Monday, May 3, 2010

Mengapa IGP Memilih Untuk Memfitnah Aminulrasyid?


Ini keterlaluan!

Demi ALLAH, sudah tiada kata-kata atau komen mampu diberikan pada berita ini. Saya menerimanya dari saudara terdekat Adik Aminulrasyid berhubung kes ini, setelah berkali-kali melihat portal berita menyiarkan cerita yang tidak menyenangkan arwah dan keluarganya.

Saya minta dia membuat laporan polis, dan sebarkan kenyataan media melalui SUARAM dan SUHAKAM. Ini fitnah yang melampaui batas kuasa dan hak peribadi mangsa. Jika IGP sanggup melakukan parkara ini semata-mata untuk cover-up anggotanya yang bersalah, ini tidak berintegriti!

Rupa-rupanya IGP dalang kepada berita fitnah ini.

Adalah jauh lebih baik jika IGP pergi meminta maaf dengan keluarga mangsa jika tuan masih lagi mengingati akan adanya hari pengadilan selepas alam kubur.

Jangan ingat engkau berkuasa sampai mati. Tunggulah saat kita sama-sama mengadap ALLAH. ALLAH tu Maha Adil. Pasti dan pasti setiap yang bersalah tak akan terlepas..baik di dunia mahupun akhirat.

Ya ALLAH, aku mohon biar mereka yang berkomplot ini dihukum dengan sewajarnya.

Ketika semua orang rasa simpati pada arwah, Ketua Polis Negara Malaysia dengan senangnya arah publish berita FITNAH tu.

Layak ke dia dilantik sebagai IGP?

Atau selepas ini, saya pula akan ditahan di bawah Akta Hasutan kerana menulis perkara ini?

Tiada jawapan lain buat IGP ini, selain meletak jawatan secara terhormat sebelum digulingkan dengan penuh hina dina.

Adakah PDRM menyangka dengan melindungi anggota polis yang tembak Adik Aminulrasyid, PDRM akan mendapat nama dan imej yang semakin baik?

Beruntung betul Malaysia mempunyai IGP sebegini. Sudah tentu aman damai Malaysia.

Bayangkan macam mana perasaan Puan Norsiah Mohamad, ibu Adik Aminulrasyid yang bersusah payah mengandungkan serta membesarkan arwah tetiba ada orang kata anak dia penjenayah, penyamun.

Meskipun semua maklum, betapa in cerita cover-up polis yang semakin basi.

Pengajaran buat rakyat Malaysia, marilah kita menginsafi diri kita bahawa kita hanyalah hamba ALLAH yang diberi amanah supaya memakmurkan dunia dengan segala cerap ajaran yang di bawa oleh Nabi SAW. Setiap amanah yang ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan ke atas diri kita bukanlah sesuatu yang bertujuan suka-suka atau sekadar melepaskan batuk di tangga.

Ingatlah betapa setiap amanah yang dipikul itu akan ditanya di Akhirat kelak sehingga sedikit pun tidak tinggal ruang kepada kita untuk membela diri sendiri. ALLAH itu Maha Adil, jika tidak di dunia,di akhirat pasti kita bertemu jua.

Bermuhasabahlah setiap waktu bahawa nyawa kita ini milik ALLAH. Jika hari ini kita mampu bercakap-cakap dengan angkuh, mampukah kita menjamin bahawa esok kita masih lagi mampu menyedut oksigen untuk sekian kalinya.

Buat semua pegawai dan mereka yang bergelar POLIS, laksanakanlah tugas dan amanah yang diberi dengan seikhlas-ikhlasnya. Janganlah tika di dunia kita berbangga dengan pingat dan pangkat hasil jasa kita, tapi bila mengadap Azzawajalla, kantung amalan kita kosong dan sepi.

Masyarakat menaruh kepercayaan yang tinggi kepada polis untuk melindungi serta menjamin keselamatan mereka dan generasi mereka dari sebarang ancaman,jadi berhati-hatilah dengan KEPERCAYAAN itu.

Ingatlah ketika ALLAH berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” 
aL-Hujurat: 6

PDRM berdepan dengan jutaan persepsi umum. Jadi bijaklah dalam membuat keputusan kerana masyarakat pasti tidak akan terjatuh dalam lubang yang sama dua kali. Mereka yang terlibat dalam FITNAH ini dinasihatkan agar meminta maaf dengan keluarga arwah.

Mereka punya hati dan perasaan. Lagikan binatang kasih pada anaknya, inikan pula manusia yang waras.

Si ibu pastinya remuk rendam hatinya bila mendengar tohmahan dan fitnah ini kerna dialah insan yang paling mengenali anaknya luar dan dalam.

Berhati-hatilah dalam membuat sebarang kenyataan. Saya cukup yakin siapakah yang bersalah dalam kes ini sudah terang lagi bersuluh. Baru tengah hari tadi saya siarkan satu artikel tentang rayuan ibu Adik Aminulrasyid supaya jangan menuduh anaknya bukan-bukan.

Jadi bijaksanalah dalam apa jua kenyataan kita tentang arwah.

Saya sangat berharap agar IGP bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang dibuatnya. Rakyat makin sedar dan bijak. Mereka tahu menilai dan membaca. Mereka sudah bosan dengan momokan berita palsu dan fitnah. Ramai suara meminta IGP meletakkan jawatan sebagai tanda rasa tanggungjawab terhadap kenyataan sebelum ini.

Cukuplah sekadar itu sahaja lakonan anda. Cukuplah keluarga mangsa menderita kehilangan arwah, janganlah kita memandai memfitnah dan sebagainya.

Harapan menggunung masyarakat Malaysia yang mahu polis yang terlibat diadili seadil-adilnya. Jauhkanlah segala kepentingan politik di sini. Saya urut mengajak rakan-rakan mahasiswa agar sentiasa alert akan perkembangan berita ini kerana kita adalah urat nadi kepada masyarakat sekitar.

Buktikan diri kita sama nilai dengan gelaran yang diberikan masyarakat kerana Adik Aminulrasyid adalah sebahagian daripada KITA.