Thursday, May 6, 2010

Kesimpulan Forum Keadilan Buat Aminulrasyid Amzah

Raja Badrol Hisyam, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengulas kes tembak Adik Aminulrasyid Amzah,

“Kita tengok, jumpa parang dalam bonnet (dakwaan polis), apa bahayanya? Saya tak nampak apa bahaya, kecuali kalau parang itu diayunkan pada polis. Tapi kalau diayunkan pada polis, (itu pun) dalam kereta sahaja. Melainkan (ayunan parang) dalam keadaan bertentang muka (confronted, face to face). Kalau dalam keadaan pertentangan yang bersemuka pun, polis masih boleh tembak pada kaki. Why must you kill?

Beliau telah menerangkan beberapa procedures yang diperuntukkan kepada anggota PDRM selaras dengan Kanun Prosedur Jenayah dan Perintah Tetap Ketua Polis Negara. Ini dbandingkan dengan cara dan tindakan anggota polis yang mengendali kes Aminulrasyid.

Beliau bermula dengan Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah, yang menyatakan tiga cara tangkapan polis, iaitu menyentuh tubuh badan, mengurung badan orang yang ditangkap dan ketiganya, orang yang ingin ditangkap menyerah diri.

Menurut Seksyen 23 Kanun Prosedur Jenayah, tangkapan tanpa waran memerlukan syarat seperti bersandarkan aduan munasabah (reasonable complaint) dan informasi yang credible.

Dalam kes Adik Aminulrasyid, prasangka atau syak anggota polis terbabit langsung tidak munasabah untuk dijadikan justifikasi kepada penangkapan arwah tanpa waran. Raja Badrol berseloroh, kemungkinan jika dia menjadi pendakwa raya di mahkamah, polis akan memberi justifikasi dengan prasyarat tangkapan yang ketiga iaitu, “Telah wujud syak yang munasabah di mana orang yang nak ditangkap terlibat dengan jenayah.”

Mengupas peruntukan Seksyen 15 (2) Kanun Prosedur Jenayah yang membenarkan polis untuk menggunakan kekerasan ketika mencegah orang itu daripada melarikan diri, beliau berkata ia tetap terikat dengan syarat-syaratnya.

“Tembak sampai mati? Boleh, tetapi mesti jatuh kepada jenayah yang mungkin dilakukan itu ialah satu jenayah yang boleh dihukum mati, sekiranya dia disabitkan salah di mahkamah nanti.”

Jenayah ini termasuklah jenayah rompakan, yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup. Dalam peruntukan ini, tembakan sampai mati dibenarkan untuk kesalahan yang mengundang hukuman penjara seumur hidup. Telahan ini bagaikan menjawab persoalan tentang parang misteri yang tiba-tiba muncul dalam bonnet kereta yang dipandu oleh arwah.

Adakah ini cover-up polis bagi menghalalkan tindakan tembak sampai mati ke atas Adik Aminulrasyid?

Kata Raja Badrol Hisyam lagi, “It just to cover their back.”

Berkenaan peruntukan klausa kuasa bagi penggunaan senjata api bagi anggota polis, Perintah Tetap Ketua Polis Negara menjelaskan anggota polis boleh menggunakan senjata api,

“Jika seseorang sedang diserang dengan cara yang boleh mendatangkan perasaan takut, iaitu akibat daripada serangan itu boleh mengakibatkan kematian atau cedera parah.”

Antara lain, peruntukan menjelaskan,

“Menembak orang hanya dengan tujuan untuk mencederakan orang, menjatuhkan orang itu atau menahan kesalahan itu daripada berlaku. Jika keadaan mengizinkan, haruslah ditujukan kepada kaki orang itu.”

Jika benar polis berkenaan mengikut lunas perundangan yang diperuntukkan ke atasnya, adakah Adik Aminulrasyid deserve a bullet?

Raja Badrol Hisyam turut mengulas tentang kegagalan polis menggunakan fungsi Command Center untuk mendapatkan maklumat kenderaan yang dikejar oleh mereka, sama ada mempunyai rekod jenayah atau tidak. Persoalan besar di sini, kenapa mereka memilih untuk melepaskan tembakan sedangkan jika benar mereka menyelidiki dahulu, sudah tentu nyawa arwah tidak melayang.

Beliau berkata, “Daripada itu, mereka (polis) mengambil jalan pintas. Tembak mati lagi senang. Ikut kawan saya yang ada dekat D9 (Jabatan Siasatan Jenayah) itu, quote word dia orang, ‘jimat’. ‘So, kita (polis) tutup semua. Jimatkan keadaan’. Untuk mereka (polis), jimat duit rakyat,” Ini mengundang ketawa dari hadirin.

“Tapi, bolehkah kita jimat keadilan? Keadilan tidak boleh di kompromi. Kematian arwah ini sebenarnya boleh dielakkan, sekiranya pihak polis faham IGSO (Inspector General Standing Order) atau Perintah Tetap Ketua Polis Negara itu sendiri.”

Lebih mengejutkan, apabila beliau mendedahkan, “Saya rasa terkilan juga, bila IGSO ini hanya dibekalkan kepada Ketua Polis Daerah. Pegawai-pegawai biasanya tak dapat. Kalau kita nak didik anggota polis ni, tentang kuasa mereka, maka setiap seorang mereka mesti ada IGSO. Dan setiap satu OCPD pun patut ada CPC (Kanun Prosedur Jenayah).”

Bagi N. Surendran, peguam yang mewakili keluarga arwah Aminulrasyid Amzah mengulas semua ini bermula dari kesilapan ringan yang biasa dilakukan oleh kebanyakan orang awam iaitu keluar malam, memandu tanpa lesen dan bergeser dengan kereta lain.

Sadisnya, apabila kesilapan ringan in berakhir dengan tembakan bertalu-talu oleh polis ke atas seorang remaja yang berusia 15 tahun!

“You are dealing with a 14-year-old frightened boy, you are not dealing with Bruce Willis in the Die Hard movie!”

Bagaikan penggambaran filem. Tembakan dilepaskan bertubi-tubi oleh polis ke arah kereta arwah Aminulrasyid, semasa kejar-mengejar, tanpa amaran oleh polis melalui pembesar suara. Seorang saksi kejadian mendakwa dirinya mendengar bunyi tembakan, dan disusuli bunyi hentaman yang kuat kemudiannya hasil kereta arwah melanggar tembok, lantas menyangkal dakwaan polis bahawa arwah Aminulrasyid cuba merempuh polis dengan mengundur keretanya ke arah polis. Seandainya mengikut versi polis, maka saksi akan mendengar bunyi hentaman dan kemudian disusuli tembakan.

Polis juga memberi komen stereotype yang sudah dapat dibaca sejak awal lagi. Kereta mangsa ditemui dengan beberapa bilah parang yang digunakan untuk merompak. Di mana maruah dan standard polis Malaysia?

N. Surendran turut menyelar kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Jalil yang dilihat cuba mengalih fokus utama isu ini dengan menyalahkan ibu bapa arwah kerana membenarkan anak keluar malam.

Peguam mangsa tidak terkejut dengan kejadian arwah Aminulrasyid, apabila memulakan ucapan dengan berkata, “Kes Aminulrasyid ini, adalah satu tragedi yang hanya menunggu masanya (untuk berlaku).”

Beliau menjelaskan, peguam hak asasi manusia, NGO, pembangkang telah berjuang bertahun-tahun, malah berdekad-dekad untuk memastikan pihak polis tidak menyalahkan kuasa ketika menggunakan senjata api, tetapi tidak diendahkan.

N.Surendren mengungkit satu peristiwa yang berlaku sekitar pertengahan tahun 1990-an, apabila bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addruse tegas mengkritik penembakan sebegitu. Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad (gambar kanan) menyatakan kepada media, “Apakah perasaan Raja Aziz jikalau penjenayah mengajukan pistol pada kepalanya?”

N.Surendren berkata, “Soalnya bukan sama ada penjenayah meletakkan pistol pada kepalanya, tetapi soalnya jika ada penjenayah di sana, apakah cara pihak polis perlu (gunakan) untuk menangkap mereka? Adakah dengan cara menembak sewenang-wenangnya? Bermakna kita tak perlu mahkamah, tak perlu peguam bela, tak perlu DPP, tak perlu hakim… terus sahaja menghukum?”

Keresahan ini turut dikongsi bersama oleh Raja Badrol Hisham yang memperingatkan, “Seorang penjenayah pun ada hak untuk dilindungi dalam perlembagaan. Hanya undang-undang yang boleh mengambil hak itu, termasuk hak nyawa. Hak nyawa (yang dirampas) dalam undang-undang ialah gantung sampai mati, kalau didapati salah. Tetapi apa yang berlaku di sini ialah polis bertindak sebagai hakim.”

“Mereka (polis) memutuskan siapa hidup siapa mati,” tambah N. Surendren.

Bagi Wong Chin Huat, beliau memanggil kes ini sebagai institutional sadism.

“Kalau arwah Aminulrasyid seorang berketurunan India, maka saudara Uthayakumar (pemimpin Hindraf, Setiausaha Agung Parti Hak Asasi Manusia) akan berkata ini adalah institutional racism, kerana ‘polis suka tembak orang India’. Tetapi arwah Aminulrasyid bukan orang India, Puan Norizan bukan orang India, polis tembak juga, kan?”

“Saya kira itu institutional sadism, perangai suka menyeksa yang sudah bersifat institutional.”

Malah, Wong Chin Huat menganggap masyarakat Malaysia sebenarnya bermasalah, kerana mempunyai budaya menerima keganasan – menolak hanya seksaan terhadap warga baik, tetapi membutakan diri apabila keganasan berlaku terhadap penjenayah.

Wong Chin Huat kemudiannya mengajak hadirin untuk mengkaji masalah institusi polis, “Masyarakat kita tak kurang orangnya, yang setiap kali institusi negara dikecam kerana melanggar hak asasi manusia, ada orang yang kata, ini adalah ancaman kepada institusi Melayu, kerana institusi polis itu adalah majoritinya Melayu. Institusi kerajaan itu Melayu dan sebagainya.”

“Saya rasa adalah penting bagi kita untuk melihat bahawa kalau kita ada satu institusi yang berperangai suka menyeksa, maka tak kira apa warna kulit kita, apa kepercayaan kita, kita mempunyai peluang yang sama untuk menjadi mangsa,” simpulnya.

Menurut beliau lagi mereka yang mati dalam tahanan polis atau penjara dari tahun 2002 hingga 2009, mencatat angka 1,704 orang. Malah, statistik juga menunjukkan United Kingdom yang mempunyai populasi hampir satu kali ganda lebih daripada Malaysia, mencatat angka dua orang ditembak mati, berbanding dengan Malaysia, 39 orang yang ditembak mati (menurut rekod NGO), pada tahun 2009. Lebih mengejutkan, tiada rekod tembakan polis yang menyebabkan kematian pada tahun 2007 dan 2008 di UK.

Keadaan ini berlaku kerana setiap tembakan yang dilepaskan oleh polis di UK, akan disusuli dengan penyiasatan secara automatik, tidak kira tembakan tersebut salah atau betul dari sisi undang-undang.

“Kita memerlukan satu mekanisme pemantauan dalam institusi polis, misalnya IPCMC untuk memastikan agar arwah Aminulrasyid menjadi mangsa terakhir,” cadang beliau.

Bagi beliau, kuasa tunggal ke atas institusi polis yang dipusatkan kepada kerajaan persekutuan adalah antara faktor yang menjurus kepada masalah institusi polis hari ini.

Raja Badrol Hisham turut bersetuju dengan pandangan untuk membantu agar institusi polis diperbaiki, setelah berlakunya tragedi hitam sebegini.

“Di negera lain, mereka menggunakan kesilapan atau kesalahan untuk memperbaiki institusi tersebut. Tetapi di Malaysia, kesilapan satu-satu institusi itu cuba di selindung.”

Wong Chin Huat mengupas dari rangka politik, memperlihatkan bagaimana dengan pemusatan kuasa pada kerajaan persekutuan, institusi polis menjadi perkakas politik kepada kerajaan persekutuan. Gambarannya cukup jelas apabila tenaga polis dikerah untuk menjadi perisik (special branch), dan menghalang “perhimpunan haram”. Sebaliknya, salah laku polis terus dilindungi kerajaan kerana berkhidmat untuk kepentingan politiknya.

Justeru itu, beliau menyarankan agar kuasa terhadap polis diasingkan (decentralized) antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Dengan kata lain, polis akan mempunyai dua ketua iaitu, satu di Putrajaya, dan satu lagi di ibu negeri masing-masing. Keadaaan ini akan menjurus kepada keadaan di mana kerajaan negeri perlu mengambil perhatian, seandainya kerajaan persekutuan enggan mengendahkan aduan rakyat terhadap polis.

-------
Saya telah mengubah suai artikel ini dari artikel asal ditulis oleh Lim Hong Siang, Editor MerdekaReview berkenaan catatan ringkas Forum Keadilan Untuk Adik Aminulrasyid Amzah yang bertemakan “Bersatu Pertahankan Hak Asasi Rakyat” anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.

Terdapat 3 orang ahli panel yang diundang iaitu,

  1. Raja Badrol Hisyam, pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  2. N. Surendran, peguam yang mewakili keluarga mangsa
  3. Wong Chin Huat, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor

Forum turut dibuai dengan alunan puisi berjudul “Jeritan Senja September” oleh sasterawan negara, A. Samad Said.