Tuesday, June 22, 2010

30 Strategi Membina Pengaruh

Komentar bagi ruangan buku kali ini ialah mengenai sebuah buku motivasi yang ditulis oleh Zamri Muhammad dan Haeqal Zulqarnain terbitan PTS Millennia. Buku yang berjudul 30 Strategi Membina Pengaruh mempunyai bilangan muka surat mencecah setebal 181 helaian.

Saya membeli buku ini ketika promosi yang dilakukan oleh PTS dengan diskaun harga sebanya 35% dari harga asal iaitu RM13.90. Murah sahaja, jika dibandingkan dengan ilmu yang terdapat di dalamnya.

Inilah buku yang mengubah persepsi saya terhadap perlunya saya mencairkan diri saya dengan semua orang tak lain tak bukan demi kelansungan dakwah.

Buku ini mengajar saya kenapa kita perlu membina pengaruh kecil-kecilan dengan kawan-kawan sekuliah dan sesiapa sahaja meskipun mereka yang kita bertemu di tepi-tepi jalan.

Antara kaedah membina pengaruh yang paling mudah dengan semua orng ialah melemparkan senyuman dengan sesiapa sahaja yang kita jumpa. Malah ketika menyambut kegembiraan atas kejayaan orang lain pun, buku ini mengajar bagaimana saya menyalurkan ucapan tahniah itu yang mampu mempengaruhi orang tersebut.

Mengorganisasikan sebuah aktiviti santai dengan rakan-rakan juga merupakan antara petua yang di ajar oleh penulis untuk membina pengaruh dalam kalangan kawan-kawan saya.

Antaranya, alhamdulillah petua ini berjaya saya praktikkan dengan mengorganisasikan satu perkelahan umpama rehlah bersama rakan-rakan fakulti saya di Air Terjun Sungai Gabai dan hasilnya sungguh mengagumkan.

Ternyata saya mampu mengenali hampir kesemua rakan-rakan sefakulti biarpun berlainan jabatan. Saya amat-amat bersyukur kerana apabila mereka ditawarkan untuk menjadi urusetia bagi program Freshman Camp untuk pelajar 1st year ambilan Julai ini di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM, mereka semuanya bersetuju dan mampu memberi komitmen yang cukup terpuji dalam proses gerak kerja kami.

Sungguh, saya cuba praktikkan setiap petua yang diberi dan ternyata walaupun petua itu ringkas namun cukup bererti bagi saya untuk membina pengaruh dalam kalangan rakan-rakan saya.

Kepada semua pembaca, buku ini sangat direkomenkan oleh saya sendiri sebagai sebuah bacaan santai yang ringan dan bermanfaat. Segala tips dan pnduannya boleh diikuti tanpa sebarang masalah dan ternyata kebanyakkannya begitu berkesan.

Saya menawarkan 3/5 bintang bagi buku ini.