Wednesday, May 12, 2010

Harapan Anak Muda Malaysia

Tema untuk Hari Belia Negara 2010 iaitu “Belia Kreatif Pemacu Pembangunan Negara” nyata tepat dari segi pentafsiran secara fizikalnya kepada signifikan kelahiran dan kewujudan anak muda atau BELIA ini di Malaysia dalam keadaan masa dan kondisi negara yang begitu memerlukan golongan ini menjadi benar-benar KREATIF.

Ya, fakta dan keperluan langsung tidak dapat menafikan peri pentingnya golongan belia ini dalam menjayakan sesuatu dasar negara.

Hal ini begitu jelas memandangkan belia merupakan prospek negara yang terpenting dalam menjamin kelangsungan survival negara pada masa akan datang. Oleh itu sambutan Hari Belia Negara ini patut dan sememangnya perlu diwar-warkan kerana dari sini kita dapat mengenal pasti kekurangan dan kelebihan yang dimiliki oleh golongan belia ini untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa akan datang.

Pelaksanaan Hari Belia haruslah bukan sekadar meliputi aspek lahiriah namun turut memenuhi keperluan spiritual anak-anak muda Malaysia.

Harapan kami anak muda Malaysia yang sedar bahawa pastinya tampuk amanah ini akan terpikul pada bahu kami pada masa akan datang menyimpan beberapa harapan kepada kerajaan bersempena sambutan mega Hari Belia Negara 2010 ini:

  1. Analisa terperinci tentang pembentukan anak muda atau belia ke arah melahirkan modal insan yang mapan perlulah dilakukan dengan sistematik dan berhemah oleh kerajaan bagi menjamin kualiti kepimpinan pada masa hadapan akan terus mampu memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
  2. Pembangunan sahsiah dan jati diri yang jitu dan mantap haruslah di perkasakan oleh kerajaan terhadap golongan belia agar dari situ akan lahirnya para belia yang berjiwa negarawan.
  3. Patriotisme yang matang haruslah disemai dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk para belia negara dengan harapan lahirnya tunjang-tunjang kepada perjuangan menegakkan maruah dan martabat negara di peringkat antarabangsa.
  4. Pendidikan dan pendedahan kepada demokrasi terpimpin oleh kerajaan terhadap para belia haruslah disemai sejak dari kecil lagi agar setiap penilaian dan tindakan selaras dengan tuntutan nilai-nilai sejagat.
  5. Pembudayaan ilmu dan keintelektualan dalam kalangan belia wajib diimplementasikan dalam setiap polisi kerajaan terhadap para belia negara yang bertujuan melahirkan sebuah entiti belia yang mapan dan bijaksana.
  6. Kerajaan haruslah memberi kebebasan kepada para belia untuk menentukan hala tuju dan pendirian mereka sama ada dalam bidang sosial, politik, ekonomi dan sebagainya agar nilai dan dogma-dogma demokrasi hidup subur dalam kalangan belia.
  7. Penekanan kepada penjiwaan budaya setempat haruslah diterapkan oleh kerajaan terhadap para belia agar para belia mampu mengadaptasikan diri mereka dalam masyarakat dan mencairkan entiti mereka dalam setiap juzuk lapisan masyarakat.

Inilah harapan kami para BELIA terhadap kerajaan agar pembentukan dan pembinaan diri kami adalah lurus dan sejajar dengan kehendak Malaysia pada masa akan datang.

Sesungguhnya dunia mencatatkan anak muda memainkan watak protagonis utama dalam setiap lakaran sejarah sejak dahulu lagi.

Siapa tidak kenal Sultan Muhammad Al-Fateh yang memimpin Kerajaan Turki Uthmaniyah menawan Kota Constantinople ketika usianya baru mencecah 19 tahun?

Siapakah tidak kenal akan José Rizal, pemimpin muda berkarismatik dari Filipina yang mengetuai perjuangan menentang penjajah melalui karya hebatnya Noli Me Tángere dan El filibusterismo sehingga membawa kepada pembunuhan beliau secara tragis?

Siapa tidak kenal As-Syahid Imam Hassan Al-Banna yang telah menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin ketika usianya 24 tahun lalu menjadi satu fenomena kepada gerakan Islam di seluruh dunia sehingga kini dan mengetuai beberapa siri perjuangan menentang pencerobohan Israel ke atas Palestine?

Siapa tidak kenal tokoh mahasiswa China seperti Mao Tze Tung, Li Ta Chao dan Chen Tu Shiu yang berjaya memimpin gerakan Peristiwa 4 Mei 1919 (May Fourth Movement) yang akhirnya meledakkan kebangkitan komunisme dalam kalangan masyarakat sehingga tertubuhnya Republik Rakyat Komunis pada tahun 1949?

Siapa tidak ingat akan Revolusi Bolshevik 1917 di Russia yang digerakkan oleh anak-anak muda dari kampus yang akhirnya menyebabkan diktator Tzar Nicholas menggelongsor jatuh dari takhtanya?

Dan ramai lagi anak-anak muda atau BELIA yang melatari sejarah dunia ini dan menjadi WATAK UTAMA dalam mentransformasikan peradaban dunia.

Begitulah kesannya jika para BELIA diasuh dan dididik dengan sempurna. Mereka lebih dari mampu untuk MEMACU KEGEMILANGAN NEGARA.