Friday, May 7, 2010

PDRM Perlu Belajar Falsafah Stephen R Covey

Stephen R Covey dalam bukunya, 7 Habits of Highly Effective People mencatat habit kelima yang perlu ada pada seseorang itu ialah Seek First To Understand, Then To Be Understood. Belajarlah untuk MEMAHAMI sebelum anda DIFAHAMI.

Memaksa seseorang untuk menerima dan memahami kita adalah sukar berbanding kita terlebih dahulu cuba memahami orang lain. Tidak dinafikan dalam berkomunikasi dan penyampaian maklumat, kita seakan mahu pendapat dan rasa hati kita mendapat tempat dan layanan sewajarnya daripada orang lain.

Ini lumrah kita sebagai manusia. Namun diingatkan bahawa kita di dunia ini bukannya segala perkara dilakukan secara sendirian tanpa pergantungan dan sokongan orang dan pihak lain.

Atas faktor inilah maka kita hendaklah sentiasa cuba belajar memahami situasi, kondisi dan kehendak orang lain supaya seimbang dan relevan dengan tindak tanduk kita.

Dalam kes tembak Adik Aminulrasyid Amzah, PDRM khususnya IGP dan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid perlulah memahami kehendak dan rasa hati masyarakat Malaysia. Mereka perlulah peka apakah sebenarnya yang menjadi punca kemarahan rakyat terhadap mereka.

Saya melihat kes ini sebagai salah seorang ahli masyarakat yang mengikuti perkembangan kes ini secara dekat, merumuskan secara ringkas rakyat mahu PDRM bertegas dalam soal imej dan kredibiliti mereka sebagai satu jentera yang begitu berjasa kepada masyarakat. Tindakan melulu IGP dan KPN dalam mengeluarkan kenyataan mereka tentang kes ini membuktikan bahawa mereka tidak memahami kehendak dan citra masyarakat yang sebenar.

Malah tindakan sebegini bukan sahaja membuatkan mereka yang berkaitan marah dan tergores, malah menyebabkan imej dan nama baik PDRM tercalar dengan seteruk-teruknya. Hal ini jelas apabila kita melihat dalam pelbagai komuniti yang dibentuk dalam Facebook Group rata-rata memperlihatkan kemarahan orang ramai ke atas sikap tidak bertanggungjawab PDRM dalam kes ini.

Di samping tidak menyalahkan mereka yang berdiri teguh di belakang PDRM, saya sendiri pun tetap menyatakan penghargaan betapa PDRM memainkan peranan yang begitu besar dalam mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam sejak dulu lagi.

Tetapi beberapa tindakan yang saya sifatkan sebagai tidak wajar inilah yang menyebabkan PDRM begitu teruk dikecam. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Hakikat ini mampu diatasi sekiranya mereka yang bertanggungjawab dalam kes ini benar-benar memahami falsafah ke-5 yang diutarakan oleh Stephen R. Covey ini iaitu belajarlah memahami sebelum anda difahami.

Langkah memaksa orang ramai untuk mengikut setiap tindak tanduk kita adalah tidak bijak kerana mereka semuanya mempunyai kemampuan tersendiri untuk mengakses maklumat yang terkini.

Senang katanya mereka semuanya cerdik dan bijak menilai. Masyarakat kini bukan lagi golongan yang menunggu untuk disuap, tetapi mereka adalah golongan yang mencetus perkara baru. Jadi, atas atas dasar dan kesedaran inilah maka PDRM perlulah mengorak langkah dalam memperbaiki kerosakan ini.

Jangan terus membiarkan barah yang sedang membiak terus membiak. Cantas dan buangkan ia. Masyarakat menjadi hakimnya. Mahu tak mahu, PDRM perlu mendepani satu revolusi dalaman bertujuan memulihkan pandangan orang ramai terhadap mereka.

Jika PDRM mengharapkan rakyat memahami PDRM, itu sukar kerana mood sekarang adalah menjurus ke arah polis yang salah. Saya cukup yakin dalam kes ini rakyat mahu si penembak itu ditahan dan direman. Tindakan ini cukup untuk membuatkan rakyat yakin bahawa PDRM bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kes ini.

Masyarakat mempersoalkan ketelusan dan keadilan polis hanyalah timbul selepas tindakan PDRM menampakkan sikap cover-up mereka terhadap anggota yang terlibat. Polis yang terlibat hanya ditukar kerja dan jabatan bukan digantung bertugas atau dikenakan tindakan yang lebih tegas.

Saya suka mengambil pandangan Ustaz Nasrudin Hassan Thantawi, Ketua Pemuda PAS Pusat,

“Kami bukan menentang PDRM malah sangat memahami kepentingan serta keperluan PDRM bagi menjaga keselamatan negara dan rakyat. Apa yang kita tentang ialah penyalahgunaan kuasa atau tindakan yang tidak menepati undang – undang dan peraturan . Hanya beberapa anggota Polis yang terlibat, bukan semua maka Ketua Polis Negara tidaklah perlu menggelabah. Jika benar ia tetap benar namun jika salah maka perlu diambil tindakan.”

Saya setuju. Belajarlah memahami kehendak masyarakat terlebih dahulu dalam kes ini bukan menuduh dan membuat tanggapan melulu terhadap masyarakat. Tidak perlulah menggelabah tak tentu pasal.

Sama jugalah dengan kenyataan fitnah dan tuduhan terhadap arwah dan keluarga, tindakan sebegini amatlah tidak wajar malah ianya amat kurang ajar. Biadab!

Mengenakan sesuatu tuduhan tanpa memikirkan kesannya terhadap orang ramai dan PDRM sendiri adalah satu perkara yang memerlukan penilaian semula tentang kewibawaan dan relevansi sesetengah individu dalam PDRM sendiri untuk mengetuai organisasi tersebut.

Maka di sini, penilaian masyarakat perlu diambil kira bagi memastikan survival nilai percaya masyarakat terhadap PDRM terus bertahan.

Tanpa perlu saya menamakan siapakah individu yang bertanggungjawab dalam menghakis nilai kepercayaan masyarakat terhadap PDRM sendiri, saya menyeru kepada pihak terbabit atau individu tersebut untuk “turun takhta” secara terhormat sebelum rakyat makin bosan dengan gelagat dan tindakan anda.

Ingatlah bahawa kepercayaan rakyat terhadap PDRM itu satu amanah yang begitu besar untuk dipikul. Oleh itu jika merasa betapa tidak rela dipukul ombak yang dicipta sendiri, maka eloklah mereka-mereka itu mengambil tindakan yang saya kira paling wajar ketika ini.

Pembentukan panel khas dalam menyiasat kes ini juga dilihat seakan begitu longgar dan tidak menampakkan KEKUATAN yang nyata.

Saya tak bermaksud untuk mempertikaikan kewibawaan mereka dalam mendepani kes sebegini namun track record mereka bagi saya perlulah diambil kira sangat-sangat oleh mereka yang melantik agar masyarakat amnya dan keluarga arwah khususnya mampu memberi 100% kepercayaan kepada panel untuk menjalankan tugas.

Langsung tak berniat untuk mempertikaikan keputusan ini namun bagi saya, kepelbagaian latar belakang politik masyarakat yang menonton sketsa ini sudah tentu mempunyai tanggapan masing-masing terhadap panel yang dilantik ini.

Saya tidak mahu mengatakan kerajaan tidak memahami kehendak rakyat terlalu awal namun melihat pada track record ahli panel ia seakan memperlihatkan keraguan masyarakat terhadap mereka.

Soal ketelusan dalam menguruskan kes ini adalah tidak mustahil untuk bangkit kembali kerana seperti saya tegaskan sebelum ini masyarakat di semua lapisan mampu berfikir dan menilai. Istilah panel tersebut TIDAK BEBAS SEPENUHNYA adalah tepat menggambarkan situasi yang menyelubungi masyarakat ketika ini.

Termasuklah saya sendiri pun sukar menyatakan sepenuh kepercayaan terhadap panel ini. Persoalannya, kenapakah kerajaan begitu berkira untuk melantik Suruhanjaya Di Raja dalam menyiasat kes ini sedangkan itulah kehendak rakyat yang sebenar.

Adakah kerajaan tidak memahami kehendak sebenar rakyat?

Jika benar telahan ini maka kerajaan perlu bertindak pantas untuk memintas tanggapan negatif rakyat terhadap mereka yang mula membiak ini.

Berusahalah untuk berubah wahai PDRM. Sesungguhnya amanah dan kepercayaan rakyat terhadap anda adalah perkara terpenting untuk diambil kira kerana anda berhadapan dengan masyarakat setiap hari dan ketika. Mahu tidak mahu itulah hakikat yang anda perlu hadapi.

Oleh itu, bijaksana lah dalam belajar memahami kehendak dan rasa hati masyarakat. Ingatlah betapa tanpa masyarakat yang menyokong anda, maka siapalah PDRM ketika ini.

Kita saling MEMERLUKAN.