Thursday, April 8, 2010

Muhammad SAW: Genius & Ideal (Bahagian 4)

Jibrail turun memeluk baginda dan memaksa membaca firman ALLAH yang pertama. Simbolik betapa ilmu dan kejayaan memerlukan kekuatan dan ketabahan segalanya.

Dan ingatlah ketika ALLAH SWT berfirman,
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan mu yang Menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhan mu lah yang Paling Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” 
Al-Alaq: 1-5
Namun tuhan itu bijak dan hebat psikologinya. Menjadikan pesuruhnya keluh kesah bila mana wahyu kedua yang ditunggu-tunggu tidak kunjung tiba.

Al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab al-Tabir,
“Dan wahyu pun tertangguh beberapa ketika menyebabkan Baginda berduka, mengikut maklumat yang sampai kepada kita, bahawa Rasulullah tersangat berduka, sehingga mendorong Rasulullah berkejar berkali-kali ke puncak bukit, hendak menghumbankan diri namun bila mana sampai di puncak untuk mencampakkan diri, Jibrail pun menampilkan diri sambil berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya engkau adalah utusan ALLAH yang sebenar. Dengan itu gelora hatinya kembali tenang dan jiwanya kembali tenteram, dengan itu Baginda pulang semula ke rumah, sekali lagi bila wahyu tertangguh kembali pula Baginda dilanda perasaan gundah dan dukacita, berulang pula Baginda ke kemuncak bukit dan sekali lagi Jibrail menampakkan dirinya seraya melaung ungkapan yang sama kepada Rasulullah”
Lalu timbul rasa rindu Baginda akan wahyu dan hilang gerunnya terhadap peristiwa itu lalu melenyapkan rasa kehairanan yang melanda batang tubuh insan GENIUS ini.

Al-Bukhari meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah bahawa beliau telah mendengar Rasulullah menceritakan mengenai penangguhan wahyu dengan sabdanya yang bermaksud,
“Di ketika daku sedang berjalan tiba-tibaku terdengar satu suara dari langit maka ku pun mengangkat pandangan ku ke arah langit, tiba-tiba malaikat yang mendatangi daku di gua Hira dahulu sekali lagi ku lihat nya sedang duduk di atas kursi di antara langit dan bumi, daku terkejut dan tergamam hingga terjatuh ke bumi, kemudian aku segera pulang menemui keluarga dengan meminta: Selimutkan lah daku, selimutkan lah daku, selimutkan lah daku!”
Disusuli dengan turunnya ayat Allah,
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhan mu, maka ucap lah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaian mu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.” 
al-Muddadstsir: 1-5
Maka bermulalah episod baru dalam kehidupan insan yang bernama Muhammad ini. Misi dan visi terlampau besar namun ALLAH tahu siapakah hambanya yang layak memikul tanggungjawab itu. Bermulalah dakwah nya di bumi Makkah di celah-celah sempitan jahiliah dan kemondokan masyarakat sekitar.

Kebijaksanaan baginda menyusun strategi bagi berdepan masyarakat ketika berdakwah cukup cantik untuk diteladani. 3 tahun baginda bersabar dengan menyampaikan secara rahsia memaparkan secara jelas betapa kerja dakwah dan perjuangan ISLAM tidak boleh dibuat secara semberono.

Namun ISLAM itu tidak menjadi rahsia buat selamanya. Tiba masa ALLAH telah memberi kebenaran untuk menyampaikan secara terang lagi nyata lalu baginda memutuskan untuk “berdemonstrasi” di atas puncak bukit Safar di depan semua khalayak yang hadir termasuklah makhluk yang paling membenci Rasulullah, Abu Lahab.

“Celaka engkau ya Muhammad… Kau memanggil kami semua ke sini semata untuk mendengar ini?!” herdik bapa saudara Baginda.

Berfirman tuhan yang Maha Mengasihani pada Muhammad SAW,
“Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah padanya harta benda dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api Neraka yang bergelojak. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar. Yang dilehernya ada tali dari sabut” 
al-Lahab: 1-5
Yang Esa nyata tidak membiarkan diri insan IDEAL ini berseorangan melakukan tugasnya. Itu pasti betapa ALLAH sentiasa bersama-sama dengan mereka yang berkobar memperjuangkan agamanya. Ya, bukan kerja mudah.

Nyata seruan dakwah secara PIKET ini telah memberi satu dimensi kelainan buat para pejuang Islam sehingga ke hari ini. Nyata perbuatan baginda tidak bercanggah sama sekali dengan Al-Quran apatah lagi Sunnah. Kerana niat dan tujuannya tentu sekali benar lagi jitu.

Jadi bagaimanakah pula PIKET atau DEMOSTRASI yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang bertujuan menyedarkan masyarakat tentang kebenaran sesuatu isu yang sedang melanda?

Adakah itu HARAM seperti menurut pendapat sesetengah orang?

Jika haram pasti dan pasti insan pilihan ini menolak cara sebegini.

Dalam perkara hakikat dan dasar aqidah, baginda tidak pernah berlembut dalam memberi penerangan dan berusaha menegakkannya. Tidak pernah berlembut dalam erti kata memberi penjelasan secara masak, terus-terang, tegas, yakin dan yang paling penting tidak menjauhkan orang daripada ISLAM.

Lantaran itu PIKET baginda telah menggoncangkan serata pelosok Makkah. Manakan tidak ketegasan baginda telah menyentap hati-hati yang beku dan lalai itu daripada nilai kebenaran kepada perasaan ingin tahu apakah itu ISLAM.

Adapun sikap mereka yang suka mengambil jalan sambil lewa dalam berdakwah pasti dia bercita-cita mahu melihat ISLAM terkubur dalam masyarakat ini. Jika semua perkara kita perlu bertoleransi meskipun kita sedar kebenaran dan keadilan tidak dapat ditegakkan pasti mengundang padah yang lebih besar terhadap ISLAM terutama kepada generasi mendatang.

Tanggungjawab kita sebagai mereka yang sedar tika ini perlulah akur betapa hakikat sekarang bukan lagi masanya untuk kita terus menyorok di bawah tika KEZALIMAN dan PEMERKOSAAN berleluasa di merata tempat. Rasulullah telah memberi gambaran yang jelas apakah wasilah dalam berdakwah yang patut kita gunakan tika semua manusia lalai dan layu hatinya.

ALLAH berfirman dalam Quran yang benar,
“Oleh itu, sampaikan lah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepada mu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawal mu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakan mu,(Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya).Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbih lah engkau dengan memuji Tuhan mu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhan mu, sehingga datang kepada mu (perkara yang tetap) yakin.” 
aL-Hijr: 94-99
BERTERUS-TERANG dengan perkara yang BENAR. Pasti ALLAH membantu mu wahai pejuang agama yang mulia ini.

Nyata strategi baginda telah berjaya menyedarkan para penzalim betapa ISLAM tidak mengajar pengikutnya menjadi pengecut. Tidak sama sekali. Maka berbondong-bondong lah puak penzalim ini bermesyuarat untuk menyekat usaha insan GENIUS ini.

Berdepan dengan manusia yang paling amanah dan sangat benar adalah satu kesulitan yang amat sangat buat mereka yang sudah sebati dengan jiwa PENIPUAN dan PENYELEWENGAN ini. Brainstorming demi brainstorming dilakukan semata untuk menyekat usaha baginda.

Ini sunnah orang berjuang. Jika dulu baginda berperang dan bermusuh dengan mereka yang membenci ajaran ISLAM meskipun tidak lain tidak bukan mereka yang menentang itu adalah kaum kerabat baginda sendiri. Begitu juga masa kini, mereka yang “berjuang” menghapuskan dan melemahkan golongan yang cintakan ISLAM ini tidak lain tidak bukan adalah mereka yang mengaku ISLAM juga.

Jika di tanya apakah mereka percaya ALLAH itu tuhan mereka pasti dan pasti jawapannya YA malah mungkin lebih jitu dan mantap jawapannya. Malah jika ditanya apakah mereka mencintai Rasulullah pastinya dijawab cinta mereka pada insan ini melebihi cinta sesiapa sahaja, hebat bukan?

Namun bila diajak berbicara tentang permasalahan ummah dan penyelesaiannya melalui Quran dan Sunnah seakan ada alasan lain yang menidakkan cinta mereka pada insan MULIA ini.

Inilah saat untuk kita semua bermuhasabah kembali adakah kita benar-benar jatuh cinta pada insan IDEAL dan GENIUS ini.

Bersambung…

Rujukan:
  1. Fiqh Harakah karangan Tuan Guru Haji Hadi
  2. Laman web www.dakwah.info