Monday, June 14, 2010

Anak Muda dan Gerakan Pencerahan

Sebelum saya mencoret dengan lebih jauh lagi, baik kita mendalami sedikit sebanyak apakah yang dimaksudkan dengan frasa “anak muda” itu.

Dari Kamus Websters, Priceton menyatakan bahawa,
“The time of life between childhood and maturity, early maturity, the state of being young or immature or inexperienced, the freshness and vitality characteristic of a young person.”
Definisi secara interpretasi sebenar, anak muda atau pemuda merujuk kepada satu golongan yang mempunyai jiwa penuh dengan pemberontakan, mahu melihat sesuatu secara jelas, mempunyai karakter yang dinamik, optimis dan gaya pemikiran yang berkembang pesat.

Mereka tidak mudah tunduk pada tekanan fizikal yang jelas dan terang kerana jiwa mereka memang terbina atas dasar itu. Namun saya menghukum ini hanya pada sebahagian daripada mereka. Kita saksikan betapa dunia sekarang melahirkan ramai anak muda yang bervariasi cita rasa mereka.

Saya sifatkan mereka di sini sebagai golongan putih dan hitam supaya kita mudah membezakan mereka. Anak muda yang berimej kan putih pada pandangan kita mereka yang kurang terpengaruh dengan segala gejala dan penyakit sosial umat manusia zaman sekarang dan mampu menyediakan diri sendiri dengan sempurna untuk menjadi pemikul amanah kepimpinan masyarakat akan datang.

Dan satu golongan lagi ,iaitu golongan hitam merujuk kepada anak muda yang kelihatan terleka di hanyut dan dibuai dengan keseronokan usia muda mereka dengan perlakuan dan tindakan tidak sihat serta bercanggah dengan norma masyarakat. Ini hanyalah sekadar andaian dan bandingan saya sebagai salah seorang anak muda yang sama-sama merangkak untuk membina jiwa dan perasaan.

Kegagalan mereka yang melahirkan anak-anak muda ini mungkin menjadi satu faktor terpenting kenapa situasi ini berlaku. Maka bertuah lah mereka yang mempunyai anak muda yang mantap jati diri mereka bagi mengharungi badai dalam mengubah masyarakat.

Namun golongan sebegini hanyalah segelintir sahaja wujud. Mereka membangun di tengah-tengah gelojak nafsu muda dan kocakan ilmu yang mereka ada. Pemerhatian dan berfikir menjadikan mereka matang dan jauh meninggalkan rakan-rakan mereka dalam pelbagai aspek terutamanya jati diri, erti hidup, hak dan harga diri.

Mereka ditakdirkan lahir untuk merencanakan sebuah gerakan pencerahan dalam masyarakat mereka. Lahirnya mereka bukan bertujuan peribadi. Mereka merupakan segolongan yang sanggup mengambil risiko dalam menempa sebuah revolusi.

Mencongak masa depan dengan beberapa siri tindakan yang berisiko namun semangat mereka tidak pernah menampakkan mereka menyerah kalah kepada kemungkinan risiko. Tiada frasa “kenapa perlu buat ini” dalam pergerakan anak muda sebegini.

Mereka rancang dan mereka laksana. Mereka membuktikan sebuah masyarakat yang tidak mati jiwa dan hati lalu bangkit menentang segala penyelewengan. Mereka sedar tanggungjawab sebenar mereka terhadap keluarga dan masyarakat sentiasa menanti ke atas pundak bahu mereka. Begitulah hakikat mereka yang berwatakkan putih ini.

Epik dunia menceritakan perkara yang sama. Bermula dari zaman Rasulullah SAW kita menyaksikan kebangkitan anak-anak muda melakar setiap detik baginda menyampaikan risalah kenabian. Bermula dengan Ali bin Abi Talib yang berusia 8 tahun begitu juga Zubair Al-Awwan yang berusia 8 tahun sudah mengenal erti perjuangan pencerahan jiwa masyarakat.

Diikuti dengan Al-Arkam bin Abi Arkam yang berusia 12 tahun, Abdullah bin Mas’ud berusia 14 tahun, Ja’far bin Abi Thalib berusia 18 tahun, Zaid bin Haritsah berusia 20 tahun, Mus’aib bin Umair berusia 24 tahun, Umar bin Al-Khattab berusia 26 tahun dan ramai lagi anak muda yang tidak pernah mengenal erti takut mati dalam sejarah dakwah baginda.

Mereka bangun berdiri membela baginda dengan nyawa mereka hanya satu alasan iaitu mereka sedar amanah mereka.

Zaman terus bergerak dan sejarah terus menukilkan betapa ramai anak muda yang menjadi watak utama dalam mengetuai segala gerakan pencerahan dalam masyarakat. Salahuddin Al-Ayubi dan Sultan Muhammad Al-Fateh,2 watak agung dalam lipatan sejarah gerakan pencerahan.

Mereka lambang kepada anak muda berperwatakan putih. Mereka memaksimumkan segala kelebihan mereka untuk memajukan masyarakat dan membawa masyarakat mengenal pencipta yang sebenar. Mereka berjuang dan menakluki dunia dengan pengaruh dan kekuatan mereka.

Kita soroti lagi tokoh anak muda kontemporari seperti Hassan Al-Banna, Sayyid Qutb, Abdullah Azzam, Sa’id Hawwa, Ibrahim Libya dan ramai lagi mereka yang berperwatakan putih bangkit bangun menjana gerakan pencerahan masyarakat.

Anak muda ini membuktikan undang-undang buatan manusia tidak mampu menyekat jiwa mereka yang merdeka. Mereka amat benci kan kebobrokan yang berlaku lantas mengambil inisiatif keluar mencari penyelesaiannya. Namun penyelesaiannya hanyalah melalui tindakan dan aksi bukan sekadar kata-kata atau fikiran maya yang lemah rohnya. Sejarah membuktikan anak muda dan gerakan pencerahan tidak pernah bercerai kerana lahirnya anak muda untuk itu.

Oleh itu fikir-fikirkanlah wahai pembaca sekalian, hidup kita ini bukan sekadar mencari kepuasan sementara kerana kita tidak pernah dilahirkan untuk memikirkan perkara-perkara yang remeh temeh. Meskipun kita bukanlah pemikir, namun beraksi lah umpama seorang pemikir masyarakat dan agama.

Jika kita bukan seorang ketua sekalipun, tegak lah bahu mu dan bentangkan dada mu untuk amanah itu bila-bila masa ia jatuh kepada mu. Silap percaturan jiwa akan menyebabkan amanah terburai dan dosa bersepah. Kendatipun kita gagal menyaingi kehendak dunia namun kita tidak pernah gagal memenangi kasih dan rahmat tuhan yang Esa.

Gerakan pencerahan ini umpama legasi terpenting buat setiap anak muda untuk meneruskan dan memupuk jiwa kepemudaan mereka. Dari sinilah mereka membentuk jiwa-jiwa yang tegar melanggar kebodohan pemimpin yang zalim. Legasi ini menjadi azimat keramat untuk mereka melaungkan patah-patah reformasi jiwa dan negara. Mereka menjadi agen perubahan masyarakat dalam segenap hal.

Kita bertanya kenapa perlu “anak muda”?

Sudah pupus kah mereka yang berusia?

Menurut Fathi Yakan dalam bukunya Generasi Pemuda dan Perubahan,
“Pada hakikatnya usia muda seorang pemuda ialah usia yang penuh dengan cita-cita yang tinggi dan darah yang gemuruh serta idealisme yang luas iaitu usia yang memberi pengorbanan dan menebus semula. Usia yang menabur jasa, memberi kesan dan emosional. Dari sini usia muda pemuda dalam perkiraan Islam mempunyai tanggungjawab dan nilai yang khusus dan kerana itu Rasulullah saw menekankan supaya pemuda-pemuda merasai demikian melalui sabdanya, “Ambil lah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara:- Usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa, masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.” Dari sini penekanan adalah untuk mendapatkan faedah dari usia muda dan dari para pemuda dalam menunaikan tugas berat dan melintasi halangan-halangan serta menyahut cabaran yang diperlukan dan dituntut oleh perubahan tamadun.”
Maka dari sini kita melihat betapa seorang anak muda itu perlunya kepada sebuah persiapan yang rapi. Bimbang kita hanyut ditelan kehendak nafsu maka persiapan ini haruslah berlandaskan apa yang diturunkan ALLAH kepada Rasulullah.

Persiapan itu merupakan persiapan yang mempunyai matlamat yang cukup besar. Fathi Yakan menulis lagi,
“Sebenarnya, matlamat utama persiapan pemuda-pemuda Islam hari ini ialah untuk melaksanakan matlamat tercapai nya ‘Qawamah’ (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia. Ini memerlukan tugas para pemuda Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahiliah ke tangan Islam dan juga pemikiran, perundangan dan akhlak jahiliah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam”
Inilah perubahan ISLAM yang didambakan oleh setiap anak muda. Inilah pencerahan sebenar yang menjadi nadi anak-anak muda. Secara ringkas perubahan ini terungkap dalam kata-kata Rubi’e bin Amir, ketua angkatan bersenjata Parsi apabila ditanya tentang kemaraan tentera ISLAM,
“ALLAH mendatangkan kami bagi mengeluarkan hamba-hamba (manusia-manusia) dari menjadi hamba kepada hamba (manusia) supaya menjadi hamba kepada ALLAH yang Maha Esa lagi Maha Perkasa. Dari kesempitan dunia kepada dunia yang lebih luas. Dari kezaliman beragama kepada keadilan Islam. Maka kami diutus dengan agama ALLAH kepada makhluk-Nya untuk menyeru mereka kepada ALLAH. Maka barang siapa yang menerima, kami menerima mereka dan tinggalkan mereka di tanah air mereka dan sesiapa yang enggan kami perangi sehinggalah kamu menyahut seruan ALLAH yang dijanjikan.”
Begitulah ungkapan pentingnya peranan anak muda dalam sesebuah gerakan pencerahan dalam masyarakat. Perpisahan mereka tiada, namun wujud terus membina kelangsungan perjuangan.

Kita kenang kembali manifesto Gedongkiwa 1001,
“Kami adalah sekumpulan anak muda yang amat benci kan kekalahan, apalagi dengan orang-orang yang lebih tua!”
Kita bertanya pada diri kita, di manakah posisi dan kedudukan kita sebagai anak muda?

Kerana masa muda itu hanyalah sekali…

-------
Artikel ini ditulis sebagai dedikasi khas buat mahasiswa yang akan menghadapi perbicaraan di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas tuduhan kes Rosmah Puaka pada 15 & 16 Jun 2010 dan Injuksi kes UKM4 di Mahkamah Jalan Duta pada 17 Jun 2010 ini.