Sunday, May 9, 2010

Berapa Ramai Lagi Bakal Menjadi Statistik PDRM?

Sebelum saya memulakan coretan ini eloklah kita sama-sama menadahkan tangan memohon doa kepada ALLAH agar DIA sentiasa melindungi diri kita, ahli keluarga kita, rakan taulan kita, saudara mara kita dan jiran tetangga kita agar terselamat dari sebarang gangguan dan PENGKHIANATAN AMANAH oleh tangan-tangan pihak yang dahagakan darah ini.

Sedih betul bila membaca berita tadi tentang seorang remaja ditembak polis selepas adegan kejar mengejar di Jalan Seremban-Jelebu semalam. Ke mana lagi rakyat mahu mengharapkan jaminan keselamatan jika polis sendiri menggunakan senjata api dengan sewenang-wenangnya umpama tidak belajar langsung.

Apakah ini juga merupakan tabiat POLIS Malaysia? Ini kah PDRM?

Ke mana perginya sifat kemanusiaan kamu wahai polis-polis yang begitu dahagakan darah rakyat Malaysia?

Apakah TEMBAK yang menjadi keutamaan kamu ketika menghapuskan mereka yang dianggap penjenayah?

Di tengah kekalutan PDRM yang cuba bangkit semula akan kepercayaan masyarakat terhadap mereka selepas kes tembak Adik Aminulrasyid Amzah, polis ini dengan rasa tidak bertanggungjawab nya begitu senang bertindak tanpa berfikir panjang.

Adakah mereka fikir PISTOL di tangan mereka merupakan lesen SAH untuk membunuh rakyat?

Adakah kamu ditugaskan semata-mata untuk menembak mana-mana yang disyaki penjenayah tanpa usul periksa. Kami sentiasa mendambakan pihak polis mampu menjalankan tugas dengan penuh rasa amanah dan bertanggungjawab terhadap rasa aman dan selesa kami.

Malah kami tidak teragak-agak menyatakan sokongan kami terhadap polis jika kamu menjalankan tugas dengan cemerlang. Rakyat bangkit dan marah serta caci memaki pada polis hanya kerana ini. Insaflah, tanpa masyarakat yang menyokong anda, mana mungkin anda berada di sini sebagai POLIS.

Berita ini mengejutkan. Lelah dan nista akibat kes Aminulrasyid belum reda, semalam seorang lagi remaja menjadi statistik tembakan rambang anggota PDRM. Kerana enggan memberhentikan motosikalnya, polis tersebut menganggap remaja terbabit deserve a bullet.

Apa pun, kejujuran Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh wajar diberi penghargaan. Mengakui anggotanya bersalah, sepatutnya inilah resmi ketua pasukan polis jika benar anggota mereka membuat kesalahan.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai kesalahan menggunakan kuasa. Saya kesal dengan insiden ini kerana anggota terbabit telah menembak tanpa justifikasi yang telah ditetapkan oleh Ketua Polis Negara. Saya juga ingin meminta maaf kepada pihak keluarga mangsa,” katanya.

Katanya anggota polis terbabit telah dikenakan tindakan penahanan kerja serta-merta dan sedang menjalani siasatan kerana melepaskan tembakan tanpa justifikasi yang boleh membawa ancaman kepada dirinya.

“Bagi kita, perkara ini sangat serius. Kita akan meneruskan dengan siasatan dahulu. Kalau anggota polis terbabit terbukti bersalah, kita akan mengambil tindakan mengikut prosedur yang diperuntukkan.

“Dalam kes ini kita masih menyiasat dan buat masa ini anggota polis terbabit telah ditahan kerja,” katanya lagi.

Saya bersyukur kerana Ketua Polis Negeri Sembilan begitu professional menangani kes ini. Tindakan beliau mengenakan hukuman digantung bertugas terhadap polis terbabit harus dipuji kerana ini menunjukkan ketegasan PDRM dalam menyingkirkan individu-individu yang tidak beramanah dalam PDRM seterusnya menaikkan nama PDRM dalam masyarakat.

Saya cukup bersimpati pada mangsa tembakan itu dan lagi bersimpati dan bersedih dengan kejadian yang menimpa Adik Aminulrasyid.

Berapa ramai lagi rakyat Malaysia akan menjadi statistik?

Saya berdoa agar dijauhkan dari bencana ini. Ya, kita mana tahu esok lusa badan kita pula yang menjadi tempat hujanan peluru-peluru POLIS yang “happy-trigger”?

Apakah begitu murah darah rakyat Malaysia sehinggakan mereka begitu senang ditembak dan dihukum tanpa perlu dihadapkan ke mahkamah dengan begitu sahaja?

Persoalan yang perlu ada pada setiap diri yang bernama POLIS. Kami tak layak memegang senjata api kerana kami adalah orang awam tapi cuba bayangkan jikalau kami juga turut dibenarkan memiliki senjata api sewenang-wenangnya.

Pasti polis-polis yang kurang “didikan” ini mendapat balasan setimpal dengan perbuatannya.

Saya tak salahkan semua polis. Hal ini kena jelas kerana ada sesetengah pembaca merasakan saya begitu benci kan PDRM.

Tak, langsung saya tak benci PDRM tapi saya benci beberapa orang individu dalam PDRM yang tidak BERAMANAH, BERINTEGRITI, BERTANGGUNGJAWAB sebagaimana sepatutnya mereka perlu jadi.

Saya sudah muak dan cukup takut dengan berita sebegini. Bimbang jikalau terkena pada ahli keluarga sendiri dan lain-lain orang. Cukup bimbang jika terus ada rakyat yang menjadi STATISTIK angkara tangan-tangan polis yang dahagakan darah ini.