Wednesday, May 12, 2010

Malaysia Negara Judi?

Sedang mencari maklumat tadi di internet, tiba-tiba saya terpaut pada berita mengenai kerajaan Malaysia meluluskan permohonan lesen JUDI sempena World Cup 2010 kepada Berjaya Group. Saya mengurut dada aku sebentar kerana terkejut membaca berita ini.

Seolah tidak logik sambil berfikir apakah ini corak negara ISLAM contoh sepertimana diwar-warkan oleh Perdana Menteri kita ini.

Wow Malaysia ku sudah maju setapak ke hadapan. Malaysia negara judi? Boleh tahan gelaran begini.

Terkejut kerana mereka langsung tidak hiraukan sensitiviti UMAT ISLAM di negara ini. Hanya kerana apa?

Apakah rasionalnya keputusan ini saya sendiri tak tahu. Mana mungkin orang yang mengaku ISLAM sanggup mengetepikan arahan ALLAH sebegitu terang dan nyata.

Adakah mereka-mereka ini terlampau buta mata dan hati pada semua hukum hakam yang ALLAH tetapkan sejak azali lagi?

Apakah mereka semua ini tidak terfikir akan gertakan ALLAH dalam al-Quran tentang perkara ini?

Jika habuan dunia yang dikejar oleh puak-puak ini, maka tunggulah saat dan ketika ALLAH menunjukkan amarah-Nya pada Malaysia ini. Tidakkah mereka berfikir panjang akan kesan dan mudarat jika perkara ini berleluasa dalam masyarakat?

Laporan Malaysiakini tadi merujuk kepada berita dalam akhbar Sin Chew yang melaporkan Menteri Kewangan Malaysia sudah meluluskan lesen judi ini. Siapa Menteri Kewangan Malaysia?

Islam kah dia? Melayu kah dia?

Pembaca semua boleh jawab sendiri. Marilah kita berfikir sejenak adakah puak-puak ini layak digelar sebagai penyelamat agama dan bangsa. Zikir mereka tiap-tiap hari adalah mengenai merekalah JUARA dalam hal agama dan sebagainya. Namun mereka tak sedar betapa tiap masa dan ketika mereka berada dalam kesesatan yang nyata.

Ingatlah ketika ALLAH berfirman,

“Mereka bertanya kepada mu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepada mu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakan lah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat Nya (keterangan-keterangan hukum Nya) supaya kamu berfikir” 
al-Baqarah: 219

Dan ALLAH berfirman lagi,

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahu kah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? 
aL-Maidah: 90-91

Nah apa lagi hujah kamu wahai MUNAFIQUN?

Demi ALLAH jika hari ini kau bebas melakukan apa sahaja yang menghancurkan agama dan negara ini, tunggulah saat dan ketika kita semua bertemu di Mahsyar kelak.

Apakah engkau tidak terfikir akan kesan dan kehancuran yang bakal terjadi pada anak bangsa ini pada masa depan?

Apakah nafsu serakah mu itu lebih utama untuk dipenuhi berbanding nasib AKIDAH anak bangsa Malaysia yang tergadai begitu sahaja?

Apakah kau rasa jaminan dan larangan supaya orang Islam tidak dibenarkan mengambil bahagian itu akan dituruti mereka yang ketagih dengan permainan HARAM ini?

Lagikan perintah ALLAH kau sendiri sanggup belakangkan, apalah nak dibandingkan dengan larangan kerajaan yang dah MANDUL ini.

Kuliah Maghrib tadi yang disampaikan oleh Prof Madya Dr. Ismail ,salah seorang pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM menyentuh bab hukum hakam dalam muamalat seharian cukup penting dalam menilai apakah tindakan kerajaan ini betul atau HARAM. Prinsip utama dalam muamalat ISLAM ialah menjaga maslahat 5 perkara utama iaitu AGAMA, NYAWA, AKAL, NASAB dan HARTA.

Cuba fikir apakah membenarkan pemilikan lesen ini oleh kerajaan kepada BERJAYA menjaga kesemua maslahat ini?

Tentu sekali ianya umpama jauh panggang dari api.

Saya cukup mengagumi beberapa individu yang berani bersuara menentang dalam hal ini antaranya Mantan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainal Abidin. Dialah satu-satunya individu yang berani bersuara selain beberapa pertubuhan lain seperti PAS dan sebagainya.

Mana pergi suara-suara EMAS Mufti dan pegawai-pegawai Agama yang lain?

Mana perginya JAKIM?

Mana suara Mufti Perak, Dato’ Harussani yang begitu lantang sebelum ini?

Mana perginya suara Majlis Raja-Raja Melayu yang sepatutnya terkedepan dalam isu ini?

Mana mereka-mereka ini semua?

Adakah semuanya sudah terkena bisul di lidah masing-masing?

Apakah mereka ini tidak memikirkan nasib anak bangsa selepas ini?

Apakah jawatan dan pangkat itu mengatasi AMANAH yang terpikul pada bahu-bahu mereka?

Jikalau Sayidina Umar Al-Khattab menangis setiap malam kerana bimbang akan disoal oleh ALLAH tentang ketidaksedaran dia akan masalah yang melanda rakyatnya, apakah pembesar-pembesar negara tidak bimbang akan perkara ini?

Adakah amalan kamu lebih HEBAT dari Sayidina Umar Al-Khattab sehinggakan langsung tidak bimbang akan isu ini?

Mana perginya suara PERKASA, Ibrahim Ali yang konon-kononnya begitu TEGAR dalam memperjuangkan nasib bangsa dan agama ISLAM. Apakah sudah kecut telur mereka dengan not-not kertas?

Bukan ke sebelum ini begitu lantang membela KETUANAN MELAYU konon-kononnya?

Apakah Ibrahim Ali tidak fikir kesan yang akan melanda umat Melayu jika perjudian ini dihalalkan oleh puak-puak UMNO-APCO?

Apakah Ibrahim Ali sudah nyanyuk setelah berkali-kali meroyan tak tentu pasal dengan amaran 24 jam dia?

Inilah rupa mereka yang sebenar. Sedikit demi sedikit ALLAH tunjukkan wajah munafik UMNO-APCO. Mereka akan terus sombong dan angkuh selagi ALLAH memberi peluang kepada mereka untuk berlakon di dunia ini. Namun saya cukup pasti bahawa ALLAH tidak akan terus membiarkan kezaliman dan kebatilan ini terus bermaharajalela di Malaysia.

Namun hati kecil ku terus berharap agar mereka yang bertanggungjawab ini diberi hidayah dan petunjuk oleh ALLAH dan menarik balik kelulusan lesen JUDI itu.

Ya, saya cukup-cukup bimbang kesan buruk yang bakal melanda umat ISLAM khususnya remaja ISLAM di Malaysia jika hal ini tetap diteruskan. Jiwa sebagai orang ISLAM pastinya sesekali tidak akan REDHA dengan keputusan ini. Senaraikan apakah kebaikan keputusan ini?

Tentu sekali ianya langsung tak wujud. Jika hari ini mereka membenarkan sebuah syarikat menjalankan operasi JUDI secara halal dan nyata maka apakah tidak logik jika saya mengatakan esok lusa pasti akan ada syarikat yang melakukan permohonan yang sama dan penyakit ini terus merebak. Apakah kerajaan bercita-cita menjadikan Malaysia ini umpama Las Vegas?

Sesungguhnya setiap tindak tanduk kita pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH kelak.

Sesiapa yang meredai keputusan ini, saya menasihatkan diri sendiri dan kalian semua agar kita beristighfar kepada-Nya memohon keampunan kerana bimbang AKIDAH kita tercabut dek membenarkan sesuatu yang jelas pengharamannya dalam al-Quran.

Oh Malaysia ku, negara Islam yang TERBILANG dengan agenda Yahudi nya.

Saya menulis ini kerana saya CINTA dan SAYANG pada negara dan nasib bangsa ku.