Sunday, May 23, 2010

Kafir Gelap vs Kafir Terang

Sejak dari kecil lagi, seringkali aku dengar ayah ku memberitahu ku bahawa di dunia ini terdapat 2 golongan manusia iaitu kafir GELAP dan kafir TERANG. Apakah itu semua ayah?

Ayah ku menerangkan kepada ku,
“Din, kafir TERANG itu ialah orang kafir yang benar-benar menyatakan kekafiran mereka tanpa berselindung seperti Buddha, Hindu dan sebagainya tetapi kafir GELAP pula ialah orang KAFIR yang mengaku ISLAM. Mereka berpura-pura hidup dengan amalan ISLAM dengan mengambil sedikit sahaja daripada inti pati ISLAM itu sendiri dan meninggalkan sebahagian besar yang lain. Mereka ini yang bahaya, kita mestilah sentiasa berwaspada dengan golongan sebegini kerana ramai orang MELAYU kita bersifat begini. Mulutnya berbicara ISLAM namun hatinya tegar mengakui KEKUFURAN”
Masa dulu aku agak tidak dapat menerima kata-kata ayah ku ini kerana apa yang aku belajar di sekolah, kafir terbahagi kepada 5 iaitu kafir harbi, zimmi dan sebagainya. Dalam syllabus mana istilah semua ini wujud?

Namun bilamana umur ku meningkat barulah aku faham bahawa apa yang diperkatakan oleh ayah ku itu bukanlah melanggar apa yang ditetapkan oleh ulama Fiqh tapi hanyalah kiasan atau analogi kepada realiti umat Islam zaman sekarang yang semakin celaru identitinya.

ISLAM hanya di bibir dan itulah perkara yang patut kita takuti bimbang-bimbang kita termasuk dalam golongan sebegitu. Na╩┐uzubillah!

Kita memohon agar ALLAH menjauhkan diri kita daripada termasuk dalam golongan itu. Golongan ini amat licik dalam muamalat seharian mereka. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi rongga-rongga nafsu mereka biarpun jelas melanggar batas syariat

Tiba di hari raya, mereka umpama ISLAM yang sejati dengan sambutan yang begitu hebat atau tiba musim haji, merekalah mendahului senarai ke Tanah Suci dan bila tiba pada raya Korban, mereka terus dengan sifat murah hati mereka mengorbankan seberapa banyak lembu.

Sifat mereka kalau dinilai dari sudut itu ternyata merekalah umat ISLAM yang sejati namun bilamana mereka berurusan dengan bank, mereka lebih suka mengambil riba’. Mereka gagal mendidik isteri dan anak-anak mereka mengikut lunas-lunas ISLAM yang sebenar. Mereka rela membiarkan anak isteri mereka mendedahkan aurat sana sini dan menelanjangkan diri sana sini.

Dalam hal pentadbiran dan pengurusan, mereka terus digagalkan dengan rasuah dan penyelewengan. Hidup mereka dilingkari dengan hasad dengki, takbur, tamak dan penuh kebongkakan. Mereka lebih selesa mengamalkan bidaah berbanding beramal dengan ajaran ISLAM yang sebenar. Solat bukanlah menjadi KEPERLUAN bila rasa RINGAN dia solat tapi bila merasa BERAT maka solat bukanlah wajib bagi mereka.

Arak dan judi adalah lambang kemegahan mereka. Puasa dan zakat hanyalah “pilihan” buat mereka sebagai kulit bagi mencantikkan pandangan orang lain terhadap mereka. Dan inilah sebahagian sifat mereka yang bergelar KAFIR GELAP tanpa mereka sedari

Mereka terus menyangka bahawa mereka ISLAM namun mereka buta dalam menilai sesuatu mengikut fitrah nya. Kerana itulah kita sering dikalahkan kerana kita hanyalah ILUSI. ILUSI akan dikalahkan oleh REALITI. Ini sunnatullah. Kita mengaku bahawa kita adalah MUKMIN namun bilamana kita menyelak lembaran al-Quran, ternyata sifat dan sikap sebagai orang BERIMAN sepertimana digambarkan oleh ALLAH dalam al-Quran langsung tidak menepati dengan diri kita.

Maka ini bermakna kita sedang bermimpi sebagai orang Islam. Kita berilusi, berangan-angan.

Syeikh Abu Hassan Ali an-Nadwi dalam kitabnya Ila al-Islam Min Jadeed iaitu Kembali Semula Kepada Islam di bawah tajuk Antara Ilusi dan Realiti menulis satu analogi yang cukup berkesan untuk menggambarkan sunnatullah ini.

Syeikh menggambarkan seorang pemimpin yang hebat semasa hidupnya yang amat ditakuti kawan dan lawan membina sebuah patung dirinya yang benar-benar menyerupai dirinya termasuklah wajahnya. Patung besi itu diletakkan di tengah-tengah kota bagi semua orang mengingati akan dirinya.

Suatu hari seekor burung kecil hinggap seketika di atas kepala patung tersebut lalu berak di atas hidung patung itu. Namun patung tersebut tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalang kejadian yang mengaibkan itu meskipun di bawah kakinya tercatat nama pemimpin agung tersebut yang begitu ditakuti oleh kawan dan lawan semasa hidupnya.

Kenapa itu boleh terjadi?

Bukankah dia adalah seorang yang begitu hebat?

Kenapakah dia begitu mudah dimalukan oleh seekor burung kecil?

Oleh itu sedarlah wahai sahabat-sahabat ku, sesungguhnya patung itu adalah ilusi semata meskipun tercatat padanya nama pemimpin agung tersebut. Pemimpin itu hanyalah ilusi berbanding seekor burung kecil yang realiti. Yang benar-benar wujud, makanya REALITI pasti akan mengalahkan ILUSI…

Ini sunnatullah.

Kafir GELAP ini adalah Muslim yang ILUSI semata. Mereka tidak berpijak pada bumi yang nyata. Ciri-ciri mukmin yang REALITI yang digambarkan oleh ALLAH dalam al-Quran sama sekali tidak menyerupai golongan ini meskipun mulut mereka sibuk berzikir mengatakan mereka sebagai MUSLIM. Oleh sebab itulah maka kita sering dikalahkan oleh REALITI.

Kita membicarakan seorang YAHUDI yang benar-benar YAHUDI nya. Yahudi REALITI sebagaimana sifatnya yang ALLAH gambarkan dalam al-Quran.

Dan kita berdepan juga dengan NASRANI iaitu Kristian yang benar-benar Kristiannya. Maka mereka adalah KRISTIAN yang REALITI bukan ILUSI.

Bilamana kita berdepan dengan mereka, umpama berdepan antara ILUSI dan REALITI maka kekalahan akan sentiasa berpihak pada kita. Mereka dididik dan diasuh untuk menjadi penganut yang REALITI bukan hanya sekadar ILUSI di bibir mulut sahaja. Sebab itulah kita sering gagal dalam apa jua masalah yang dihadapi.

Ghauzatul-fiqri yang dilancarkan oleh puak-puak REALITI ini menjadi senjata yang cukup ampuh untuk melumpuhkan umat ISLAM zaman kini. Cukup sekadar memetik beberapa button pada keyboard, kita sudah dibawa jauh belayar dari SYURGA menuju ke NERAKA. Begitu hebat!

Kerana mereka sedar kita hanyalah ILUSI bukan the REAL MUSLIM. Islam kita hanya di bibir bukan pada amalan dan penghayatan. Sebenarnya inilah golongan yang kita amat takuti sekarang kerana kita mudah tertipu dengan mereka.

Ayah ku berkata lagi, golongan sebegini adalah jauh lebih berbahaya berbanding kafir yang terang-terang menunjukkan KEKAFIRAN mereka. As-Syahratani dalam kitabnya, aL-Milal wal Nihal berkata bahawa perkara yang berlaku pada zaman dahulu akan berlaku pada zaman muta’akhirin ini.

Puncanya sama iaitu golongan yang berpura-pura ISLAM sentiasa menjadi gunting dalam lipatan kepada umat ISLAM.

Mereka sentiasa mengintai peluang dan ruang bagi memesongkan fahaman orang ISLAM daripada ajaran yang sebenar. Golongan sebegini mampu mencetuskan pertarungan hebat antara golongan yang menyeleweng dan golongan yang tetap berpegang teguh dengan ajaran ISLAM.

Berbalik pada cerita asal tadi berkenaan kafir GELAP dan kafir CERAH, kita cuba hayati sebuah hadith Rasulullah SAW berkenaan keadaan umat ISLAM pada akhir zaman, Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. berkata:
Telah bersabda Rasulullah SAW: ”Sudah hampir sampai satu masa di mana tidak tinggal lagi daripada ISLAM itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al-Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong(naungan) langit. Dari mereka berpunca fitnah, dan kepada mereka fitnah itu kembali” 
(Riwayat Baihaqi)
Keterangan hadis, kalau kita perhatikan dunia ISLAM pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW ini. Kalau belum sampai pun, ianya sudah mendekati ke sana. Ulama yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah ulama su’ iaitu ULAMA JAHAT yang menjual agama mereka dengan mata benda dunia, bukan ulama akhirat yang mewarisi tugas para nabi dan yang meneruskan penyebaran dakwah dari semasa ke semasa.

Benar, ISLAM kita hanya pada kulit dan iman kita sehelai kulit bawang. Walaupun kita ramai umpama buih di lautan, namun kita hanyalah ilusi semata. Kita tak mampu untuk membela diri kita sendiri apatah lagi membela dan memperjuangkan agama kita ini. Kelahiran para ulama jahat ini makin memeningkan kita umat ISLAM.

Mereka senyap bilamana berdepan kemungkaran.

Mereka rela memilih kepentingan peribadi berbanding memikirkan masalah umat.

Sungguh, benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah. Itulah REALITI kita umat ISLAM zaman sekarang. Kita pantang diuji maka kita terus rebah tak berbalas. Kita sering mengimpikan SYURGA namun kita gagal melunaskan bayarannya dengan sebaiknya.

Oleh itu, aku menyeru pada diriku sendiri dan sahabat-sahabat semua agar kita MUHASABAH kembali akan nasib IMAN kita yang kita sering tayangkan konon-konon kitalah penghuni Firdaus itu.

Adakah ia benar-benar REALITI bukan ILUSI semata.

Adakah ia benar-benar TERANG untuk mengalahkan KEGELAPAN kekufuran yang ada pada hati kita.

Maka sama-samalah kita bermuhasabah, jadilah MUKMIN yang REALITI.

Berusahalah, bermujahadah la, bermuhasabah lah….

Janganlah kita membiarkan diri kita termasuk dalam golongan KAFIR GELAP tanpa kita sedari. Sesungguhnya hidayah itu milik ALLAH, maka wajiblah kita memohon daripada-Nya. Sesungguhnya peringatan itu berguna untuk orang-orang Mukmin. Aku memperingati diriku sendiri dan sahabat-sahabat agar kita sentiasa berjaga-jaga.

Rujukan:
  1. Fahaman & Ideologi Umat Islam karya Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
  2. 40 Hadith Tentang Peristiwa Akhir Zaman karya Abi Ali Al-Banjari An-Nadwi