Hancur akidah kita jika kita berimankan dengan falsafah sebegini.

Seorang ulama’ besar, Syeikh Muhammad aL-Khidhr Husain yang merupakan salah seorang Syeikh aL-Azhar menggunakan istilah dhalalah (kesesatan) bagi mengungkapkan tindakan memisahkan agama daripada politik. Istilah syar’i ini merupakan yang paling tepat bagi menyebut suatu ajaran yang baru ini kerana merupakan sesuatu yang masuk dalam kategori bida’ah. Dan setiap bidaah adalah sesat.

Syeikh aL-Khidhr turut menulis satu artikel panjang yang diterbitkan oleh Majalah “Nurul Iman” yang kemudiannya diletakkan dalam bukunya yang berjudul “Rasa’il al-Islah”,

“Kami mengetahui bahawa yang mempunyai keinginan memisahkan agama dan politik berasal daripada dua golongan:
  1. Segolongan orang yang mengetahui betul bahawa dalam al-Quran terdapat hukum dan dasar-dasar yang berkaitan dengan pengadilan dan politik tetapi mereka menolak adanya kesesuaian ajaran-ajaran tersebut dengan maslahat yang dapat digunakan untuk mencapai tujuan optimum. Mereka tidak peduli ketika kaum Muslimin menuduh mereka telah melanggar hukum dan dasar agama bahkan mereka lebih rela disebut kafir atau orang yang menyimpang daripada agama. Mereka mengakui bahawa mereka tidak mempercayai al-Quran berserta ajaran-ajaran yang ada di dalamannya.
  2. Golongan kedua adalah mereka yang mengaku bahawa di antara ajaran agama ada yang mengandungi hukum mahupun politik tetapi mereka mengatakan bahawa ajaran tersebut tidak sesuai lagi digunakan pada masa kini kerana itu mereka berusaha memisahkan agama daripada politik. Tetapi tujuan mereka itu tidak akan berhasil dan usaha mereka sia-sia belaka. Mereka menggunakan cara yang dianggap lebih tepat iaitu menganggap ISLAM hanya mengandungi tauhid dan ibadah, mereka juga mengingkari hakikat adanya ajaran yang berkaitan dengan hukum dan politik. Mereka terus menghembuskan syubhah dengan harapan ada orang-orang bodoh yang terpengaruh dengan usaha mereka ini.”

Itulah 2 golongan yang berusaha memisahkan agama daripada politik. Kemudian mereka mendekati kekuasaan agar dapat menciptakan hukum dan peraturan bagi kaum Muslimin yang bertentangan dengan syariat ISLAM.

Mereka juga mengikuti aliran yang menggunakan ajaran yang tidak diredai oleh ALLAH SWT, kerana ajaran tersebut tidak membawa kebaikan yang dikehendaki syariat. Langkah yang dilakukan oleh kedua golongan inilah menjadi penyebab munculnya fitnah kerana mengikuti politik hawa nafsu serta mencerminkan dangkal nya pemahaman terhadap ajaran hikmah yang ada dalam syariat ISLAM.

Maka layaklah kita yang mengucap 2 kalimah syahadah ini mengeluarkan kenyataan seperti Tun Mahathir itu?

4) Saya berpendapat bahawa ada lesen ataupun tidak, judi memang ada di negara kita ini kerana orang Cina memang suka berjudi

Ulasan: Kita memikirkan sebab utama judi itu wujud kerana wujudnya cina di Malaysia dan kita mengatakan cina suka berjudi maka sebab itulah judi itu ada banyak. Namun apakah itu akan menjadi alasan kepada mu wahai pemerintah negara di hadapan ALLAH jika di tanya sebab wujudnya judi di Malaysia sedangkan pemimpinnya mengaku ISLAM?

Apakah ini alasan terkuat untuk kita menghalalkan judi di Malaysia secara terang-terangan?

Jika tetiba orang cina suka melanggan pelacur, maka kita dengan senang hatinya berkata pelacuran memang dah ada di Malaysia kerana orang cina suka melacur. Begitu kah?

Di manakah nilai kamu sebagai orang ISLAM jika kamu berkata sedemikian?

Di manakah kuasa kamu wahai pemerintah negara untuk menyekat segala kebobrokan akhlak ini?

Apakah kamu ingin menjadikan dan merasakan dan yakin lesen judi ini sebagai senjata “pencegah” judi yang terbaik?

5) Dan dana itu untuk semua orang, bukan untuk UMNO… Orang lain pun dapat. Saya fikir Vincent ini, bukan saja dia bagi duit pada UMNO. Saya ingat dia bagi pada parti lawan pun sama

Ulasan: Kasihan melihat kamu wahai Tun Mahathir. Baru tahu rupa-rupanya selama ini duit haram itu tak mengapa untuk “kita semua”. Patutlah generasi mendatang di Malaysia ini banyak mendaftarkan anak di tong-tong sampah. Rupanya penangan wang “halal” di semua tempat.

Sebelum menutup gelanggang perspektif ini eloklah untuk kita sama-sama menilai sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi,

“Daripada golongan Kufur yang wajib dikafirkan tanpa sebarang ragu dan tanpa berselindung ialah beberapa kumpulan berikut: (antaranya) pemerintah-pemerintah sekular dan pendokong-pendokong parti sekular yang menolak syariat ALLAH secara terang-terangan, yang mengisytiharkan bahawa negara mestilah dipisahkan dari agama lalu mereka itu apabila diseru supaya berhukum kan dengan hukum ALLAH dan Rasul-Nya mereka enggan dan menolak dan lebih buruk dari itulah mereka itu memerangi sepenuh tenaga mereka sesiapa sahaja yang menyeru kepada berhukum kan dengan syariat ALLAH dan kembali kepada ISLAM.”

Jelas bukan?

Siapa berani bantah fatwa ini?

Sila angkat tangan dan berdebat lah anda dengan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi..

Dan bertaubatlah wahai Tun Mahathir sebelum ajal menjemputmu…