Saturday, June 19, 2010

Bila Ideologi Menjadi Vokal

Pertamanya saya ingin membawa pembaca semua kepada satu dimensi dunia yang terbit daripada akal logik fikiran manusia yang begitu terbatas keupayaan dan kekuatannya. Dimensi dunia ini yang saya maksudkan di sini ialah berkenaan dunia mereka yang lebih senang untuk hidup dan mewakafkan diri mereka atas nama sesuatu ideologi yang ternyata bercanggahan dengan konsep dan syariat ISLAM sendiri.

Kita seakan menafikan kesempurnaan Islam dengan melabelkan diri kita sebagai pejuang itu dan ini. Di mana pejuang ISLAM nya?

Padahal secara hakikatnya semua benda di dunia ini tidak pernah terabai daripada pemerhatian dan ajaran Islam. Sebelum saya pergi jauh lagi, lebih baik untuk kita menghayati kata-kata As-Syahid Sayyid Qutb dalam kitabnya Beberapa Pelajaran Tentang Islam. Dalam artikel sebelum ini, Islam Agama Revolusi saya ada menukilkan kata-kata Sayyid Qutb ini,

"Jadilah seorang Islam. Ini telah cukup untuk mendorong mu berjuang menentang penjajahan dengan berani, mati-matian, penuh pengorbanan dan kepahlawanan. Kalau anda tidak dapat melakukannya, cubalah periksa hati mu. Barangkali hati itu telah tertipu tentang hakikat iman mu. Kalau tidak begitu, alangkah sabar nya anda, kerana tidak berjuang menentang penjajahan.
"Jadilah seorang Islam. Ini saja telah cukup untuk mendorong anda berjuang melawan segala bentuk ketidakadilan sosial, suatu perjuangan yang dilakukan dengan terus-terang, penuh semangat, penuh dorongan. Kalau anda tidak melakukan hal ini cubalah periksa hati mu. Mungkin hati itu telah tertipu tentang hakikat iman mu. Kalau tidak begitu, kenapa anda menjadi demikian teganya untuk tidak berjuang melawan. pencabulan hak?
"Jadilah seorang Islam. Ini saja telah cukup untuk mendorong maju ke depan berjuang melawan ketidakadilan, dengan tekad yang teguh tanpa mempedulikan kekuatan-kekuatan lawan yang hanya berupa kekuatan lalat, tetapi oleh orang-orang lemah dikira merupakan halangan besar. Kalau anda tidak melakukan hal ini, cubalah periksa hati mu, mungkin ia telah tertipu tentang hakikat iman mu. Kalau tidak begitu, kenapa anda menjadi demikian sabar nya dan teganya untuk tidak berjuang menentang ketidakadilan?
"Semua prinsip yang terdapat di atas dunia ini, semua jalan pemikiran yang terdapat di atas dunia ini, akan mengambil jalan yang berbeza-beza, masing-masingnya mencari bidangnya sendiri-sendiri, untuk merealisasikan keadilan, kebenaran dan kemerdekaan. Tetapi Islam berjuang di segala bidang itu. Ia mencakup seluruh gerakan pembebasan. Ia menggerakkan seluruh pejuang.

Maka dari kata-kata ini saya simpulkan bahawa Islam itu sudah cukup untuk memberi gelaran kepada kita sebagai pejuang keadilan, pejuang negara, pejuang golongan marhaen dan sebagainya. Dan tidak perlu lagi untuk menempelkan gelaran sosialis, nasionalis dan sebagainya ke atas nama kita.

Kita menjadikan ideologi kita sebagai vokal dalam kehidupan kita. Seolah-olah hilang ideologi maka hilang identiti.

Seolah-olah ideologi logika manusia itu mampu memandu kita ke pintu syurga. Maka dari tindakan dan interpretasi ini, lahirlah golongan yang begitu fanatik memperjuangkan ideologi karut marut ini secara membuta tuli dan secara tidak langsung, skop dan ruang lingkup perjuangan yang sepatutnya begitu luas menjadi sempit akibat doktrin ideologi pegangan masing-masing.

Kesannya yang terbesar dan paling berbahaya ialah berkenaan kekacauan akidah buat mereka yang begitu mengagung-agungkan ideologi karut marut ini.

Ya, masalah akidah menjadi persoalan utama saya pada artikel kali ini. Merujuk kepada kata-kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dalam kitabnya Ayyuha Syabab,

“Sudut yang paling berbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapai nya segala matlamat yang dituju. Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.”

Kita mengkaji dan mendalami sesuatu ideologi itu bukan bertujuan untuk mengimani dan memperhambakan diri kita kepadanya kerana hal ini amat berbahaya lantaran itu tepat lah saranan Imam Hassan aL-Banna seperti di atas agar kita semua sebagai umat Islam sepatutnya ada berhati-hati terhadap perkara ini dan berusaha membebaskan diri kita daripada dibelenggu mana-mana ideologi yang menyesatkan ini.

Kesanggupan kita menjadikan ideologi sebegini menjadi vokal kepada setiap tingkah laku amat membimbangkan kerana secara tidak langsung ia akan membawa kita jauh menyongsang daripada ajaran Islam yang tulen. Kita akan mula mempersoalkan sesuatu yang tidak perlu dipersoalkan lagi seperti hak mualamat dalam kehidupan, hak asasi manusia, keadilan sesama makhluk, pengurusan ekonomi, semangat kebangsaan dan sebagainya.

Kerana dalam Islam semua perkara “remeh temeh” itu sudah termaktub secara jelas apakah boleh dan tidak boleh sesuatu dalam semua aspek.

Akhirnya, akidah kita yang mengaku beriman kepada tuhan yang Esa ini terancam dan berbolak balik. Kini, musuh-musuh Islam iaitu Yahudi dan Nasrani betul-betul mengambil peluang ini untuk menghancurkan akidah umat ISLAM tanpa kita sedari. Mereka menentang dari dalam dan luar dengan menumpukan aspek akidah yang memberi kesan yang amat berbahaya.

Ia melibatkan fahaman dan ideologi moden yang wujud sejak zaman penjajahan lagi. Ideologi moden yang karut marut ini dibawa oleh golongan sekular telah menampakkan pencambahan nya dan makin menular dalam masyarakat ISLAM.

Sungguh, jika perkara ini tidak disedari oleh kita sendiri ,bimbang-bimbang kita termasuk dalam golongan sebegitu.

Kita lihat sekarang, kebanyakan mereka yang membawakan sesuatu ideologi yang karut marut ini mula menyadur kan nama pergerakan atau pertubuhan mereka dengan nama Islam itu sendiri. Contoh yang jelas ialah PERKASA dan Sisters In Islam.

Mereka membawakan satu fenomena baru dalam pembawaan ideologi masing-masing atas nama Islam. Segala serba ucapan mereka seolah-olah menggambarkan mereka adalah pertubuhan Islam yang membawa fikrah dan manhaj Rasulullah SAW.

Namun bila mana diselidik dan diamati kita dapat melihat mereka sekadar menjadikan Islam itu sebagai alat untuk menghalalkan segala tindakan mereka. Dalam pada masa yang sama, mereka menyeru kepada sesuatu yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Maka dari sini kita amat menghargai saranan Imam Hassan aL-Banna di atas yang menyuruh kita supaya mengkaji setiap ideologi dan sentimen yang wujud pada akhir zaman ini. Hanya dengan kajian yang benar-benar jitu dengan kefahaman yang mantap barulah akan melahirkan satu kesimpulan yang jelas terhadap satu-satu ideologi tersebut.

Hal ini kerana kebanyakan ideologi ini lahir adalah akibat bersepahnya lembaran falsafah yang berlandaskan logik akal manusia semata. Pengaruh ajaran falsafah ini jelas terbina selepas berlakunya zaman Gelap di Eropah kemudian munculnya era Renaissance di mana para ilmuwan Islam mula mengambil sebanyak-banyaknya lembaran dan tulisan falsafah karya Rom dan Yunani kemudian di terjemah ke dalam bahasa Arab tanpa tapisan yang jelas.

Situasi ini telah menyebabkan ajaran Islam yang tulen mula bercampur baur dengan ajaran falsafah yang berlandaskan logik akal manusia itu. Lembaran falsafah dari Aristotle, Plato dan sebagainya menjadi sumber rujukan para ilmuwan ISLAM sehinggakan lahirnya ramai ilmuwan yang menjadikan falsafah ini sebagai usul dan dalil naqli sebagai furu’ iaitu cabang. Dr. Yusuf aL-Qardhawi dalam kitabnya aL-Marjai’yyah aL-Ulya fil Islam lil Quran wa Sunnah berkata,

“Para ahli falsafah aL-Mashaai’yyin antaranya (al-Kindi, aL-Farabi dan Ibn Sina) adalah tumpuan pemerhatian mereka yang terbesar ialah menyelaraskan di antara ajaran falsafah yang mereka kagumi dan agama yang mereka warisi. Akan tetapi mereka menjadikan falsafah sebagai usul dan agama pula sebagai furu’. Dan mereka menganggap pendapat Aristotle itulah yang mereka membuat keputusan dengannya dan membuat sandaran kepadanya, dan firman ALLAH SWT dan sabda Rasul-Nya yang mulia adalah sebagai pengikut kepada pendapat Aristotle itu, sekiranya keduanya selari dengan pendapat Aristotle maka adalah amat baik, ada pun sekiranya tidak maka wajiblah ditakwilkan makna keduanya samada takwil itu adalah hampir ataupun jauh dari makna sebenar.”

Resapan ajaran falsafah ini dan kita pula membenarkan falsafah ini menjadi VOKAL dalam setiap tingkah laku dan percakapan kita akan menyebabkan hilangnya ketulenan ajaran Islam itu sendiri. Kita amat beruntung kerana lahirnya segolongan ulama yang sanggup mati mempertahankan kesucian ajaran agama ISLAM daripada diresapi dengan aliran falsafah yang karut marut ini.

Sehingga kini ajaran falsafah inilah yang menjadi sandaran kepada para musyrikin untuk mencipta ideologi karut marut dan cuba menyelaraskan dengan ajaran Islam yang serba suci ini. Kemudian para penganut Islam yang mengaku tuhan itu Esa kemudiannya sanggup menjadi hamba kepada ideologi sesat itu.

Berkenaan masalah ini, Syeikhul Azhar Syeikh Abdul Halim Mahmud Rahimahullah dalam kitabnya, aT-Tauhid al-Khalis aw al-Islam wa aL-Aql berkata,
“Tatkala keadaan sekitaran adalah penuh makmur dengan agama ketuhanan, yang memenuhi hatinya dengan iman dan memenuhi perasaannya dengan hidayah, para pemuja falsafah tersebut telah berusaha melalui pendekatan iblis untuk menyelaraskan di antara agama dan falsafah. Sesungguhnya penyelarasan di antara hawa nafsu mereka, andaian-andaian mereka, keraguan-keraguan mereka dan khayalan-khayalan mereka dengan wahyu dan yang maksum, dengan yakin dan hidayah. Hanya sanya ia adalah amalan yang tidak akan berjalan di dalam perjalanannya melainkan pengikut-pengikut iblis sahaja.”
Jelasnya di sini ialah percubaan menyelaraskan ajaran Islam dengan ideologi karut marut ini adalah jalan syaitan bukannya datang daripada petunjuk wahyu. Kesedaran segelintir umat Islam akan perkara ini telah melahirkan kumpulan Ikhwanul Muslimin yang bangkit di tengah kesesatan umat dengan pelbagai ajaran dan ideologi dan menyeru kepada mereka agar kembali kepada Islam yang tulen.

Kita amat bersyukur kerana ALLAH masih lagi menyelamatkan kita daripada termasuk dalam golongan sebegini yang cuba menghalalkan kepercayaan mereka atas nama Islam.

Oleh itu, sebagai orang Islam sebagaimana ditegaskan oleh ALLAH dalam aL-Quran,

“Maka sesiapa yang tidak percayakan taghut dan beriman kepada ALLAH maka sesungguhnya dia berpegang pada simpulan (tali agama) yang teguh dan tidak akan terungkai.”
Surah aL-Baqarah: 256

Berpeganglah kita kepada ajaran ISLAM yang sebenar dengan sekuat-kuatnya. Peringatan ini adalah khusus buat diri yang menulis ini dan juga kepada semua sahabat-sahabat yang dikasihi. Janganlah kita sesekali membenarkan ideologi yang menjadi rujuk pakai pada zaman sekarang sebagai vokal kepada setiap perbuatan kita.

Mengkaji dan terus mengkaji adalah satu tindakan yang amat perlu pada masa sekarang supaya kita tidak mudah terpedaya dengan pembawaan dan hasutan sesuatu perkara yang sesat. Iman yang sebenar mesti menolak semua ajaran, fahaman dan ideologi yang melampaui batas-batas ajaran ALLAH.

Kita berdoa dan berharap agar ALLAH memelihara umat Islam daripada fitnah di dunia, alam kubur dan Akhirat kelak.

Saya menyampaikan ini kerana saya menyahut seruan Baginda Rasulullah,

“Sampaikan lah daripada daku walau satu ayat.”

Moga-moga coretan picisan ini mampu membuka minda kita untuk kita sama-sama memikirkan sesuatu yang lebih besar daripada sibuk berfikir tentang diri sendiri yang tidak membawa kepada kemajuan umat.

Rujukan:

  1. Ancaman Bahaya Sekularisme karya Ustaz Zulkifli Haji Ismail, Ketua Dewan Ulama PAS Melaka
  2. Fahaman dan Ideologi Umat Islam karya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
  3. Beberapa Pelajaran Tentang Islam karya As-Syahid Syed Qutb
  4. Blog Tinta Duat, Ustaz Mohd Idris Mohd Yusoff