Friday, May 14, 2010

Apa Itu Politik?

Saya menulis entri ini adalah respons kepada entri dalam blog Ben Ashaari mengenai politik di Malaysia yang “begitu” bergantung pada not-not kertas dalam entri nya di sini dan sini. Penulisan saya ini langsung tak berniat untuk argue sesiapa cuma sekadar nak berkongsi sedikit maklumat dengan semua pembaca bila mana kita berbicara soal POLITIK.

Dalam entri Ben Ashaari itu, saya ada komen tapi seakan tidak puas kerana ruangannya cukup terhad. Terus terang saya cakap, menuduh bahawa politik itu membawa haru biru perlulah ditukar dengan kadar yang segera kerana ianya begitu salah dari segi pengertiannya.

Dalam ISLAM cukup jelas menggariskan apa itu politik maka kita sebagai umat ISLAM adalah tidak patut mengeluarkan kenyataan sebegitu lantaran POLITIK tidak dapat tidak ianya tak mungkin berpisah daripada ISLAM itu sendiri.

Saya membahagikan pendapat tentang POLITIK kepada dua iaitu pandangan BARAT dan pandangan ISLAM.

Menurut barat;

Vladimir Lenin: SIAPA YANG BOLEH LAKUKAN APA KEPADA SIAPA (Who could do what to whom).

Harold Lasswell: SIAPA YANG DAPAT APA, BILA DAN BAGAIMANA (Who gets what, when and how).

Jelas bukan apa itu POLITIK menurut barat?

Kehendak nombor satu, nilai bukan jadi sandaran.

Mudahnya politic is the Art of Possible. Mereka menggunakan politik demi mendapatkan sesuatu. Maka hasilnya ahli politik yang beriman dengan teori ini begitu mudah untuk menjadi raja harta. Tidak hairanlah jika Ben Ashaari mengata begitu dalam entri nya kerana teori ini menjadi tuhan kepada politikus sebegitu.

Menurut ISLAM;

Politik membawa maksud pengurusan atas segala urusan umat ISLAM. ISLAM itu sendiri sebagai gerakan politik kerana ISLAM adalah agama yang paling kaya dengan pemikiran politik.

Sabda Rasulullah SAW,

“Adalah Bani Israel, mereka DIURUSI (siasah) urusannya oleh para nabi. Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada banyak para KHALIFAH” 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan Rasulullah bersabda lagi,

“Siapa sahaja yang bangun di pagi hari, dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi ALLAH. Dan barang siapa yang tidak memerhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk dalam golongan mereka(iaitu kaum Muslim).” 
(Riwayat Thabrani)

Kita adalah seakan cuba menyongsang aruh apabila membentak tentang politik…tanpa politik maka tiada ISLAM ini. Ianya tak akan wujud. Politik dalam Islam adalah cara atau skill atau alat untuk mengatur kehidupan dan tindakan manusia demi kebaikan bersama.

Politik dalam ISLAM ialah The Art of SOLUBLE. Mereka mentadbir dan memimpin manusia dengan PENGARUH. Menggunakan PENGARUH untuk menyelesaikan masalah.

Politik Islam cukup indah jika kita memahami dalam konteks dakwah dan kepimpinan. Dakwah adalah seni mempengaruhi orang lain untuk memahami dan mengikuti ajaran ISLAM. Maka di sini politik memainkan peranan yang begitu besar dalam menyebarkan ajaran Islam.

Saya ingin mengajak pembaca agar membuka minda bahawa politik bukan sekadar politik kepartian seperti di Malaysia.

Bagaimana Rasulullah bersabda bahawa bukan dalam kalangan umat ku mereka yang enggan mempedulikan hal sahabat-sahabat mereka. Maka di sini ialah peranan politik, bagaimana kita menggunakan politik untuk mempengaruhi orang lain untuk sesuatu matlamat dan tujuan yang baik.

Kita lihat apa makna kepimpinan, iaitu satu proses mempengaruhi ORANG LAIN untuk MENCAPAI sesuatu MATLAMAT. Adanya sasaran iaitu orang ramai, timbulnya persoalan tentang strategi iaitu untuk mencapai dan adanya objektif iaitu matlamat.

Jadi, apa yang saya nak tekankan di sini ialah mengenai MENCAPAI iaitu bagaimana dan strategi.

Di sini kita diberi 2 pilihan sama ada beriman pada teori Barat yang mana matlamat menghalalkan cara seperti mana di jelaskan di atas ataupun kita memilih untuk menjadikan politik sebagai alat untuk menyelesaikan masalah berlandaskan lunas Al-Quran dan Sunnah.

Tepuk dada tanya IMAN….

Kegagalan sesetengah pihak di Malaysia dalam memahami penggunaan atau lebih mudah difahami, pengaplikasian politik untuk mencapai maksud mereka menyebabkan apa yang dikritik oleh Ben Ashaari itu terjadi.

Saya harap pembaca jelas akan maksud saya di sini. Jangan kita menghukum politik hanya kerana perbuatan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Fahamilah hadith Rasulullah yang aku catatkan di atas bagaimana Rasulullah menekankan bahawa mereka yang tidak menghiraukan hal orang lain, maka mereka bukanlah dalam golongan Mukmin.

Begitu jelas amaran yang diberi oleh Rasulullah kepada kita. Maka kita ambil lah kesempatan yang ada ini meskipun seakan kecil dan sempit peluangnya untuk kita menyatakan keprihatinan kita pada nasib dan masalah yang melanda kawan-kawan kita yang lain dek mainan kotor mereka yang tidak bertanggungjawab dengan kita memberi undi pada mereka yang benar-benar berkelayakan.

Mereka yang benar-benar menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai manhaj mereka. Janganlah kerana benci kan dan muak akan permainan ini, kita merajuk dan mendiamkan diri.

Menjauhkan diri dalam erti kata tak mahu mengambil tahu tentang sosio-politik di negara kita adalah tidak sepatutnya wujud dalam diri kita sebagai umat Islam.

Inilah peluang kita untuk melakukan perubahan. Prihatinlah dengan nasib mereka yang tertindas dengan mengubah azam dan tekad kita.

Saya nak kongsi beberapa pandangan para Orientalis Barat – ini ungkapan Orientalis, maka ini bukanlah hujah kita untuk tidak menerima pendapat orang lain, hanya sekadar mencapah dalam berfikir – mengenai ISLAM dan POLITIK,

  1. Dr. V.Fitzgerald - Islam bukanlah semata-mata agama, namun ia merupakan sebuah sistem politik. Meskipun pada dekad-dekad terakhir ada beberapa kalangan dari umat Islam yang mendakwa diri mereka sebagai kalangan ‘modernist’ yang berusaha memisahkan kedua sisi itu, namun seluruh gagasan pemikiran Islam di bangun atas fundamental bahawa kedua sisi itu saling bergandingan dengan selaras, yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.
  2. Prof. C. A. Nallino – Muhammad telah membangun dalam waktu bersamaan: agama dan negara. Dan batas-batas wilayah negara yang ia bangun itu terus terjaga sepanjang hayatnya.
  3. Prof. R. Strothmann – Islam adalah suatu fenomena agama dan politik. Kerana pembangunnya adalah seorang Nabi, yang juga seorang politik yang bijaksana, atau “negarawan.
  4. Prof. Gibb - Dengan demikian, jelaslah bahawa Islam bukanlah sekadar kepercayaan agama individual, namun ia menescayakan berdirinya suatu bangun masyarakat yang bebas. Ia mempunyai cara tersendiri dalam sistem pemerintahan, perundangan dan institusi.

Point saya di sini ialah, jika mereka yang bukan Islam ini faham bahawa ISLAM itu tidak berpisah dengan POLITIK, maka malu lah kita sebagai umat Islam jika cuba mendakwa bahawa Islam suku, politik suku.

Tidak suka pada politik, pedulikan dengan politik Malaysia, politik-politik tak main, politik-politik pergi main jauh-jauh atau kita student tak payah berpolitik-politik lagi dan bermacam-macam lagi alasan yang diberikan.

Fahamilah politik dari aspek yang sebenar Insha’Allah kita akan faham kenapa ini semua berlaku.

Ingin saya jelaskan di sini bahawa kerjaya utama kita sebagai manusia yang mengaku bahawa tuhan mereka adalah ALLAH dan Muhammad itu pesuruh-Nya ialah Dakwah, Tarbiah dan Siasah.

Dakwah umumnya adalah amar makruf nahi mungkar.

Tarbiah adalah pendidikan secara berterusan yang bertujuan melahirkan golongan yang sanggup menjadi mata rantai perjuangan Rasulullah.

Siasah adalah kepimpinan atau pentadbiran atau governance.

Ketiga-tiga kerjaya utama ini memerlukan POLITIK sebagai alat. Politik sebagai skill. Politik ini termasuklah pujuk rayu, nasihat, ancaman, ugutan, psikologi, berdiam diri, mentaati dan menurut perintah, memberi arahan, melaksanakan tugasan dan segalanya skill yang ada untuk mempengaruhi orang lain.

Harapan besar agar kita faham bahawa POLITIK bukan sekadar pilihan raya, bukan sekadar mengundi, bukan sekadar PAS, UMNO, PKR, DAP dan sebagainya. Pengertiannya cukup luas dan amat praktikal.

tulah bicara saya pagi Jumaat ini. Sekadar berceloteh dengan keyboard dengan harapan mesej yang saya ingin sampaikan ini difahami.

Mohon maaf jika ada salah dan silap dalam artikel ini kerana saya bukanlah hebat dalam bidang ini cuma sekadar perkongsian sedikit ilmu. Jika ada salah atau terkurang, sila tegur dan Insha’Allah akan diperbaiki.

Moga-moga kita semua mendapat rahmat dan hidayah dari ALLAH SWT senantiasa…

Kredit kepada naqib, Abang Farid Hamlud kerana perkongsian ilmu ini. Moga rahmat ALLAH ke atas beliau….

Sumber:

  1. Wikipedia Politik
  2. Wikipedia Politik Islam