Saturday, April 17, 2010

Kita Buta Kerana Kita Lupa

Entah mengapa hari ini aku mendengar satu ayat ALLAH yang sama ketika khutbah Jumaat tengah hari tadi dan kuliah Maghrib di Masjid UKM tadi. Seakan memanggil minda aku berfikir musabab ALLAH mentakdirkan aku untuk menghayati kalimah itu pada 2 masa yang berlainan tetapi motif penyampaian yang sama.

Khatib memulakan khutbahnya dan ustaz memulakan kuliahnya dengan sepotong ayat dari surah Taha,
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta” 
Taha: 124
Buta bila dibangkitkan. Lalu mereka bertanya pada tuhan yang Esa mengapa ini terjadi?

Kerana engkau ingkar dan berpaling.

Berpaling dari apa?

Kitab ALLAH dan sunnah Rasulullah.

Ya ALLAH sesungguhnya hamba-Mu ini seringkali berpaling tadah dari surat-surat kalam-Mu itu. Renungan dan muhasabah buat diriku dan sahabat-sahabat semua betapa kita berada di dunia ini adalah kerana pinjaman sementara dari Dia dengan aturan dan peraturan yang telah siap tercipta.

Siapa kita nak bermimpi agar dapat hidup bebas dengan aturan sendiri. Jika nyawa pun Dia yang pegang jadi apakah lagi yang tinggal untuk kita. Moga keampunan dan rahmat-Nya senantiasa berlegar di sisi kita.

Situasi dewasa ini melambangkan betapa manusia makin jauh meninggalkan apa yang termaktub dalam Kalam dan Sunnah Rasul. Aku ingin mengajak sahabat-sahabat untuk kita menilai kembali diri kita tika ini lantaran pelbagai BERHALA yang merasuk dan bertapak dalam hati kita yang menjadi asbab kita makin jauh dari-Nya.

Oh tuhan, Malaysia ku kini bagaimana?

Statistik anak luar nikah yang BERDAFTAR pada tahun 2009 ialah 17833 orang!

Anggaran sejam 48 orang anak tidak sah taraf dihasilkan. Setanding dengan Amerika. Itu belum dikira mereka yang berdaftar dengan tong sampah, sungai, longkang, kaki lima dan masjid. Pengulangan amalan jahiliah tika Muhammad belum diutuskan begitu berleluasa tanpa sekatan. Malah polanya makin meningkat secara “matang”.

Jauh sekali nak menyalahkan sesiapa cuma ingin memperingati diri sendiri bahawa kita MESTI dan WAJIB menjaga segalanya dengan berpandukan Quran dan Sunnah. Inilah akibatnya bilamana manusia berpaling dari-Nya. Kata seorang ulama, “Jauhnya manusia dari Quran merupakan sebab kepada bercelaru kehidupan manusia itu.”

Nah, apakah lagi kita mahu menafikannya?

Belum lagi mengaitkan dengan kegagalan negara untuk melahirkan modal insan TARBIYAH demi kelangsungan dakwah di bumi Malaysia yang tercinta ini. Permodelan SIASAH yang selari dengan acuan Quran dan Sunnah. Manifestasi GOOD GOVERNANCE dalam setiap gerak kerja dari sekecil-kecil hal kepada sebesar-besar perkara dan segalanya menurut QURAN dan SUNNAH.

Sentuh ustaz di kuliah tadi ialah berkenaan AKHLAQ. Quran dan sunnah mengajar dengan sempurna apakah itu AKHLAQ yang sebenar. Bukan pelengkap tetapi ianya IBADAH, merupakan juzuk penting kepada ISLAM. Tanpanya mana mungkin kita mampu mencium bau syurga.

Contoh senang yang di bawa oleh ustaz tadi ialah bagaimana seorang wanita yang hebat ibadatnya namun Rasulullah menyenaraikan dia dalam senarai ahli neraka. Sebabnya mudah iaitu dia gagal menjaga AKHLAQ nya dengan kucing peliharaannya. Muda. Bagaimana mana pula dengan diri kita?

Hilang akhlak pada ibu bapa kita. Hilang akhlak pada guru-guru kita. Hilang akhlak pada sahabat handai kita. Mana bahagian kita di syurga nanti?

Perkhabaran khatib dalam khutbah tadi cukup menyentuh perasaan aku sebagai hamba yang tak lepas dari melakukan kesilapan. Ya ALLAH keampunan-Mu jadi talian hayat ku. Islam melengkapi segenap zarah kehidupan. Di dunia kita butakan mata kita pada ajaran-Nya maka kelak bangkitnya kita di Mahsyar dalam keadaan BUTA maka tentu adil sekali balasan itu.

Mengapa kita dengan angkuh cuba melawan apa yang telah diaturkan dengan sempurna itu. Ya, tak dinafikan kita bukanlah Nabi Yusuf yang tegar menolak peluang menikmati tubuh isteri pembesar Mesir meskipun terbuka “bebas” untuknya. Dan kita juga bukanlah Rabiatul Adawiyyah yang bisa mengatakan, “Aku memerlukan sekali Istighfar lagi untuk Istighfar aku yang tadi.”

Jika itu alasan kita maka gagal jawapannya. Mereka adalah mereka dan kita masih dengan diri kita. Syariat yang sama bukan. Kalam yang sama bukan, tapi mujahadah jadi pembeza yang nyata. Syurga itu manis maka mujahadah itu pahit penangan nya.

Jika menjadikan darjat sebagai alasan maka elok bagi kita untuk terus berada pada jalan yang penuh celaru ini. Tak perlu berbicara panjang lebar. Noktah dan terimalah pembalasannya. Namun kita adalah hamba yang diberi nilai tambah yang bukan semua manusia dapat menikmatinya iaitu ISLAM dan IMAN.

Maka wajib atas diri kita untuk mencari harga sebenar mujahadah demi menjamin kita sentiasa berada dalam lindungan kalam-Nya dan balutan sunnah Rasulullah. Oh Tuhanku sesungguhnya engkaulah tuhan yang Maha Menerima Taubat.

Ustaz tadi turut membacakan potongan ayat-Nya tentang sebuah analogi berkenaan mereka yang GAGAL mengikut ATURAN yang sempurna ini,
“Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah – atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?. Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur” 
al-Mulk: 22-23
Orang yang tahu kaki itu digunakan untuk berjalan pasti berjaya menggunakannya dengan betul tetapi mereka yang tidak tahu apakah gunanya mereka ada sepasang kaki, pasti mereka cuba menggunakan kepala mereka untuk berjalan.

Selari dengan tuntutan yang telah dipacakkan sejak azali lagi itu jika diikuti pasti umpama kita berjalan menggunakan kaki kita bukan dengan anggota yang lain. Tak perlu cari fasal.

Semudah itu ALLAH memberi analogi kepada kita agar berfikir tentang akibat jika kita lari jauh dari-Nya.

Mudahnya, aku ingin sekali mengajak sahabat-sahabat semua untuk kita sentiasa merenung dan merenung pada diri kita adakah kita sudah berada pada landasan-Nya seperti yang sepatutnya.

Adakah kita sudah menunaikan hak-hak yang sewajibnya kita tunaikan pada semua yang berhak?

Dan apakah kita sering memikirkan tentang akibat yang bakal kita terima lantaran kedegilan kita untuk menurut perintah-Nya tak kira di dunia dan akhirat?

Lantaran itu nasihat ini khas untuk diriku dan sahabat-sahabat semua kerana tak mahu kita BUTA kerana kita LUPA. Sesungguhnya peringatan itu berguna untuk setiap Muslim.

Teringat aku akan kata-kata naqib ku dalam setiap kali usrah, “Bina lah negara ISLAM dalam diri mu terlebih dahulu nescaya pasti tertegak negara ISLAM dalam masyarakat nanti.”