Thursday, May 27, 2010

Sila Berambus Dari Bumi Ini!

2 minggu lepas heboh berita pasal penangkapan 4 orang mahasiswa UKM yang dikatakan turun berkempen di Hulu Selangor bagi pihak Pakatan Rakyat semasa PRK Hulu Selangor yang lepas. Mereka yang ditangkap itu aku cukup kenal kerana beberapa kali berjumpa dengan mereka sebelum ini berbual dan berbincang terutama berkenaan polemik yang berlaku ketika Pilihanraya Kampus UKM pada bulan Januari yang lepas.

Berbagai reaksi yang dapat kita semua saksikan berkenaan berita penangkapan itu daripada semua lapisan masyarakat sama ada pelajar, pensyarah malah pimpinan negara. Ada yang mengecam tindakan menangkap pelajar terbabit kerana mereka tidak semestinya datang le HS untuk berkempen kerana bukti poster berada di tangan mereka tidak kuat untuk menuduh mereka bertindak sedemikian.

Ada juga yang bersetuju dengan penangkapan itu dengan alasan mereka terlibat dengan politik luar. Mereka dikenakan AUKU, satu istilah yang cukup sebati dengan aktivis mahasiswa sejak dulu lagi.

Bagi ku sesiapa pun bebas mengeluarkan pendapat dan kecaman masing-masing selagi tidak menyalahi prinsip dan terma asasi kerana bagi aku, terma dan nilai demokrasi di sini biarlah hidup subur bagi mencerminkan wawasan negara kita yang berdemokrasi.

Namun demokrasi ada batasnya. Kebebasan bersuara tidak memberi hak kepada kita untuk berlaku kurang ajar. Kurang ajar pada sesuatu hak yang telah ditetapkan sejak AZALI lagi.

Hal yang aku ingin bangkitkan di sini bukanlah mengenai penangkapan mahasiswa ini sebetulnya cuma ingin mengulas mengenai beberapa komen yang aku kira amat menarik untuk dibincangkan di sini iaitu komen mereka yang begitu bersetuju dengan penangkapan mahasiswa ini. Seperti aku katakan tadi, demokrasi ada hak dan nilai yang perlu dijaga. Ya, bagi ku sesiapa pun bebas untuk memberi pendapat mereka namun biarlah berlandas dan matang.

Jangan membiarkan pendapat kita itu menunjukkan diri kita yang begitu naif dalam menilai sesuatu. Satu komen yang aku kira amat menyakitkan hati ialah bilamana mereka ini mencadangkan agar mereka ayang ditangkap ini dibuang universiti seolah-olah mereka langsung tak layak untuk menduduki serta belajar di universiti kerajaan lantaran kegagalan mereka mematuhi AUKU itu.

Kalau rasa tak nak ikut sangat AUKU, sila keluar daripada universiti kerajaan. Oh begitu mudah sifir kehidupan mereka. Jika tak suka atau bersetuju, keluar sekarang.

Jika macam itu, kalau kita gagal mengikut serta patuh pada setiap arahan ALLAH, maka sila keluar dan BERAMBUS dari bumi ini kerana bumi ini milik ALLAH dan WAJIB patuh pada syariatnya. Atau macam mana?

Mudah bukan. Maka sedikit hari lagi sudah tentu tidak ada langsung mereka yang ingkar di dunia ini kan?

Dan pastinya orang kafir langsung tak wujud di bumi ini kalau semua orang berfikiran pendek seperti itu.

Apakah akta itu dicipta untuk menghukum manusia atau mendidik manusia?

Kenyataan sebegitu umpama meletakkan akta sebagai indicator terpenting dalam menilai samada layak atau tidak layak seseorang itu duduk dan belajar di universiti.

Pendapat aku semua akta yang dicipta dan direka oleh manusia mempunyai had tersendiri dan tidak sewenang-wenangnya mampu menghukum manusia sebegitu. Ia bertujuan memberi panduan kepada manusia dalam situasi yang cukup TERHAD bukan meletakkan akta itu sebagai jaminan bahawa ianya mencakupi seluruh hak asasi seseorang.

Komen bahawa sesiapa yang GAGAL mengikuti AUKU sila keluar dari universiti adalah komen yang begitu DANGKAL dan SEMPIT pemikiran kerana beranggapan bahawa AUKU adalah segala-galanya dan bila tidak bersetuju maka itulah penyelesaiannya.

Adakah mereka ini bersetuju dengan semua akta yang wujud di Malaysia ini?

Normal kah mereka itu kalau berfikiran sebegitu rupa?

Komen sebegitu telah menafikan hak keampunan dan kasih sayang manusia sesama manusia secara TOTAL. Malah seakan menafikan sifat PENGAMPUN yang ada pada ALLAH. Mengapa saya kaitkan ini semua?

Tidak lain adalah kerana memikirkan apakah di dunia ini kita hidup aman damai dan sejahtera kerana bergantung pada akta ciptaan manusia. Sudah tentu tidak.

Kalau sebegini rupa mudahnya sifir kehidupan kita, maka mereka yang memberi lesen JUDI di negara kita untuk Piala Dunia 2010 WAJIB mencari bumi yang lain kerana gagal dan ingkar pada AKTA yang telah ditetapkan oleh ALLAH.

Bukan begitu?

Dan sesiapa yang memberi komen sebegitu harus sedar bahawa mereka WAJIB BERAMBUS dari bumi ini jika gagal menunaikan hak yang ALLAH tetapkan walaupun sekali mereka melakukan kesalahan itu. Kerana mereka tak layak.

Mereka yang memberi komen sebegini aku rasa sama sekali tidak berani untuk mengatakan bahawa mereka yang ingkar pada perintah ALLAH seperti contoh yang aku buat di atas supaya BERAMBUS dari bumi ini.

Walaupun mereka sendiri sedar dan mengakui terma JIKA TAK BERSETUJU ATAU INGKAR SILA KELUAR. Maka di sini syurga neraka sudah tidak diperlukan lagi kerana mereka sudah dihukum. Dangkal sekali pemikiran mereka ini.

AUKU dicipta adalah untuk mengawal mahasiswa. Ini terbukti. Aku sendiri langsung tak bersetuju dengan AUKU bukan pada semua bahagian cuma pada sesetengah part sahaja kerana terang-terang ia melanggar hak asasi mahasiswa. Menyekat kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan bertindak.

Sedangkan masyarakat melabelkan mahasiswa sebagai generasi yang menjadi harapan dan tonggak negara pada masa hadapan. Namun sebaliknya mereka dilayan.

Persoalannya adakah menjadi kesalahan besar jika mahasiswa dibenarkan untuk terlibat sama dalam politik semasa?

Adakah kerana ini mengancam keselamatan dan menggugat kedudukan parti pemerintah sehingga sanggup mengurung mahasiswa sebegini rupa?

Mereka iaitu merujuk kepada pihak kerajaan amat cepat dan tepat dalam mengambil tindakan terhadap mahasiswa yang berhimpun dan terlibat dengan politik luar. Polis-polis seakan menjadi rutin kepada mereka untuk menangkap mahasiswa yang berjiwa aktivis ini.

Namun bila polis terlibat dalam kes keselamatan orang awam seperti kes tembak Adik Aminurrashid, pihak polis dan kerajaan terutamanya begitu LEMBAB dalam mengambil tindakan.

Mengapa sedemikian rupa boleh terjadi?

Adakah keterlibatan mahasiswa dalam politik luar begitu membahayakan keselamatan negara berbanding kes tembak melulu anggota polis terhadap orang AWAM?

Semua sahabat-sahabat mempunyai jawapan tersendiri bagi persoalan di atas.

Jelasnya di sini ialah AKTA ciptaan manusia bukanlah jawapan kepada semua masalah yang berlaku. Akta dicipta untuk memenangkan satu pihak dan menjatuhkan pihak yang lain. Kewujudan akta ini begitu seiring dengan imej dan pembawaan sesebuah kerajaan itu. Jika zalim kerajaan itu, maka banyaklah akta yang dicipta dan direka itu turut ZALIM umpama penciptanya.

Oleh itu, seruku pada mereka yang menyokong atau membantah akta-akta ciptaan ini silalah menggunakan akal yang dipandu oleh wahyu. Kegagalan menurut apa yang diperintahkan oleh wahyu akan menyebabkan KOMEN sebegitu muncul di mulut mereka yang mengaku kenal akan ALLAH yang memiliki alam ini.

Aku begitu tertarik dengan sarana agar mahasiswa diberi kebebasan untuk terlibat dengan politik luar kerana mereka pasti akan terjun dalam masyarakat nanti. Alasan bimbang mahasiswa akan terpengaruh dengan doktrin politik luar sepatutnya tidak timbul kerana kita sendiri melabelkan mereka sebagai golongan cerdik pandai.

Biarlah “cerdik pandai” mereka yang menjadi hakim di sini.

Persoalan mengenai terpengaruh dengan doktrin yang tak sepatutnya adalah soal kedua malah itu tak sepatutnya dipersoalkan kerana menjadi resmi kepada mahasiswa sebagai Agent of Change dalam masyarakat.

Kenapa mereka terpengaruh dengan doktrin politik tersebut juga perlu diambil kira dengan faktor-faktor kelemahan mereka yang memerintah sekarang. Jika pemerintahan sekarang sudah cukup sempurna, maka apakah bodohnya seorang mahasiswa sanggup menentang mereka yang memerintah tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat lain.

Maka dari sudut ini, pihak yang memerintah sendiri perlu sedar dan bermuhasabah kenapa mahasiswa bangkit menentang mereka.

Bangkit menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Jika pemerintah negara sekarang jujur dengan tindak tanduk mereka, buat apa mereka takut pada suara mahasiswa. Biarlah mahasiswa bersuara dan bergerak sejajar dengan title yang ada pada mereka.

Jangan jadikan AUKU sebagai perisai supaya mahasiswa semuanya lahir menjadi “yes man” atau macai yang berjaya. Jika AUKU sudah cukup baik, pasti sudah ramai yang bersetuju dengan akta ini. Malah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sendiri mengeluarkan kenyataan bersetuju dengan pindaan AUKU ketika menghadiri forum di UKM sebagai panelist pada tahun lepas semasa Minggu Mesra Pelajar sesi 2009/2010.

Terbukti bukan sekadar mereka yang bergelar mahasiswa yang aktif berdemonstrasi sahaja yang mahukan pindaan pada akta ini, malah menteri kabinet pun mempunyai denyut nadi yang sama terhadap akta ini. Kerana mahasiswa bukan BUDAK SEKOLAH.

Mereka yang ditangkap atas tuduhan terlibat dengan politik luar itu semuanya pelajar Jurusan Sains Politik. Biarlah mereka merasa jatuh bangun remuk rendam kacau bilau suasana politik Malaysia. Biarlah PRK menjadi medan latihan buat mereka untuk menilai secara dekat pihak manakah yang lebih “baik” perangainya dalam memperjuangkan nasib rakyat. Bukan begitu?

Justeru, tindakan menahan mahasiswa UKM ini ketika mereka berada di Hulu Selangor dengan tuduhan sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana seakan menafikan hak kebebasan bersuara dan bertindak yang sepatutnya dimiliki mahasiswa masa kini. Kita bukan lagi berada pada zaman FEUDAL yang memutlakan sesuatu pada seseorang dan memberi ketaatan tanpa rela dan membeli jiwa umpama hamba.

Biarlah pembangunan jiwa mahasiswa seiring dengan kehendak negara pada golongan ini pada masa akan datang.

Dan buat mereka yang memberi komen yang kurang ajar seperti di atas, eloklah bertaubat sekarang ataupun mereka ini harus sedar betapa mereka harus BERAMBUS dari BUMI ini jika gagal menurut perintah ALLAH mulai sekarang sepertimana mereka meminta agar mahasiswa yang dikenakan AUKU ini BERAMBUS dari universiti kerajaan kerana gagal patuh pada “perintah” AUKU.

Jom turunkan tandatangan ANDA beramai-ramai pada Petisyen Referendum Bantahan 4 Orang Mahasiswa UKM Dikenakan AUKU.

Rujukan:

  1. IPT Tidak Boleh Sekat Kebebasan Bersuara Siswa
  2. Don't Expel Students Demonstrating Against Campus Election, Universities Told
  3. Mahasiswa Bukan ‘Budak Sekolah’