Sunday, May 2, 2010

5 Keadilan Buat Aminulrasyid Amzah

Kalut betul Ketua Polis Negara ini. Clumsy and clueless!

Saya cukup pasti orang ramai bukannya menyalahkan PDRM seratus peratus tapi mereka cuma mahu PDRM mengambil tindakan tegas pada anggota PDRM yang terlibat dalam kes bunuh ini.

Bayangkan jika orang awam yang menembak Adik Aminulrasyid, pasti dan pasti orang itu akan ditahan REMAN serta merta. Lansung tak diberi peluang lagi.

Tapi, masalahnya kenapa pihak polis beria-ria melindungi anggotanya yang terlibat dalam kes ini?

Persoalannya jelas, kenapa mereka hanya ditukar jabatan dan diarahkan untuk melakukan kerja-kerja di pejabat sahaja. Bagi saya, tindakan polis cuba melindungi anggota yang terlibat akan memberi persepsi yang makin buruk pada PDRM dan Kementerian Dalam Negeri sendiri.

Masyarakat makin hilang kepercayaan kepada pihak polis tentunya dan pastinya kebebasan yang diberi kepada anggota yang terlibat mungkin akan menjadi buah mulut orang ramai akan sikap COVER-UP ini.

Malah saksi dan masyarakat tentunya merasa tidak selamat dengan ancaman yang mungkin diterima akibat tiada tahanan yang dilakukan. Cubalah jangan berfikiran pendek. Lagi satu janganlah IGP sendiri cuba memfitnah Adik Aminulrasyid cuba merempuh polis.

Tak kan IGP tak baca laporan polis yang di buat oleh sahabat karib Arwah yang juga saksi utama malam kejadian. Beruntung betul Malaysia mendapat seorang IGP seperti Tan Sri Musa Hassan.

“Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-undang atau tidak. Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya. Kenderaan boleh digunakan sebagai senjata…senjata bukan bermakna pistol, pisau atau parang saja. Kalau seseorang itu enggan berhenti dan cuba merempuh pegawai yang cuba menahannya, ia (kenderaan) boleh dianggap sebagai senjata kerana ia boleh membahayakan nyawa pegawai penguatkuasa” 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Lagi satu, sehingga sekarang kita lansung tidak mendengar ulasan atau kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh big boss polis, Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hisyammuddin bin Tun Hussien berkenaan isu ini.

Ke manakah rasa tanggungjawab kementerian terhadap isu ini kerana ianya melibatkan kepercayaan rakyat terhadap keselamatan negara sendiri.

Bukankah KDN sepatutnya mendahului apa-apa pertubuhan lain yang membela dan menuntut KEADILAN buat Adik Aminulrasyid ini. Saya sendiri tak pasti apakah yang mereka semua ini cuba aturkan.

Saya jamin, selagi KDN dan PDRM takut unutk melakukan perubahan makanya kepercayaan rakyat terhadap kerajaan sendiri akan terus LONGGAR dan HILANG.

Di sini saya ingin lampirkan LIMA keadilan yang sepatutnya diterima Adik Aminulrasyid, keluarga, sanak saudara dan rakan taulan Adik Aminulrasyid. LIMA keadilan ini merupakan tuntutan yang dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) terhadap kes ini:

  1. Tubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi menyiasat secara adil dan telus kes ini. Bukan tidak percaya kepada polis tetapi demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap keadilan dan ketelusan dalam siasatan. Jika polis siasat polis tentu sahaja ia tidak meyakinkan, apatah lagi peristiwa ini bukan sekali dan pertama kali tetapi semakin kerap berulang.
  2. Anggota polis yang terbabit mestilah ditahan reman agar ia tidak bebas berada di luar justeru rakyat turut rasa bimbang terhadap keselamatan saksi sekaligus mengelakkan kemungkinan saksi dipaksa atau dipengaruhi.
  3. SUHAKAM mestilah memainkan peranan dan mengambil langkah berkesan agar kejadian serupa tidak berulang dan pesalahnya mestilah dihukum setimpal. Insyaallah pada hari ISNIN (3 Mei 2010) pada jam 2.30 petang Pemuda PAKATAN Rakyat akan pergi ke SUHAKAM bagi membawa suara pembelaan dan keadilan buat Allahyarham Aminulrasyid.
  4. Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan beberapa pihak media mestilah menarik balik tuduhan kononnya Adik Aminulrasyid adalah penjenayah yang wajar ditembak mati justeru untuk menghalalkan tindakan mereka menembak tepat ke bahagian belakang kepala Allahyarham . Mereka juga mestilah memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat seluruhnya. Sungguhpun PDRM menghadapi cabaran sukar sewaktu menjalankan tugas namun kes seperti Aminulrasyid tidak boleh dipandang sebelah mata. Polis adalah Polis Di Raja Malaysia (PDRM) bukan Polis Raja Di Malaysia (PRDM).
  5. Perbetulkan tanggapan atau persepsi umum terhadap kewibawaan pihak Polis sebagai pasukan beruniform yang paling bertanggungjawab menjaga keselamatan negara dan rakyatnya. Janganlah sampai rakyat sendiri rasa tidak selamat dan aman terhadap pasukan beruniform ini. Campur tangan Yang diPertuan Agong mungkin wajar memandangkan pasukan polis adalah Polis Di Raja Malaysia.

Sukar untuk mentafsir situasi dan kondisi pada masa sekarang kerana rata-rata masyarakat melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan KEJAM dan TERBURU-BURU oleh anggota yang bertugas itu.

Jadi, harapan saya sebagai salah seorang ahli dalam masyarakat di Malaysia ini merayu agar PDRM dan KDN mengambil tindakan yang cepat dan pantas dalam menangani persepsi ini. Ambillah tindakan tegas terhadap anggota yang terbabit tanpa adanya unsur melindungi anggota sendiri kerana PDRM sekarang sedang berhadapan jutaan penilaian masyarakat tentang kecekapan PDRM dalam menjaga keselamatan seperti mana diamanahkan.

Kegagalan PDRM mengambil tindakan terhadap anggota yang terlibat akan menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap pois akan terus hilang. Di samping mendoakan agar Adik Aminulrasyid mendapat pembelaan dan KEADILAN sewajarnya,marilah kita sama-sama menginsafi betapa setiap amanah yang diberikan itu adalah bukan seperti barang mainan.

Jika tidak di dunia, maka di AKHIRAT kita ketemu jua…