Thursday, May 27, 2010

UKM4: Undi Anda Sangat Berharga

Fakta kes:

  1. 4 orang mahasiswa UKM jurusan Sains Politik yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM; Sdr Hilman Idham (Presiden), Sdr Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Sdri Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Sdr Woon King Chai (Exco) telah ditahan oleh pihak polis di Pekan Rasa dan Ampang Pecah pada 22 April 2010 semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
  2. Turut ditahan bersama mereka adalah 3 orang aktivis parti yang turut menaiki kenderaan yang sama (sebuah kereta dan van).
  3. Dalam penahanan itu, polis telah merampas beberapa bungkusan risalah kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga CD kempen.
  4. Kemudian pada 23hb April 2010, sekitar jam 10 malam, Sdr Hilman Idham telah ditahan sekali lagi oleh pihak polis dalam sekatan jalan raya. Bersama-sama beliau adalah 4 orang aktivis yang lain. Dalam penahanan ini, polis hanya menjumpai sekeping VCD ceramah parti politik.
  5. Hasil daripada tangkapan ini, mereka akan dibicarakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Malaysia (AUKU) pindaan 2008 di Mahkamah Universiti pada 2 Jun dan 3 Jun 2010.. Hal ini amat mendukacitakan hati semua masyarakat yang cintakan nilai DEMOKRASI yang sering di war-warkan oleh pihak pemerintah kerana jelas terang lagi bersuluh penangkapan ini bercanggah dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahawa semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak menyertai politik dan layak mengundi dalam pilihan raya.

Justeru, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama front-front pergerakan mahasiswa lain seperti Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Malaysia Youth & Students Democratic Movement (DEMA) telah mengadakan satu petisyen untuk menghantar memorandum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak HEP Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menarik dan menggugurkan semula pertuduhan itu dengan mengumpulkan 10000 tandatangan pada petisyen ini.

Referendum Bantahan 4 Mahasiswa UKM dikenakan AUKU

Dengan ini Time To Change dengan penuh sedar dan insaf menyatakan sokongan 100% terhadap petisyen UKM4 ini dan meletakkan banner Referendum Bantahan ini di blog Time To Change secara rasminya bermula artikel ini ditulis.

Saya MERAYU dan MEMOHON kepada semua pembaca Time To Change untuk sama-sama menyatakan sokongan terhadap petisyen ini dengan meletakkan tandatangan pada Referendum Bantahan ini.

Kerana UNDI dan TANDATANGAN anda amat BERHARGA demi maruah sebuah DEMOKRASI!