Sunday, May 16, 2010

Bingkisan Buat Cikgu Wan Mahmud

Sebentar tadi saya menelefon Cikgu Wan Mahmud, bekas guru Fizik saya untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada dia. Lama sungguh tak bersua muka dengan Cikgu Wan. Berbicara dan bergurau dengan cikgu adalah satu perkara yang tak dapat dilupakan. Semoga rahmat ALLAH sentiasa melingkari hidup cikgu selama-lamanya.

Tadi Cikgu Wan sempat bertanyakan ehwal diri saya semenjak masuk ke UKM. Ternyata sikap prihatin cikgu sentiasa sebati dengan perwatakan cikgu. Menceritakan pengalamannya ketika belajar di UKM dulu membuatkan saya terasa begitu rapat dengan cikgu kerana cikgulah insan pertama yang mengenalkan saya dengan dunia pentarbiahan.

Mengenalkan saya kepada buku “Apa Ertinya Aku Menganut Islam” sebagai syllabus usrah di sekolah dulu. Sekolah kami dulu – alma mater, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit merupakan tempat pertama yang membawa saya ke dalam dunia usrah, meskipun sebelum ini ayah saya sering bawa dalam usrah bersama rakan-rakannya. Tetapi sebelum ini tidak pernah saya serius atau dengan kata lain, menelaah dan meneladani benar-benar syllabus usrah tersebut.

Langsung tak terfikir keterlibatan saya dalam dunia ini sebelum aku mengenal susuk tubuh yang bernama Cikgu Wan Mahmud. Alhamdulillah, meskipun berjauhan dengan anak muridnya ini, cikgu masih bertanyakan tentang keadaan anak murid dia di sini.

Malah bertanyakan saya adakah aku mengikuti apa-apa usrah di UKM ini.. Alhamdulillah saya akan cuba menghidupkan amalan ini sedaya upaya moga-moga ALLAH memberi balasan setimpal kepada cikgu.

Kami pelajar Sains Mekanikal masih lagi teringat akan telatah kami ketika Cikgu Wan masuk mengajar Fizik dulu, ketika memulakan kelas. Walaupun kadang-kala kami gagal menyiapkan kerja sekolah dengan sempurna, namun perkataan marah seakan tidak timbul pada kelibat cikgu.

Kami amat-amat menghormati susuk bukan hanya kerana cikgu mengajar kami Fizik, tapi kami menghormati cikgu kerana personaliti cikgu berbeza dengan cikgu-cikgu yang lain. Kami tidak pernah kering gusi dalam kelas meskipun Fizik antara subjek yang sukar, namun dedikasi mu kepada kami tidak pernah padam dalam mendidik kami.

Moga ALLAH melimpahkan keampunan buat cikgu…

Tadi Cikgu Wan bertanyakan aku adakah aku kenal Dr. Kayu. Sebenarnya saya baru berjumpa Dr. Kayu tempoh hari. Rupa-rupanya Dr. Kayu berbesan dengan Cikgu Wan. Dulu mereka kawan rapat ketika belajar di UKM, kini mereka menyatukan anak mereka berdua pula.

Dulu ketika di UKM, Cikgu Wan menceritakan akan kehidupan dia di KAMSIS D yang kini saya pula tinggal di tempat yang sama. Sekarang KAMSIS D sudah dijenamakan dengan nama tokoh iaitu Kolej Kediaman Dr. Burhanuddin Helmi. Hati berseri, seolah antara kami ada persamaan. Moga saya berupaya mengikuti jejak langkah guru yang mulia ini.

Moga ukhuwah ini terus subur dan mekar.

Sambutan Hari Guru pada hari ini sudah tentu memberi makna yang besar buat Cikgu Wan. Saya cukup yakin kerana cikgu sudah mencurahkan bakti dalam mendidik anak bangsa dalam tempoh masa yang begitu lama sejak dulu lagi. Bayangkan berapa banyak keringat yang dicurahkan untuk memastikan anak bangsanya berjaya dunia dan akhirat.

Cikgu Wan tidak pernah kenal erti jemu mendidik kami. Bukan sahaja mendidik kami untuk menjadi manusia yang berguna pada diri sendiri dan keluarga, malah mendidik kami supaya menjadi manusia yang berguna pada agama ini.

Terima kasih Cikgu Wan!

Moga keredaan ALLAH sentiasa menemani cikgu setiap masa dan ketika….

Ya ALLAH, kau berilah kekuatan pada cikgu ku ini untuk dia terus menaburkan baktinya pada kami semua. Kau berilah kedudukan yang mulia di sisi engkau ya ALLAH di akhirat kelak. Cucur lah keampunan-Mu kepada cikgu ku ini setiap masa dan ketika.

Selamat Hari Guru buat Cikgu Wan Mahmud. Jasa baik mu akan dikenang selama-lamanya!

Anak muridmu yang nakal,
Bandar Baru Bangi