Friday, May 28, 2010

Bagaimana Cara Untuk Mencapai Kesempurnaan Beragama?

Kesempurnaan diri yang menjadi impian buat semua mereka yang bergelar Mukmin hanyalah berasaskan kepada apa yang digariskan oleh ALLAH dan Rasul. Sama-samalah kita menghayati Hadith Muthahharah ini berkenaan kesempurnaan diri seorang Muslim.

Daripada Sayidina Khalid bin Al-Walid Radiallahuanhu telah berkata: Telah datang seorang Arab desa kepada Rasulullah SAW yang mana dia telah menyatakan tujuannya: Wahai Rasulullah! sesungguhnya kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat.

Maka baginda SAW telah berkata kepadanya Tanyalah apa yang engkau kehendaki :

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang alim…

Baginda SAW menjawab: Takutlah kepada ALLAH maka engkau akan jadi orang yang alim…

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang paling kaya….

Baginda SAW menjawab: Jadilah orang yang yakin pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya….

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang adil…

Baginda SAW menjawab: Kasihanilah manusia yang lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka jadilah engkau seadil-adil manusia…

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang paling baik….

Baginda SAW menjawab: Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik manusia…

Dia berkata: Aku mahu menjadi orang yang istimewa di sisi ALLAH….

Baginda SAW menjawab: Banyakan zikrullah nescaya engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah….

Dia berkata: Aku mahu disempurnakan iman ku…

Baginda SAW menjawab: Per elokkan akhlak mu nescaya iman mu akan sempurna….

Dia berkata: Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsin (baik)….

Baginda SAW menjawab: Beribadatlah kepada ALLAH seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak merasa begitu sekurang nya engkau yakin Dia tetap melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan termasuk golongan muhsin….

Dia berkata: Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang taat….

Baginda SAW menjawab: Tunaikan segala kewajipan yang difardukan maka engkau akan termasuk dalam golongan mereka yang taat….

Dia berkata: Aku mahu berjumpa ALLAH dalam keadaan bersih daripada dosa….

Baginda SAW menjawab: Bersihkan diri mu daripada najis dosa nescaya engkau akan menemui ALLAH dalam keadaan suci daripada dosa….

Dia berkata: Aku mahu di himpun pada Hari Kiamat di bawah cahaya….

Baginda SAW menjawab: Jangan menzalimi seseorang maka engkau akan dihitung pada Hari Kiamat di bawah cahaya….

Dia berkata: Aku mahu dikasihi oleh ALLAH pada Hari Kiamat….

Baginda SAW menjawab: Kasihanilah diri mu dan kasihanilah orang lain nescaya ALLAH akan mengasihani mu pada Hari Kiamat…..

Dia berkata: Aku mahu dihapuskan segala dosa ku…

Baginda SAW menjawab: Banyakan beristighfar nescaya akan dihapuskan (kurangkan) segala dosa mu….

Dia berkata: Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia….

Baginda SAW menjawab: Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi semulia-mulia manusia….

Dia berkata: Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia….

Baginda SAW menjawab: Sentiasa menyerah diri (tawakal) kepada ALLAH nescaya engkau akan jadi segagah-gagah manusia….

Dia berkata: Aku mahu dimurahkan rezeki oleh ALLAH….

Baginda SAW menjawab: Sentiasa berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya ALLAH akan memurahkan rezeki kepada mu….

Dia berkata: Aku mahu termasuk dalam golongan mereka yang dikasihi oleh ALLAH dan Rasul-Nya….

Baginda SAW menjawab: Cintai lah segala apa yang disukai oleh ALLAH dan Rasul-Nya maka engkau termasuk dalam golongan yang dicintai…..

Dia berkata: Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan ALLAH pada Hari Kiamat….

Baginda SAW menjawab: Jangan marah kepada orang lain nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan ALLAH dan Rasul-Nya….

Dia berkata: Aku mahu diterima segala permohonan ku….

Baginda SAW menjawab: Jauhi lah makanan haram nescaya segala permohonan mu akan diterima-Nya….

Dia berkata: Aku mahu agar ALLAH menutupkan segala keaiban ku pada hari kiamat….

Baginda SAW menjawab: Tutuplah keburukan orang lain nescaya ALLAH akan menutup keaiban mu pada Hari Kiamat…..

Dia berkata: Siapa yang terselamat daripada dosa?

Baginda SAW menjawab :Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendak-Nya dan mereka yang ditimpa kesakitan….

Dia berkata: Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi ALLAH?

Baginda SAW menjawab: Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala)…..

Dia berkata: Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi ALLAH?

Baginda SAW menjawab: Buruk akhlak dan sedikit ketaatan…

Dia berkata: Apakah yang meredakan kemurkaan ALLAH di dunia dan akhirat?

Baginda SAW menjawab: Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang….

Dia berkata: Apakan yang akan memadamkan api neraka pada Hari Kiamat?

Baginda SAW menjawab: Sabar di dunia dengan bala dan musibah….

Telah berkata Imam Mustaghfirin,

“Aku tidak pernah menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan agama dan bermanfaat selain hadith ini.”

Alangkah bertuah dan berbahagianya kita jikalau kita mampu memiliki kesemua ciri-ciri dan sifat yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith ini. Alangkah indahnya ISLAM itu mengajar kita. Inilah cara untuk mencapai kesempurnaan beragama yang ditunjukkan oleh Baginda.

Kita hamba yang DHAIF. Moga sentiasa mendapat keampunan-Nya.