Wednesday, May 26, 2010

Perlesenan Judi: Bagaimana Umat Islam Bersikap?

ALHAMDULILLAH, rasa syukur yang teramat sangat pada tuhan yang memiliki hati-hati manusia kerana telah membenarkan Diskusi Ilmiah ISIUKM yang bertajuk Judi: Halal atau Haram? sebentar tadi berlangsung dengan jayanya.

Meskipun pada permulaan sebelum saya sempat memasuki Bilik Kuliah FSSK505, beberapa orang pak guard menyerbu kami semua dan mengarahkan program diskusi itu dibatalkan serta-merta kerana tidak mendapat kelulusan pentadbiran.

Masya-Allah, nak luruh jantung ketika sorang pak guard tu soal macam-macam tentang program ni. Akhirnya, bagi meredakan keadaan saya jemput mereka join sekali dengan kami dalam perbincangan.

Ya, memang isu ini SENSITIF untuk dibangkitkan kerana ianya berkaitan dengan kepentingan kerajaan sekarang. Sebenarnya kami dah tahu apa point mereka nak halang diskusi ini. Saja buat alasan yang kami tak dapat kelulusan. Namun seperti yang saya nyatakan awal-awal tadi, sesungguhnya hati manusia itu milik ALLAH.

Tengah mereka sibuk-sibuk halang kami, tetiba datang big boss mereka untuk bagi kebenaran kepada kami untuk teruskan program tadi. Alhamdulillah, meskipun selepas itu dia menghalang beberapa orang sahabat yang terlewat untuk masuk sekali, tapi sekurang-kurangnya apa yang dah dirancang berjaya dilaksanakan.

Diskusi ilmiah ini adalah program ISIUKM sepanjang short semester di kampus ini memikirkan bahawa tugas dakwah itu tidak boleh beralasan dengan cuti semester, maka ISIUKM mengambil langkah utama untuk meneruskan beberapa agenda dakwah dan tarbiah agar terus subur di perbukitan ilmu ini meskipun mengalami banyak kesulitan terutamanya sal protokol dan pentadbiran.

Tak mengapa, syurga itu MANIS, maka mujahadah itu PAHIT untuk membeli syurga.

Dimoderator oleh sahabat saya, Ustaz Fadhlan, diskusi ini amat BERNAS dan MENARIK sekali kerana mendapat sambutan yang cukup baik dari semua front politik dan pergerakan mahasiswa UKM. Bayangkan dalam satu diskusi yang terbuka dan berkaitan isu semasa, tiga arus pemikiran mahasiswa mampu bertemu dalam satu perkongsian. MPP PMUKM sendiri hadir dengan 4 orang wakilnya.

Ustaz Fadhlan membuka bicara dengan memperkatakan tentang konsep dan prinsip kita sebagai orang ISLAM dalam kehidupan seharian. Menerangkan bahawa perkataan yang terbaik adalah perbincangan yang menjurus kepada pembinaan iman kita kepada aL-Khaliq. Menjelaskan siapakah manusia yang bijak dan manusia yang bodoh. Manusia yang bijak ialah seorang manusia yang memilih sesuatu yang besar nilainya dan tiada penamatnya.

Lebih suka memikirkan kehidupan AKHIRAT yang ada permulaan dan TIADA pengakhirannya berbanding memilih kehidupan DUNIA yang pendeknya umpama sejengkal sahaja dan manusia yang BODOH pula adalah manusia yang mengikut hawa nafsu mengejar keduniaan tapi berangan-rangan memiliki SYURGA.

Dalam dunia ini manusia hanya tergolong dalam 3 golongan SAHAJA. Bila berbicara pasal kaum, banyaknya tidak terkira. Begitu juga warna kulit, bahasa dan macam-macam lagi. Tapi hakikatnya di hadapan ALLAH kita cuma terbahagi kepada 3 golongan iaitu, MUKMIN, KAFIR, dan MUNAFIQ.

Persoalan besarnya ialah, kita berada dalam golongan mana?

Berbalik kepada persoalan JUDI tadi, kalau dia MUKMIN, maka bagi dia judi itu tetap HARAM, dan kalau dia KAFIR maka dia akan cakap judi itu HALAL, dan si MUNAFIQ akan cakap judi itu HALAM. OK ini satira.

ALLAH berfirman dalam al-Quran,

“Apabila orang-orang munafik datang kepada mu (wahai Muhammad), mereka berkata: “Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau – sebenar-benarnya Rasul Allah”. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta.” 
aL-Munafiqun: 1 
“(Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu”. (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): “Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)”, serta di adakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu)…” 
aL-Hadid: 13
“Dan di antara mereka (yang hadir di majlis mu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaran mu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisi mu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabat mu yang setia): “Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?” Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeterai kan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa …” 
Muhammad: 47

Inilah gambaran yang ALLAH bagi pada si Munafik. Mulutnya berkata itu HARAM, tapi hatinya tegar menyatakan hukumnya HALAL. Kena faham ini hanyalah kiasan sahaja.

Ustaz Fadhlan memberi tiga point utama dalam sesi diskusi ini iaitu:

  1. Hubung kait antara IMAN dan JUDI. Di mana bila kita berbicara soal JUDI, maka kita tak akan terlepas dari berbicara soal KEIMANAN kita kepada ALLAH. Kaitannya dengan lemah atau kuat iman seseorang. Kaitannya dengan akidah kita jika kita REDHA dengan maksiat judi ini. Kaitannya bila berbicara soal HUKUM yang telah di tetapkan oleh ALLAH sejak azali lagi. ALLAH telah memberi “nasihat” kepada kita iaitu jangan kau tanya apa yang SAYA buat, tapi kau akan ditanya apa yang kau buat. Jelas bukan antara kaitan JUDI dan IMAN.
  2. Rezeki, makan minum, keamanan, keselamatan sudah mendapat JAMINAN ALLAH. Tak perlu manusia mencabuli jaminan yang telah diberikan ini. Cuba kita perhatikan alasan Pak Menteri yang membenarkan lesen judi ini jadi HALAL, “Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram. Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui pelesenan sah.” Itu katanya tapi ALLAH cakap apa?
  3. Amar ma’aruf nahi mungkar. Ini adalah perkara mungkar maka di sini adalah tanggungjawab kita untuk menanganinya. Mahu tak mahu, itulah kewajipan kita. Kita buat setakat yang termampu dan masing-masing ada kelebihan yang ALLAH kurniakan. Maka manfaatkan sebaiknya dalam usaha kita menentang perkara mungkar ini. Jika menulis adalah kepakaran, maka hasilkan penulisan yang mendidik masyarakat agar menjauhi MUNGKAR ini. Rasulullah bersabda, Hadis riwayat Abu Said Al-Khudri ra.: “Barang siapa di antara kalian melihat kemungkaran (hal yang keji, buruk), maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisan nya. Kalau tidak sanggup, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman.” Siapa yang berani kata TIDAK pada amanah dan tanggungjawab ini?


Kemudian sesi diskusi dibuka oleh Ustaz Fadhlan berkenaan apakah sarana utama kami sebagai MAHASISWA dalam mendepani isu ini dan apakah resolusi yang mungkin boleh di kedepankan hasil perbincangan ini dan cara mengatasi masalah JUDI yang kian merebak dalam kalangan masyarakat.

Antara respons terbuka soal isu ini ialah:
  1. Apakah benar wujud Lembaga Totalisator Malaysia yang menguruskan kesemua sumber-sumber yang haram dan kemudiannya di salurkan kepada pembangunan sukan di Malaysia. Hal ini kena kewujudan lembaga ini tidak disedari oleh rakyat Malaysia dan ternyata semua mereka yang berada dalam diskusi tadi tak mengetahui kewujudan LTM ini. Malah di internet pun, struktur dan segala maklumat tentang LTM ini juga tidak dapat diakses dan dicari. Wujud persoalan adakah benar hal ini dan apakah tindakan kita ke arah memastikan kewujudan LTM ini benar-benar diketahui?
  2. Hasil judi dan arak juga di salurkan kepada sektor Pembangunan Luar Bandar. Apakah hal ini benar? Kami tak dapat mencari jawapannya. Kalau hal ini benar, maka amat malanglah nasib kita sebagai rakyat kerana memberikan kepercayaan kepada mereka yang KHIANAT pada AGAMA dan NEGARA.
  3. JUDI tetap haram sampai bila-bila sekalipun dan ianya menjadi mangkin kepada jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin makin besar jika JUDI berleluasa secara HALAL.
  4. Semua ini bergantung kepada diri sendiri. Selidik lah dan buatlah pemerhatian agar tak terjebak dengan apa-apa anasir JUDI dalam segala gerak hidup kita.
  5. JUDI adalah tindakan terdesak individu untuk mengumpul harta dalam masa yang singkat. Malah itu mungkin sebab kenapa “mereka” membenarkan JUDI.
  6. Bersetuju dengan respons di atas, menghalalkan lesen JUDI ini bermakna ia adalah hasil tindakan kerajaan yang begitu terdesak untuk menampung segala kos perbelanjaan negara dan termasuklah segala kepentingan mereka akibat daripada merudum nya ekonomi KAPITALIS di dunia masa kini.
Lihat saja bagaimana negara-negara Eropah saling berhutang antara satu sama lain dalam angka yang MUSTAHIL dapat dibayar lagi. Namun desakan kapitalis menyebabkan negara yang berhutang masih memberi pinjaman kepada negara yang berhutang juga dengan mereka sendiri. Hancur ekonomi Kapitalis akibat kerakusan manusia merebut harta dunia.

Malaysia pastinya terkena tempias ini lantaran Malaysia turut dijajah oleh ekonomi Kapitalis. Pemimpin yang bercakap soal ekonomi negara kita di tahap yang terbaik adalah pemimpin yang menganggap semua rakyat BODOH macam dia juga kerana tak tahu berfikir.

Dan antara perkara atau RESOLUSI yang mungkin akan diketengahkan oleh Mahasiswa UKM dalam menyelesaikan kemelut ini ialah:

  1. Menerapkan sistem Ekonomi Islam bagi menggantikan sistem Ekonomi Kapitalis yang sedang di imani oleh semua negara di dunia ini. Menerapkan sistem zakat, Mudarabah dan berbagai lagi tanpa sebarang prejudis lain secara sistematik.
  2. Mendesak NGO dan badan bertanggungjawab supaya mengambil bahagian secara AKTIF dalam menasihati kerajaan dalam setiap dasar yang diluluskan seperti JAKIM, JIM, GAMIS, ABIM dan sebagainya.
  3. Individu berpengaruh yang tiada kepentingan politik semasa di atas namanya sepatutnya bersuara menuntut kerajaan membuat revolusi terhadap sistem ekonomi negara seperti Mufti, Panel Syariah Bank-Bank Malaysia dan sebagainya.
  4. Menuntut agar GAJI di Malaysia dinaikkan. Dengan menggunakan analogi bahawa kenaikan gaji maka perjalanan dan aliran keluar masuk duit negara makin bercambah kerana kuasa pembelian makin bertambah. Dan mampu menyelesaikan masalah TERDESAK dalam kalangan masyarakat sehinggakan mereka mengambil JUDI sebagai alternatif. Contohnya, sebuah keluarga memerlukan RM 3200 sebulan untuk menjalani kehidupan tetapi pendapatan keluarga hanya mencecah RM500 sahaja. Maka kita sendiri boleh bayangkan betapa TERDESAK nya keadaan mereka ini.
Dari cadangan ini, maka timbul cadangan supaya kerajaan adakan kempen satu keluarga mesti mempunyai satu perniagaan. Tak kira samada perniagaan kecil atau besar, itu bergantung kepada keperluan mereka dan modal yang mereka ada.

Kerana dari sini, kesannya kita dapat lihat ialah galakan untuk melabur makin berkembang dan secara tak langsung kewangan mula membiak. Ini merupakan cadangan hasil dari pepatah mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Maka kerajaan perlu memikirkan bagaimanakah cara terbaik dalam membantu soal modal dan sebagainya.

Kerajaan sepatutnya mengembalikan semula peruntukan kepada pendidikan yang dipotong sejak tahun ini dan menggunakan sebaiknya peruntukan itu untuk membina dan mengasuh para remaja menjadi INSAN.

Memprogramkan satu bentuk pentarbiahan sejak kecil lagi dan menyemai nilai moral kepada generasi mendatang secara sistematik, adil, telus, amanah dan penuh rasa patriotik. Membentuk manusia menjadi INSAN dan itulah benteng mereka berdepan dengan dunia realiti.

Dan banyak lagi komentar lain yang saya tak sempat salin dan catatkan kerana cuba memberi tumpuan ketika orang lain membahaskan idea mereka. Apa pun segala yang tertinggal di sini harap di maafkan kerana kelemahan mencatat tadi.

Begitulah perbincangan tadi yang begitu SEGAR dan MANTAP dan akhirnya setelah 2 jam berdiskusi, Ustaz Fadhlan menutup diskusi tadi dengan beberapa kerat peringatan tentang tanggungjawab serta amanah kita terhadap agama kita dan terhadap masyarakat kita.