Wednesday, May 26, 2010

Mengenang Sebulan Pemergian Adik Aminulrasyid


Hari ini, 26 Mei 2010 pada pukul 2:15 am ketika saya menulis entri ini maka genaplah sebulan pemergian Allahyarham Adik Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak secara melulu oleh polis pada bulan yang lepas. Bukan niat saya ingin mengenang kesedihan akan kematian tragis ini tapi sekadar mahu memanaskan tungku api yang semakin kekurangan suhunya dek simbahan isu-isu lain yang timbul selepas kejadian.

Ternyata kes ini sudah tidak menjadi perhatian akhbar untuk menyiarkan beritanya dan saya bimbang jikalau kes ini terus senyap dan tak mendapat pembelaan sewajarnya.

Sebelum kita meneruskan penerokaan jiwa pada kali ini, eloklah kita menyedekahkan aL-Fatihah buat Arwah moga-moga ALLAH meletakkan dia dalam kalangan mereka yang beriman.

Bagi saya, setiap isu yang sedang bergelojak di tengah masyarakat mahu tak mahu sebagai warga yang prihatin sewajarnya dia mengambil “port” secara proaktif dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu tersebut dan menjadi agent of true message untuk isu tersebut. Kebenaran di sebalik kes tembak ini mungkin semua orang yang mengikuti perkembangan kes ini tahu dan bijak menilai siapa yang betul dan siapa yang bersalah dalam kes ini.

Ini kekuatan dan nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita untuk menilai sesuatu secara mendalam. Alhamdulillah kerana kita masih tergolong dalam golongan manusia yang mahu menjadi sebahagian daripada warga yang proaktif dalam apa-apa jua sekalipun isu yang melanda masyarakat sekitar. Dalam sebuah hadith, Rasulullah bersabda,

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat daya hidupnya di tengah-tengah manusia-punya daya sensitiviti yang baik”

Ya, umat ISLAM wajib ada deria ini. Bukan kita nak jaga tepi kain orang tapi kita nak jaga badan kita daripada dibakar api neraka. Erti hidup kita adalah bergantung kepada berapa banyak kita mampu bagi sumbangan kebaikan kepada masyarakat. Bila kita faham akan sabda Rasulullah ini, maka tidak akan timbul isu sibuk hal orang lain, saya dengan kerja saya dan kau dengan hal kau, itu masalah family dia bukan kita, tak elok kita main-mainkan isu sensitif ini sal kita bukannya orang yang ada time tu Dan macam-macam lagi.

Proses perundangan yang berjalan untuk kes Adik Aminulrasyid ini adalah hasil desakan masyarakat yang kuat daya sensitiviti nya dalam masyarakat. Bukan bertujuan untuk mencari publisiti murahan kerana menjaja cerita ketika isu tengah meletup tapi itulah resminya yang perlu kita hadam. Saya sendiri terkesan dengan sikap beberapa responden tentang isu ini yang memberi respons dan kritikan yang cukup tidak melambangkan sikapnya sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Saya mengklasifikasikan tugas dan peranan kita kepada dua part utama iaitu tugas dan peranan kita terhadap diri sendiri dan tugas serta peranan kita terhadap orang sekitar termasuklah keluarga, jiran tetangga, masyarakat sekitar, penduduk negara ini malah seluruh umat manusia. Besar tugas dan peranan kita dalam hal ini untuk menyediakan kefahaman yang jitu dalam diri sendiri sehinggakan kita mampu bertindak sebagai warga yang betul-betul masak dengan isu di sekelilingnya.

Saya kira rasa sayang dan kasihan akan nasib arwah adalah faktor terbesar kenapa isu ini begitu meledak dalam masyarakat. Selain hal berkaitan dengan keadilan dan keselamatan, sebenarnya nilai kasih sayang kita sesama manusia adalah tak ternilai harganya kerana itulah nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH kepada kita sebagai manusia.

Bayangkan jika ALLAH menarik nikmat kasih sayang ini daripada kita?

Rasulullah bersabda,

“Sesungguhnya bukan daripada kalangan umat ku mereka yang tidak mengasihani saudaranya sebagaimana dia mengasihani dirinya sendiri”
Dan ALLAH berfirman,
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara….” 
aL-Hujurat: 10

Ketetapan ALLAH itu pasti maka sebagai umat ISLAM kita menerimanya dengan REDHA. Sehingga saat artikel ini ditulis, tiada perkembangan yang ketara berkenaan isu ini dan kita menyerahkan kepercayaan kepada panel khas yang dilantik untuk bertindak secara matang dalam menangani kes ini dan berusaha mengembalikan keadilan kepada mereka yang teraniaya.

Dalam poll side yang saya buat di Nuffnang, setelah sebulan berlalu saya memaparkan poll berkenaan respons pembaca tentang kes tembak ini, saya mendapati respons dan sokongan pembaca amat menggalakkan kerana jumlah pembaca yang menjawab survey itu adalah seramai 285 orang. Dan golongan yang terbanyak menjawab survey ini adalah mereka yang berumur dalam lingkungan 18-23 tahun.

Daripada seramai itu yang memberi respons, kira-kira 59% mereka bersetuju bahawa anggota polis itu sendiri sepatutnya bertanggungjawab dalam kes ini dan selain daripada itu 25% bersetuju bahawa kes ini adalah tanggungjawab PDRM dan Kementerian Dalam Negeri manakala selebihnya 15% bersetuju bahawa ibu bapa Adik Aminulrasyid yang sepatutnya bertanggungjawab di atas kes ini.

Namun ini bukanlah indicator sebenar kes ini. Hanya melibatkan sebilangan kecil masyarakat yang membaca dan menjelajah Time To Change sahaja. Namun perkara yang menarik perhatian saya ialah keputusan survey pada soalan ketiga iaitu berkenaan imej polis selepas kes ini berjaya. Ternyata 88% pembaca bersetuju bahawa imej PDRM rosak dengan teruk sekali akibat kes ini.

Dan saya yakin peratusan ini akan terus meningkat jika PDRM gagal menangani dan menguruskan persepsi masyarakat terhadap mereka dengan bijaksana. Seperti saya utarakan sebelum ini dalam artikel saya mengenai PDRM perlu belajar dari Stephen R Covey tentang prinsip First Seek To Understand, Then To Be Understood dalam bukunya 7 Habits of Highly Effective People.

Mereka seharusnya bijak mengambil peluang ini untuk membaiki imej mereka berbanding bertindak tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap mereka sendiri.

Apa pun sokongan rakyat Malaysia terhadap isu ini amatlah diperlukan agar keadilan yang sewajarnya buat Arwah dapat ditegakkan. Walaupun tergores dengan sikap sesetengah mereka yang suka memburuk-burukkan Arwah dan keluarga, namun saya lebih suka mengingatkan mereka ini dengan sepotong ayat al-Quran,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi lah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." 
aL-Hujurat: 12

Moga roh Adik Aminulrasyid terletak bersama mereka yang beriman dan beramal soleh. Renungi lah kata-kata Imam Ibnu Qayyim R.A. ketika menerangkan kebesaran ALLAH dalam setiap kejadian di dunia ini.

Jom kita semarakkan KEMPEN tuntut KEADILAN buat Adik Aminulrasyid!