Tuesday, May 25, 2010

Pengajaran Dari Sebuah Komik

Sejak kecil lagi, saya telah didedahkan dengan berbagai jenis komik bacaan ringan seperti Doraemon , Dewata Raya, Utopia, Naruto dan sebagainya. Namun ternyata saya lebih berminat untuk “mendalami” komik-komik Kung Fu karya penulis China seperti Tony Wong melalui karyanya Jejak Wira. Seperti biasa, kepulangan saya kali ini ke kampung halaman dalam misi menghabiskan beberapa buah Jejak Wira yang dibeli oleh abang semasa ketiadaan saya di rumah.

Ternyata plot ceritanya meskipun panjang dan tak pasti bila penghabisannya namun ia tetap tidak membosankan. Menjadi semakin menarik dan sukar bilamana ia melibatkan pergolakan politik dunia yang terang-terang menyebelahi siapa yang kuat dia yang menang.

Setelah “menelaah” kesemua komik muktabar ini saya seakan terpanggil untuk mengulas karya Tony Wong iaitu Jejak Wira yang mana saya kira ianya amat dekat dengan apa yang berlaku kini di dunia realiti.


Bagaimana para penguasa negara sanggup membutakan hati dan mata demi kepentingan nafsu mereka dipenuhi meskipun terpaksa bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan hitam dan penjenayah dan sanggup menjadi bodoh pabila mereka menjadi penentang kepada kumpulan yang cuba menegakkan keadilan.

Dalam komik Jejak Wira, Sekolah Wusyu Naga dan Harimau yang terdiri daripada anak-anak muda yang berjiwa besar dan tulus ikhlas seperti Tiger Wong, Wong Siu Long, Dragon Long, Eagle Wong, Waja Batu dan Wei Tuo berjuang bermati-matian melawan para penjahat daripada kumpulan hitam terbesar di Jepun iaitu Kultus Raksasa, sebuah kumpulan yang mempunyai banyak jaringan gelap dengan semua ahli parlimen dan penguasa Jepun dan mempunyai ribuan pengikut yang menjalankan aktiviti utama mereka, perdagangan dadah antarabangsa dan sindiket pelacuran.

Aktiviti pengedaran dadah dan pelacuran dalam kalangan masyarakat sendiri menjadi sumber utama pendapatan mereka. Diketuai oleh Dewata Awam Berapi yang mempunyai kekuatan yang tidak terduga, maka setiap operasi yang dilancarkan oleh kumpulan anak-anak muda yang cintakan keadilan dan keamanan sentiasa mendapat kesulitan. Dewata Awam Berapi bukan sekadar mahu menghapuskan Sekolah Wusyu Naga dan Harimau malah dia mahu membunuh kesemua anak-anak muda itu.


Kultus Raksasa dibantu oleh politikus-politikus yang tamak dan cuba mengambil kekayaan dengan sekelip mata. Tanpa menghiraukan nasib anak bangsa, mereka dengan tanpa rasa malu sanggup membelakangi kehendak dan kemahuan rakyat Jepun supaya negara mereka aman dan bebas dari jenayah.

Kebangkitan anak-anak muda ini mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuklah Kuil Tosho yang amat dihormati oleh semua pihak termasuklah Kultus Raksasa, pihak polis yang cintakan keadilan seperti Inspektor Tani Jiro, sekolah-sekolah wusyu lain, masyarakat setempat dan beberapa jaguh terbilang seperti Hong Dong.

Semalam saya membaca jilid terakhir untuk minggu ini yang mengisahkan bagaimana Dewata Awam Berapi mula gelisah bilamana seorang pengikutnya membunuh seorang Ketua Penyiasat Jepun dan menyebabkan Kultus Raksasa berkemungkinan diharamkan


Dari situ banyaklah tekanan dari politikus yang jahat yang mengambil pelindungan daripada Kultus Raksasa bimbang akan kepentingan mereka terjejas dan kejahatan mereka akan terdedah. Bukan mereka sahaja, malah Tenno Jepun yang amat dihormati itu turut terlibat dalam perniagaan dadah dan pelacuran dengan Kultus Raksasa ini.

Kegagalan pihak berkuasa dalam mempertahankan INTEGRITI mereka menyebabkan mereka begitu mudah dibeli oleh duit untuk merosakkan masyarakat.

Merekalah sebenarnya yang menyebabkan negara hancur.

Mereka sanggup memperjudikan nasib negara dan bangsa demi kepentingan nafsu mereka. Para pemimpin negara sanggup meluluskan apa sahaja permintaan mereka asalkan kehendak mereka dipenuhi.

Dalam komik ini, hampir semua negara yang terlibat memperlihatkan betapa penguasa dan pemimpin negara mereka amat rendah akhlaknya. Mereka di catur dengan wang ringgit demi mendapatkan kuasa.


Di Thailand, Perdana Menteri Thailand sendiri mempunyai hubung kait yang rapat dengan kumpulan hitam di sana iaitu Kultus Angkasa dan di Korea Selatan, pemimpin mereka amat bergantung pada kumpulan hitam seperti Kumpulan Ginseng dan Kultus Teratai Putih.

Dan begitu juga halnya dengan Jepun dan China – nasib baik Tony Wong tak kaitkan Malaysia.

Sebenarnya apa yang cuba disampaikan oleh Tony Wong ini benar-benar terjadi di dunia realiti. Itulah politik dunia sekarang.

Saya mengakui bahawa karya Tony Wong ini adalah bertujuan memberi mesej kepada para pembaca bahawa istilah AMANAH dan JUJUR langsung tak wujud dalam dunia politik sekarang.

Mereka berkuasa kerana duit.

Mereka membeli sokongan dengan duit.

Mereka menjatuhkan seseorang juga menggunakan duit dan duit adalah tuhan mereka.

Mereka berlindung di sebalik kata-kata dan janji manis ketika pilihan raya.

Mereka cipta manifesto yang melambangkan keprihatinan mereka dengan masalah rakyat namun semua itu hanyalah kulit yang membalut segala jenis kejahatan yang mereka lakukan.

Merekalah PENGKHIANAT NEGARA yang sebenar. Sudah nyata mesej yang ingin disampaikan oleh Tony Wong melalui karyanya itu jelas terpampang. Inilah sindiran penulis terhadap mereka yang terlibat. Saya tidak nafikan hal semacam inilah yang sedang melanda negara yang tercinta ini.

Duit dan kepentingan diri mengatasi segalanya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja biarpun membodohkan rakyat sendiri demi kekal berkuasa.

Untung para karyawan seperti Tony Wong kerana mempunyai peluang menyampaikan mesejnya berkenaan KEADILAN dan AMANAH dalam berpolitik melalui karyanya yang menjadi minat orang ramai itu. Saya kira bukan dia seorang mempunyai misi sebegitu, malah hampir semua karyawan mempunyai misi tersendiri dalam menghasilkan karya mereka. Mereka secara sinis menyindir dan menempelak golongan penguasa yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan hawa nafsu mereka.

Saya ternanti-nanti apakah yang akan berlaku seterusnya kepada watak-watak utama komik ini yang begitu gigih memperjuangkan KEADILAN dalam masyarakat.

Apakah anak-anak muda ini akan berjaya melepasi segala onak ranjau dalam perjuangan mereka ini dan adakah KEJAHATAN dan KEZALIMAN yang berleluasa itu akan terhapus selama-lamanya.

Kadang kala saya sendiri jadi tidak keruan bila membaca komik ini. Meskipun hanya sebuah komik rekaan semata-mata, namun bilamana membandingkan dengan dunia realiti maka itulah gambarannya.

Oh tuhan, apakah nasib kami generasi mendatang akan terus kekal hidup merdeka jika begini sifatnya kepimpinan negara masa kini?

Renung-renungkan wahai sahabat-sahabat ku.

Adakah kita mahu hal ini berterusan sedangkan ALLAH memberi peluang kepada kita untuk berfikir dengan akal yang cukup sihat dan hebat?

Adakah kita sudah berpuas hati dengan hal berlaku kini tanpa memikirkan dan mengendahkan nasib negara dan agama pada masa akan datang jika kita gagal melakukan perubahan pada masa sekarang?

Meskipun ini hanyalah plot-plot dalam sebuah komik, namun ini tak bermakna ia tak perlu kita fikirkan sama sekali.

Saya berimaginasi jikalau Noli Me Tángere karya José Rizal mampu membangkitkan kesedaran dalam masyarakat tentang peri pentingnya bangkit menentang kezaliman penjajah, maka apakah mustahil karya-karya sebegini mampu menaikkan semangat kesedaran dalam kalangan anak muda yang cintakan KEADILAN dan KEAMAN untuk bangkit menghukum para penguasa yang gila sekarang ini?

Masing-masing mempunyai jawapan tersendiri.

Berani kah kita menafikan betapa revolusi yang berlaku di dunia ini dan membentuk tamadun manusia yang baru adalah hasil titik peluh dan jerit perih ANAK-ANAK MUDA yang cintakan PERUBAHAN?

Marilah kawan mari kita kobarkan, sebuah perjalanan JIWA yang sedar.

Marilah kawan mari kita kobarkan, di tangan kita tergenggam arah agama dan bangsa.

Marilah kawan mari kita bangkitkan, suatu KEBANGKITAN perubahan.

Marilah kawan mari kita nyanyikan, sebuah lagu tentang PEMBEBASAN tanpa PENDUSTAAN.

Sesungguhnya tiada yang tidak berubah kecuali PERUBAHAN itu sendiri.