Thursday, April 29, 2010

Keadilan Buat Adik Aminulrasyid Amzah


Di manakah patut ku mulakan coretan ini. Aku seakan tak pasti selepas kepeningan memikirkan kenapa dunia sekarang suka sangat mengambil jalan singkat untuk menghapuskan atau memberhentikan sesuatu tanpa memikirkan kontra di sebalik tindakan sebegitu.

Memikirkan akan ibu kepada Adik Aminulrasyid yang mati ditembak oleh pihak polis PDRM untuk menerima kenyataan bahawa anak bongsunya sudah tiada lagi pasti begitu perit sekali untuk di terima akal.

Pasti dan pasti si ibu bertanya apakah salah anaknya ini sehinggakan dihukum sedemikian rupa. Apakah PDRM sudah kekeringan otak untuk memikirkan cara terbaik bagi menangkap Adik Aminulrasyid yang dianggap penyamun berbanding mengambil jalan mudah sebegitu.

Sungguh tidak ada langsung belas kasihan polis tersebut terhadap Adik Aminulrasyid yang begitu naif dalam belajar hakikat hidup ini.

Coretan ku kali ini juga seakan-akan mengimbau bagaimana sedih dan marahnya aku terhadap DURJANA yang telah mendera dan membunuh Adik Syafiah Humairah kira-kira 2 bulan yang lalu. Oh Malaysia ku!

Teman, pasti bila kita melihat gambar Adik Aminulrasyid, hati kita pasti terdetik jika insan sebegini rupa sudah dianggap PENJENAYAH, apakah lagi yang tinggal buat insan yang berhati mulia. Jangankan menyamun, pegang PARANG pun tak pasti lagi adik ni mampu buat. Begitulah perbandingan yang aku boleh buat di sini.

Moga roh mu ALLAH tempatkan dalam kalangan orang-orang yang SOLEH wahai Adik Aminulrasyid…

Apa pun pendirian kebanyakan orang, aku tetap menegaskan dalam hal ini si polis yang menembak itu adalah PESALAH yang tak boleh di ampuni. Mana mungkin sebegitu mudah polis boleh melepaskan tembakan pada sesiapa yang disyaki.

Adakah sudah hilang pertimbangan dan peraturan dalam melepaskan tembakan. Meskipun berdepan dengan PEROMPAK yang betul-betul merompak depan mata, polis tetap tidak BERKUASA melepaskan tembakan melainkan si PEROMPAK itu memulakan tembakan atau melakukan sesuatu yang membahayakan nyawa si polis itu. Adapun yang dibenarkan hanyalah tembakan amaran, bukan tembakan MEMBUNUH.

Jika kita merasakan si adik ini bersalah kerana dia melarikan diri dari polis, aku suka bertanyakan apakah PERASAAN sahabat-sahabat jika polis yang kejar?

Tambah-tambah lagi si adik ini tak berlesen dan kereta pula adalah kereta keluarga. Pasti dan pasti jika aku berada pada tempat si adik ini aku pun melarikan diri. Lagipun Adik Aminulrasyid langsung tak tahu yang dikejar polis adalah penyamun.

Dia budak, bukannya orang tua yang sudah cukup akal macam anggota POLIS itu. Jika kita cuba menghukum si adik ini atas kesalahan dia yang tak berlesen, itu hanyalah KESALAHAN yang begitu kecil berbanding nyawanya.

Adakah hukuman memandu tanpa lesen ialah TEMBAK sampai mati?

Relevan kah polis itu bertindak sedemikian?

Adakah latihan yang diterimanya sebelum menjawat jawatan itu mencukupi?

Sesal sungguh aku pada kes ini. Adik kecil yang sepatutnya menjadi harapan keluarga dan negara akhirnya dihukum sedemikian rupa. Ke manakah suara Menteri Dalam Negeri? Bukankah PDRM ni bawah seliaan dia. Aku sangat berharap dan berdoa agar kes ini diselesaikan tanpa adanya kepentingan POLITIK langsung dan biarlah batas KAUM hilang pada perjuangan menegakkan keadilan ini.

Pasti si ibu meratapi kehilangan Adik Aminulrasyid. Pasti sahabat handai Adik Aminurrashid menangisi kehilangan seorang rakan yang dikenali sebagai seorang yang begitu baik dan aktif. Pasti guru-guru Adik Aminulrasyid terkejut dengan kematian tragis anak didik mereka ini.

Dan jika aku berada dalam kalangan mereka, pasti aku mengalirkan air mata mengenangkan telatah dan gelak ketawa si arwah.

Ya, ini takdir dan ketentuan ALLAH. Namun KEADILAN mesti dan wajib dituntut. Jujur aku bosan dengan jawapan stereotype pihak polis jika ditanya iaitu,

“Bersabar, kes masih dalam siasatan”

Persoalannya, sampai bila?

Langsung tiada penegasan untuk mengambil tindakan pada si pelaku. Namun aku memuji langkah Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad di mana aku kira cekap dalam menangani situasi tegang ini. Beliau telah mengambil tindakan pantas dengan menelefon ketua polis Selangor serta meminta perlindungan buat saksi utama kes ini dari dipengaruhi mana-mana pihak dalam membuat kenyataan.

Jaminan ketua polis Selangor yang mahu anggota polis yang melepaskan tembakan itu di dakwa di bawah Akta Kanun Keseksaan adalah satu tindakan paling tepat. Kita mahu KEADILAN buat Adik Aminulrasyid dan keluarganya dapat ditegakkan. Boleh ikuti usaha beliau di sini, Keadilan Buat Aminulrasyid.

Aku sungguh pelik, sepertimana disuarakan oleh Presiden GAMIS, Ustaz Mohd Idris di mana jika mahasiswa terlibat dengan politik, polis begitu cepat dan cekap bertindak umpama lipas kudung untuk menangkap, menyiasat dan menyumbat ke lokap si mahasiswa terbabit.

Tapi jika kes sebegini, pihak polis begitu liat untuk mengambil tindakan yang TEGAS dan CEKAP sebagaimana para mahasiswa yang cintakan KEADILAN merasainya. Tolonglah wahai polis dan pihak yang bertanggungjawab, ketepikan kepentingan politik dalam kes ini.

Telus lah dalam bertindak kerana masyarakat sedang menilai. Tolonglah demi KEADILAN seorang remaja yang baru mula belajar erti kehidupan. Tolonglah demi SURVIVAL dan KEPERCAYAAN kami terhadap polis terus terpahat.

Buat keluarga Adik Aminulrasyid, bersabarlah dan berdoalah. Moga takdir ini ALLAH akan tunjukkan kepada kita semua akan hikmahnya. Percayalah betapa aturan Yang Maha Esa itu adalah yang terbaik. Terbaik buat semua.

Kullu min habibi khair. Sesungguhnya ALLAH bersama-sama dengan mereka yang bersabar. Ingatlah ketika ALLAH berfirman,

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar” 
Al-Baqarah: 153

Percayalah betapa KEADILAN itu pasti tertegak dan KEZALIMAN itu pasti dan pasti akan hancur. Doa ku pada adik kecil ini agar ALLAH menempatkannya bersama mereka yang diberi rahmat dan keampunan di sana. Tenanglah dikau di sana…